Wednesday, November 30, 2005

Wawancara 4

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Wawancara 4
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Wawancara dikendalikan oleh saudara Mohd Zaki M. Noor dan saudara Hafiz Nor Amli Halimi, wartawan Al-Basirah 2004, bertempat di Pejabat BKPJM, pada hari Jumaat, 23 Julai 2004, jam 10 malam. Wawancara ekslusif ini dibuat untuk edisi sebelum Mesyuarat Agung Khas.

Biodata Tokoh: Nama, Mohd Khalid Bin Salekan, berasal daripada Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, Kluang, Johor Darul Ta'zim, Kuliah Lughah Arabiah Tahun Empat, Kaherah, pendidikan awal dalam bidang arab di Sekolah Menengah Arabiah Tampuk, Benut, Pontian, Johor, kemudian melanjutkan pelajaran ke Maahad Pontian, Parit Masjid, seterusnya ke Madrasah Tarbiah Mardhiah, Panchor, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan, Seterusnya ke Universiti al-Azhar, Mesir. Pengalaman berpersatuan, dalam PMRAM pernah diamanahkan sebagai Ketua Kebajikan Dan Tabung Derma, dan dalam BKPJM pernah ditaklifkan sebagai Ketua Unit Kebajikan dan Kutub Khanah (UKKK), Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan (UPB), Yang Dipertua (YDP) dan Penasihat.

Tetamu Kehormat Dalam Sesi Ramah Mesra Bersama Exco BKPJM, Rombongan Kerajaan Negeri diketuai oleh YB Zainal Abidin bin Othman, Exco Agama Kerajaan Negeri Johor, seterusnya Dato' Omar bin Awab, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), seterusnya KPP Bahagian Pendidikan Majlis Agama Islam, Ustaz Anuar Sarimin, seterusnya KPP Bahagian Baitul Mal Zakat, Ustaz Ramli bin Jusoh, seterusnya Pegawai Am YPJ, Ustaz Zeen bin Watak, juga Encik Omar bin Ali, Pembantu Am (PA) Setiausaha Sulit Bagi Yang Berhormat YB Zainal.

Wartawan Al-Basirah ( WB’04 ) : Bismillahirrahmanirrahim, pertamanya terima kasih kepada Ustaz Khalid kerana sudi ditemuramah pada malam ini. Kami mengharapkan kerjasama yang diberikan ini akan memberi manfaat kepada kita bersama. Assalamulaikum Ustaz.

USTAZ KHALID ( YDP BKPJM ) : Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim, pertamanya, terlebih dahulu ana kira ada baiknya kita mulakan dengan sama-sama membaca al-Fatihah.

WB’04 : Pertamanya, semalam ( 22 Julai 2004 ) kita telah didatangi oleh wakil daripada kerajaan negeri Johor dan wakil daripada Yayasan Pelajaran Johor. Bolehkah ustaz terangkan serba sedikit tentang isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan ramah mesra bersama exco-exco

YDP : Ada beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat ataupn perjumpaan diantara Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKPJM bersama dengan exco kerajaan negeri, YB Zainal sendiri. Perkara yang paling utama ialah berhubungkait dengan pendaftaran BKPJM itu sendiri kepada Kedutaan. Lain-lain perkara ada juga disentuh, contohnya tentang zakat sedikit sebanyak, tentang YPJ, tetapi perkara itu hanya sekadar disebut, namun tidak dibincangkan secara meluas. Tetapi secara khususnya, majlis tersebut hanya membincangkan tentang pendaftaran sahaja.

WB’04 : Bagaimanakah hubungan BKPJM dengan kerajaan negeri?

YDP : Setakat ini, seperti yang sedia maklum, hubungan kita masih seperti dahulu dan berada dalam keadaan yang baik. Hubungan baik dan tiada masalah. Sebab itulah mereka bersedia untuk berjumpa dengan kita, datang ke rumah Johor dan juga berjumpa dengan AJKT BKPJM. Benda ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pihak kerajaan negeri memperakukan mengiktiraf kewujudan BKPJM sendiri. Lebih daripada itu kalau kita lihat, ada orang mengatakan zakat disekat kerana BKPJM tidak berdaftar. Walaupun kita tidak mendapat sebarang hitam putih, makluman dan sebagainya, tetapi pihak Nadi UMNO sendiri telah pun menyenaraikan nama-nama yang berada di bawah Nadi UMNO untuk memperolehi zakat. Tetapi mereka yang berdaftar di bawah Nadi UMNO sendiri pun tidak menerima bantuan tersebut atas nama Nadi UMNO.

WB’04 : Maknanya mereka yang mendakwa dapat pun tidak menerima bantuan itu lagi?

YDP : Tiada siapa yang dapat sekarang ini.

WB’04 : Maknanya kerajaan negeri masih memberikan komitmen yang baik dengan BKPJM?

YDP : Ya, setakat ini begitulah.

WB’04 : Apakah langkah-langkah ataupun tindakan yang akan diambil oleh BKPJM selepas ini berhubung dengan masalah pendaftaran ini? Adakah BKPJM akan mendaftar?

YDP : Berhubung dengan masalah pendaftaran, setakat ini, kita baru sahaja (semalam) mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri, jadi sekarang ini kita masih perlu kepada perbincangan yang lebih khusus, dan lebih detail bersama mereka yang terlibat. Antaranya Lembaga Penasihat, AJKT sendiri, barulah kita boleh mengambil satu kata putus yang mantap ataupun kita boleh mematangkan perbincangan tersebut. Sekarang ini kita hanya menerima maklumat-maklumat, rasional-rasional, reason-reason daripada pihak kerajaan negeri kenapa kita perlu berdaftar, jadi sekarang ini perbincangan secara lumat, matang kita belum buat lagi, kita menunggu sehari dua ini.

WB’04 : Mesyuarat Agung?

YDP : Saya rasa tak perlu Mesyuarat Agung, tunggu sehari dua ini sehingga keadaan sesuai. AJKT semua bersedia, penasihat semua bersedia untuk berbincang masalah ini secara detail.

WB’04 : Maknanya, adakah (hal ini) tidak dibawa ke Mesyuarat Agung untuk dibincangkan bersama ahli?

YDP : Perlu disebut, Mesyuarat Agung adalah salah satu pentas atau ruangan untuk membincangkan perkara besar seperti ini. Tetapi disamping Mesyuarat Agung ada banyak lagi ruangan, contohnya melalui Mesyuarat Agung Tergempar, ataupun melalui Hiwar dan sebagainya. Jadi perkara ini boleh dibincangkan dari masa ke semasa. Cuma, oleh kerana masalah pendaftaran masalah yang menyentuh tentang Undang-Undang Tubuh BKPJM itu sendiri. Apabila menyentuh Undang-Undang Tubuh BKPJM, maka ia adalah hak dua pertiga ahli BKPJM. Dengan erti kata, hanya boleh ditukar melalui dua cara. Sama ada Mesyuarat Agung Biasa ataupun Mesyuarat Agung Tergempar. Maknanya kalau hendak ubah sesuatu perlulah dalam Mesyuarat Agung.

WB’04 : Dengan kedatangan wakil kerajaan negeri dan YPJ, adakah BKPJM mendapat sebarang sumbangan daripada pertemuan kali ini?

YDP : Setakat ini kita menerima sumbangan berbentuk cek ataupun bankdraf bernilai sepuluh ribu ringgit Malaysia, yang telah diluluskan sebelum mereka berangkat ke Mesir lagi sebenarnya. Ana telah mengajukan permohonan secara bertulis kepada YPJ sebanyak sepuluh ribu untuk operasi baik pulih kerosakan-kerosakan serius di Rumah Johor khususnya. Setakat ini itu sahaja.

WB’04 : Berkenaan dengan zakat, ada perkembangan atau maklumat terkini?

YDP : Setakat ini, zakat kita tiada makluman lagi, dan kita masih mencari ruang untuk bertemu dengan al-Fadhil Ustaz Ramli bin Jusoh selaku KPP bahagian zakat dan Baitul Mal untuk dia menjelaskan kepada kita perkara yang sebenar.

WB’04 : Bagaimana dengan pinjaman ( YPJ ) pula?

YDP : Pinjaman YPJ pun, Pengurus Besar YPJ sendiri Dato' Omar Awab, dia Cuma berkata benda ini perlu dibincangkan semula, dan setakat ini ana katakan tidak ada jaminan untuk ahli-ahli BKPJM walaupun mendaftar, walaupun tidak mendaftar, mendapat kedua-dua tersebut, zakat dan juga pinjaman.

WB’04 : Adakah kemungkinan pelajar-pelajar daripada tahun Satu hingga Tahun Empat untuk mendapat bantuan zakat atau pinjaman selepas daripada ini?

YDP : Ana kira kemungkinan itu ada, Cuma jaminan itu tidak ada. Kemungkinan ada, barangkali selepas mendaftar contohnya, faedah yang mungkin kita dapat dibuka semua pinjaman atau sebagainya. Tetapi jaminan tidak ada, dan kita akan mengkaji secara lumat perkara ini, akan merujuk kepada pihak yang berkenaan supaya perkara ini( pendaftaran ini) menjadi sesuatu yang berbaloi untuk kita. Kalau dengan mendaftar dengan tidak mendaftar sama sahaja daripada segi faedah, hasil dan sebagainya, baik kita tidak payah mendaftar. Jadi begitulah keadaannya.

WB’04 : Sepanjang penglibatan ustaz dalam BKPJM ini, apakah masalah-masalah yang melanda persatuan kita ini?

YDP : Ana rasa penglibatan ana dalam BKPJM ini sudah terlalu lama, sebagai AJK biasa, sebagai exco, sebagai YDP yang terakhir ini, jadi banyaklah masalah yang ana terima, masalah bersama ahli, masalah bersama dengan Kedutaan, masalah-masalah tertentu bersama kerajaan negeri, sesama AJKT pun tidak dinafikan kadang-kadang berlaku masalah dalaman secara pentadbiran. Jadi, masalah apa yang hendak ditanyakan secara terperinci?

WB’04 : Boleh huraikan sedikit masalah dengan ahli ?

YDP : Berhubung dengan masalah ahli ini, maklumlah ahli, kita ini manusia, punyai pemikiran yang bermacam-macam, punyai idealisme yang pelbagai, jadi masalah itu banyak. Ada yang terlampau fanatik dengan fahaman-fahaman politik tertentu, maka kita terpaksa mengambil jalan yang pertengahan, supaya tidak ada pihak yang berkecil hati dan sebagainya. Begitulah pendirian BKPJM selama ini pun, bukan pendekatan politik yang kami ambil, tetapi pendekatan berbentuk kebajikan sahaja. Barangkali ada yang cenderung ke 'sebelah sana', 'sebelah sini' dan sebagainya, jadi apabila kita ambil pendekatan yang paling pertengahan, maka setakat ini (persatuan kita) masih boleh terpelihara, dari segi kemakmuran, kehidupan mahasiswa BKPJM di sini.

WB’04 : Sejak akhir-akhir ini, ahli kelihatan cenderung untuk meninggalkan rumah Johor. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

YDP : Maksudnya ahli barulah? Pada ana, perkara itu normal, sekarang ini akhir bulan Julai. Bulan Ogos mereka dibenarkan keluar kerana perjanjian sememangnya begitu, dan juga mereka juga berhak untuk keluar dengan sebab memberikan ruang dan sebagai persediaan untuk adik-adik baru akandatang. Tetapi bukanlah kata kunci ' penduduk boleh meninggalkan rumah Johor' bermaksud penduduk semua perlu ataupun diminta meninggalkan Rumah Johor, tidak begitu. Kita ada beberapa fatrah lagi, contohnya bulan lapan, pelajar belum sampai. Bulan sembilan, dijangka belum sampai. Bulan sepuluh baru sampai. Cuma, mereka yang bertindak keluar daripada Rumah Johor sebelum daripada waktunya ana rasa itu tindakan yang bukanlah salah sangat, tetapi agak kurang sesuai, dengan sebab mereka terpaksa juga membayar harga sewa Rumah Johor sehingga bulan Julai. Walaubagaimanapun kita tidak mahu menyekat ataupun tidak mahu mengambil pendirian tegas supaya mengharamkan ataupun tidak membenarkan langsung penghuni-penghuni keluar daripada Rumah Johor, kerana mereka ada hak, dan mereka punyai pendirian tersendiri. Jadi kami menghargai perkara ini, dan kami memberi kelonggaran. Cuma, harapan ana, supaya penduduk Rumah Johor yang ada ketika ini dapat memikirkan semula berkenaan keluar terlalu awal, memandangkan kebajikan-kebajikan Rumah Johor banyak yang terabai sekiranya tiada sesiapa yang tinggal di Rumah Johor. Masa untuk tinggal di rumah sewa pada ana terlalu panjang. Sekurang-kurangnya empat tahun. Kalau setahun tinggal di Rumah Johor, tiga tahun lagi tinggal di rumah sewa dan sebagainya. Tiga tahun itu lama. Dan silap-silap, apabila kamu sudah duduk di rumah sewa nanti kamu teringin untuk duduk di Rumah Johor semula. Dan ana rasakan memanglah kita jiwa muda, hendak cepat tahu semua. Ana dulu adalah antara mereka yang mula-mula sekali keluar daripada Rumah Johor. Kebetulan Rumah Johor islah masa itu, tahun 1997, jadi memang kena keluar. Tetapi apabila ( Rumah Johor ) sudah siap, diminta masuk kembali, ana tak masuk semula. Ana pergi ke rumah sewa, memandangkan fatrah itu sudahpun bulan lapan, ana tidak masuk. Nasib baiklah rumah sewa itu ana berdua sahaja pelajar baru, empat orang lagi pelajar lama. Kebetulan masalah dengan tuan rumah macam-macam. Mula-mula macam-macamlah, diminta duit itu dan ini, dan kemuncaknya kena halau daripada rumah. Kalaulah semua pelajar baru yang ada di situ, datang orang suruhan tuan rumah pukul dua belas malam, kita tidak tahu bercakap dan sebagainya, akan jadi masalah. Perlu kepada kesabaranlah, dan di Rumah Johor perlu kepada sahabat-sahabat semua untuk memelihara, menjaga dan memastikan semuanya dalam keadaan yang baik.

WB’04 : Apa nasihat ustaz kepada pelajar baru yang telah keluar dariapada Rumah Johor ini?

YDP : Pada mereka yang telah keluar daripada Rumah Johor ini, ana harap supaya janganlah melupakan kebajikan dan tanggungjawab kalian kepada Rumah Johor ini, dari segi gotong royong, dari segi ziarah, ataupun dari segi program-program yang dianjurkan oleh BKPJM ataupun PMRAM itu sendiri. Tidak bererti apabila keluar daripada Rumah Johor, commit kita, keterlibatan kita dengan aktiviti-aktiviti terputus. Tidak boleh kita anggap macam itu. Walaupun kita berada di muhafazah, walaupun kita berada di rumah sewa, walaupun kita berada di Rumah Johor, dari segi keterlibatan dengan aktiviti, program, ataupun dari segi commit adalah sama sahaja. Cuma, oleh kerana berada di Rumah Johor ini kerjanya lebih sedikitlah. Kita tiada pegawai, kita tiada peruntukan khas daripada mana-mana pihak untuk menjaga Rumah Johor ini. Jadi setakat ini, kitalah sama-sama yang kena jaga, sama-sama perlu mengambil berat terhadap kebersihan, kekemasan dan sebagainya di Rumah Johor ini.

WB’04 : Kemungkinan akan berlaku kebanjiran pelajar-pelajar baru sesi akan datang, apa pandangan ustaz tentang hal ini?

YDP : Perkara ini telah dimaklumkan sendiri oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia, Ustaz Wan Bakar sendiri, yang menjangkakan seramai lapan puluh orang, akan datang pelajar baru. Cuma, buat sementara waktu kita mungkin akan menempatkan mereka di Rumah Johor ini, sekadar yang muat, Jika sekiranya tidak muat, ataupun terlampau sesak, kita akan meletakkan mereka di mana-mana rumah sewa yang sesuai, yang boleh kita jadikan tempat persinggahan untuk mereka. Dan kita akan menunggu fatrah nama muqayyad untuk di tauzik ke mana-mana muhafazah yang sepatutnya. Jadi selepas daripada itu, selepas daripada tauzik itu baru kita tahu jumlah sebenar yang berada di Kaherah. Bila kita tahu jumlah sebenar yang berada di Kaherah, barulah kita tentukan penempatan mereka secara pasti.

WB’04 : Apakah nasihat ustaz kepada ahli-ahli?

YDP : Untuk ahli semua, ana harapkan supaya keberadaan kita di bumi Mesir ini menjadikan kita seorang yang matang dari segala aspek, Aspek keilmuan, aspek thaqafah, dan terlebih-lebih lagi, aspek bermuamalah ataupun berorganisasi. Sangat penting untuk kita mengetahui kemahiran-kemahiran ataupun pengalaman-pengalaman dalam berorganisasi. Memandangkan di kuliah ataupun di mana-mana seminar kita boleh mencari ilmu, kita boleh menambah thaqafah, tetapi dari segi gerak kerja organisasi dan sebagainya, tidak boleh untuk mencari di mana-mana kuliah. Maka dengan pengalaman-pengalaman terlibat sebagai ketua-ketua unit, sebagai musrif, sebagai fasilitator, sebagai exco, sebagai yang dipertua dan sebagainya, itulah dia pengalaman ataupun medan untuk kita mentarbiah diri kita, menjadi orang yang berkhemah tinggi, berjiwa besar, untuk menghadapi masyarakat kelak. Tidak memadai kita menghadapi masyarakat hanya dengan ilmu semata-mata. Tidak memadai kita menghadapi masyarakat hanya dengan thaqafah, pengetahuan dan sebagainya, walaupun benda itu perlu, tidak dinafikan, penting. Tetapi kemahiran kita untuk berhadapan dengan masyarakat, pengalaman kita dalam organisasi itu juga penting juga banyak membantu kita dalam mendekati masyarakat kelak. Seterusnya, ana harapkan kepada seluruh ahli BKPJM supaya mempertahankan BKPJM dan PMRAM itu sendiri, memandangkan inilah persatuan yang pada pandangan ana masih lagi menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras, sebagai dasar yang diperjuangkan. Kita kesal dan kita cukup berdukacita kerana ada pihak-pihak tertentu yang sanggup menggadaikan agama, menggadaikan kefahaman Islam yang mereka sendiri miliki kerana sebab-sebab yang kita sendiri tidak jelas. Barangkali dengan sebab kuasa, barangkali dengan sebab pengaruh, mereka sanggup untuk menganjurkan program-program yang tidak syar'ie, yang mencampuradukkan antara ikhwah dan akhawat, yang ana kira banyak menyumbang kepada keruntuhan dan kebejatan social dikalangan siswa siswi al-azhar di sini. Oleh itu, ana sangat-sangat berharap kepada seluruh ahli BKPJM, peliharalah BKPJM ini, peliharalah PMRAM ini selagi mana BKPJM dan PMRAM ini mendokongi Al-Quran dan As-sunnah. Jika berlaku kesilapan, berlaku salah laku dikalangan AJKT dan juga HEWI, maka tegurlah dengan sebaik-baiknya. AJKT dan HEWI bukanlah nabi ataupun rasul yang maksum, Tidak. Mereka barangkali melakukan kesalahan, mereka barangkali melakukan kesilapan, tetapi pandanglah kepada dasar dan pandanglah kepada asas ditubuhkan BKPJM dan PMRAM. Jika benar maka ikutlah, dan jika orang yang membawanya, iaitu AJKT ataupun HEWI tadi tersilap, tegurlah dengan baik. Dan jauhilah daripada kalam-kalam ataupun kata-kata belakang, ataupun ada perkara yang tidak dipuashati, ada perkara yang kurang jelas, tetapi hanya menceritakan di belakang AJKT ataupun HEWI. Akhirnya perkara ini tidak akan selesai. Jika ada perkara yang hendak diselesaikan, ada perkara yang hendak dibincangkan, yang tidak dipuashati, sila berjumpa secara berdepan. Mudah-mudahan dengan adanya perjumpaan tersebut menyelesaikan segala masalah, tidak ada menyimpan perasaan apa-apa di dalam hati, keutuhan BKPJM dan PMRAM itu akan terpelihara hingga akhirnya. Itu sahaja daripada ana.

WB’04 : Akhirnya kami wakil daripada al-Basirah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih ats kesudian ustaz ditemuramah pada malam ini. Kami juga mendoakan agar segala cita-cita dan harapan akan terlaksana, ingin terus melihat keutuhan BKPJM terus unggul di persada bumi Anbia' ini. Terima kasih sekali lagi kepada ustaz.

YDP : Sama-sama.

No comments: