Monday, December 26, 2005

Membentuk kelancaran Sastera dengan penulisan lazim.

Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Membentuk kelancaran Sastera dengan penulisan lazim.
Oleh Mohd Zaki M.Noor

Biar saya mulakan dengan mengabaikan sementara suasana seperti Ramadhan, Syawal dan hari raya Aidilfitri.

Kelancaran dalam penulisan adalah suatu yang sangat penting kerana bahasa yang tidak lancar akan mengganggu tumpuan pembaca kepada isi, sekaligus menghalau minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Barangkali anda memiliki suatu isi yang 'menarik perhatian', tetapi malangnya garapan dipersembahkan dengan bahasa yang tersekat-sekat menyebabkan pembaca enggan meneruskan pembacaan kepada baris-baris berikutnya, perenggan-perenggan di bawahnya, muka-muka seterusnya.

Di sinilah punca kelemahan terutama, dan sebagai penulis baru, ketidaklancaran ini perlu diperangi habis-habisan. Sebelum meneliti cara memerangi 'ketidaklancaran dalam penulisan', terlebih dahulu saya ingin menerangkan tentang jenis-jenis kelancaran.

Sepanjang pengamatan saya, kelancaran boleh dibahagi kepada tiga jenis. Pertama, sastera lancar. Kedua, bahasa lancar. Ketiga, bahasa kaku, tidak lancar tetapi boleh difahami. Dan demi tujuan ini, semua penulis baru harus melazimi penulisan berterusan dan konsisten. Kerapkan diri menulis, tidak kira dalam apa skop sekalipun, dan pastikan anda menulis dengan laras bahasa yang betul. Saya ulangi, dengan laras bahasa yang betul. Hattakan dalam e-mel sedapat-dapatnya.

Begitu juga, sekiranya mahu mendapatkan sastera lancar, anda sebagai penulis baru mesti berusaha menulis sesuatu bernafas sastera dan lakukan ia dengan kerap agar sastera bertambah lancar dan segar. Saya suka untuk menyatakan, bahawa setiap penulis baru biasanya terbelenggu dalam ruang lingkup bahasa yang tidak lancar, namun akibat rasa malas dan rasa rendah diri, mereka tidak berusaha melazimi penulisan dan akhirnya, mereka masih gagal membuang 'ketidaklancaran' ini daripada diri mereka.

Itulah kepentingan melazimi penulisan, sehingga lancar, dan dengan istiqamah dan konsisten. Saya ulangi juga, dengan laras yang betul.

Saya membezakan antara 'bahasa lancar' dan 'sastera lancar' kerana bahasa yang lancar lebih serasi dengan penulisan esei (non kreatif), dan sastera lancar lebih mesra cerpen (penulisan kreatif). Anda akan lihat, apabila seorang penulis genre kreatif misalnya menulis sesuatu esei, tulisannya tidak akan lari daripada berbau sastera. Barangkali, penulis-penulis genre kreatif kebiasaannya akan terbawa-bawa nilai 'sastera lancar' ini, dan ia semacam membikin satu nafas baru dalam penulisan esei, supaya lebih selesa dibaca.

Kembali kepada persoalan pokok, mengenai melazimi penulisan dan sastera lancar. Bagaimana mahu melazimi penulisan? Soalan begini sebenarnya sudah tidak perlu ditanyakan kerana yang seharusnya menjawab bukan semata-mata mulut tetapi hati. Jawapan sungguh-sungguh sudah berada di depan mata.

Biar saya cadangkan beberapa cara.

Pertama, sertai Suara Kampus atau Warta dan menulis dalam setiap keluarannya. Tolong jangan kecilkan minda bahawa jika anda menulis artikel, sastera anda akan rosak binasa. Kunci pertama, lazimi penulisan walau dengan apa cara dan jalan. Sementelah anda menulis artikel sekalipun, penghujahan dalam penulisan esei pasti dapat memberi ide kepada ilmu bantu di dalam cerpen.

Kedua, menulis dan menghantar ke media perdana di Malaysia. Ketiga, membina weblog dan melazimi proses kemaskini. Keempat, mencari medan lain yang menawarkan penulisan secara 'sentiasa' dan 'berterusan'.

Penulis baru atau lebih tepat, penulis muda, atau lebih jelas lagi, anda, harus mencuba semua ruang dan menimba pengalaman. Membentuk kelancaran dalam sastera tentu sekali perlu kepada medium contohnya Suara Kampus, Warta, media massa di tanahair, bahkan apa yang paling menarik minat saya adalah, weblog.

Weblog adalah salah satu medium yang amat mudah bagi membentuk sikap 'melazimi penulisan' demi mendapat 'sastera lancar'. Ada beberapa weblog seperti blogdrive, blogspot, livejournal, dan bermacam-macam lagi. Saya amat berharap, penulis lapis baru di Mesir akan membina weblog dan melazimi penulisan dengan laras bahasa yang betul.

Sunday, December 25, 2005

Memasukkan Ilmu Bantu 2

Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Memasukkan Ilmu Bantu 2
Oleh Mohd Zaki M.Noor

Sastera di Mesir perlu kepada kesungguhan andai mahu berkembang. Saya terasa arus dan perkembangannya memuncak setahun dahulu, cuma berharap gelombang kebangkitannya kali ini sama diterokai oleh semua pihak, baik lelaki mahupun perempuan. Kalau tidak, kebangkitan penulis Timur Tengah akan melalui tempoh getirnya sekali lagi.

Namun, sepanjang meneliti beberapa karya yang pernah saya terima masih mengabaikan beberapa elemen penting sastera kita antaranya ilmu bantu. Dalam penulisan artikel, ilmu yang dimasukkan ke dalam tulisan merupakan ‘penghujahan’ manakala ilmu yang dimasukkan ke dalam cerpen pula dikira sebagai ‘ilmu bantu’.

Memasukkan ilmu bantu tidak terhad kepada melakarkan suasana dan latar yang berbeza dengan latar tempatan. Ya, latar luar negara juga diklasifikasi sebagai ilmu bantu, tetapi ia bukan semata-mata ilmu bantu yang boleh dimasukkan ke dalam karya. Ilmu-ilmu yang sarat dalam kitab kuliah juga wajar dijadikan ilmu bantu yang berkesan sepanjang penulisan cerpen.

Saya kira, sekarang ini sudah masanya penulis-penulis baru Timur Tengah (baca:anda) melakukan revolusi dalam pemikiran. Sekarang sudah tiba detiknya anda memikirkan dan mengatur langkah – memasukkan ilmu bantu ke dalam karya kreatif anda. Saya tidak menafikan kepentingan unsur ‘perasaan’ dan ‘kejiwaan’ untuk dimasukkan ke dalam karya, tetapi secara total bahkan pasti, ‘perasaan’ dan ‘kejiwaan’ harus disulam berselang seli dengan ‘ilmu’ secara ‘kreatif’. Itulah dia ilmu bantu.

Memahami konsep kemasukan ilmu ke dalam karya patut menjelaskan bahawa sastera kita, sastera Melayu, adalah sastera ilmu.

Barangkali sebagai penulis baru, anda lebih tergerak mahu meluahkan perasaan yang berselirat di kolong hati, tetapi fahamilah, alangkah baik dan cantiknya sastera kita jika anda menumpahkan ilmu ke dalam karya. Ya, secara kreatif. Kemudian sulami ilmu yang anda tumpahkan itu dengan ‘perasaan’ dan ‘kejiwaan’.

Jika rajin dan mahu mulakan usaha, rujuki cerpen-cerpen yang baik antaranya 'Warkah Cinta Di Sebalik Theodosius’ karya fahd razy dan lihat bagaimana beliau memasukkan ilmu sejarah dalam cerpen dan digarap secara mengesan. Iaitu ilmu berkenaan penaklukan kota Constantinople oleh tentera Islam. Anda akan fahami dan lebih awal merasa malu, kerana penuntut Royal College of Surgeon In Ireland, Dublin ini selangkah lebih awal memperkatakan berkenaan penaklukan kota kebesaran itu daripada kita, mahasiswa Al-Azhar.

Apa yang jelas, ilmu itu dinukilkan ke dalam cerpen. Dan apa yang lebih jelas, ia dinukilkan secara kreatif. Itulah saya kata; lakukan garapan ilmu dalam karya kreatif, dan saat itulah kebangkitan penulis Timur Tengah bukan lagi mimpi di malam hari.

Selamat menulis.

Memasukkan Ilmu Bantu

Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Memasukkan Ilmu Bantu
al_jantanie

Menulis bukan sekadar peluahan perasaan tetapi ilmu. Barangkali itulah luahan tersirat yang boleh kita fahami setelah mengicipi karya Saudara A. Ubaidllah Alias dengan mauduk ‘ Lelaki Tiong Hua’. Menulis hatta sebuah cerpen bermatlamat menyampai sesuatu yang bermanfaat, perlu kepada garapan yang kaya nilai ilmu. Cerpen ini satu contoh yang baik bagi peminat sastera dan penulis untuk diteladani kerana mempersembahkan satu contoh yang jelas dalam proses – memasukkan ilmu bantu ke dalam karya.

Bertolak masuk ke alam karya penulis, bukakan mata dengan akal yang meneliti.

‘Lelaki Tiong Hua’ karya Saudara A. Ubaidillah Alias adalah sebuah karya yang mengupas persoalan komunisme dan pembawakan mereka. Penulis menggarap cerita secara aplikasi terhadap ilmu. Aplikasi dengan maksud, mencontohkan ilmu kepada sesuatu objek, supaya objek ini mempraktikkan ilmu tersebut. Karya ini kaya dengan ilmu bantu, dan dilakarkan atas dasar ilmu.

Nyata penulis membuat satu kajian yang menjelaskan kedudukan dan cara hidup komunis serta pemikiran mereka. Setelah bahan daripada kajian ini terkumpul (bahan berbentuk prinsip-prinsip komunis dan kesan kepada institusi kekeluargaan), penulis merangka watak yang dirasakan sesuai demi melakonkan ilmu yang tersedia. Bermula daripada itu, watak May diletakkan dalam kondisi anak ‘komunis’ dan beberapa teori komunis dan kesan cara hidup mereka di persembahkan kepada pembaca.( “Ibubapa May adalah komunis”)

Pembaca diajak meletakkan satu tanggapan umum mengenai komunis dalam pembacaan, sekaligus memberikan tanggapan pertama terhadap golongan ini(“Komunis menolak kewujudan tuhan dan menceraikan hubungan antara anak dan ibubapa.)

Penulis sekali lagi berusaha memalingkan perhatian pembaca kepada tanggapan kedua yang dirasakan sebagai ‘pandangan yang sewajarnya’ terhadap May, kerana May berbeza dengan ciri seorang komunis. (“May tidak mengambil pakai semua prinsip itu. Dia ada agama dan dia seorang yang punya ibubapa.”)

(‘Boleh jadi May anak luar nikah.’) Itulah tanggapan ketiga yang seharusnya terhasil akibat saling tindak antara kedudukan May sebagai anak komunis dengan realiti keadaan. Penulis ternyata cermat dan berhati mendatangkan satu persatu ilmu bantu mengenai hakikat dan tanggapan terhadap golongan ini.

Apa yang membuatkan ia lebih menarik, penulis secara sinis mengaitkan persamaan diantara tindak tanduk seorang komunis dengan pembuang anak. Ia sindiran yang sangat tajam.( “Ibubapa May membuktikan bahawa fahaman mereka salah. Mereka menyerahkan May kerana terpaksa. Bukankah itu lebih baik daripada membunuh bayi yang tidak berdosa. Membuang mereka di lorong-lorong dan tong-tong sampah atau diberi makan anjing. Orang sebegini sebenarnya yang patut dipandang hina dan lebih berbahaya daripada komunis”)

Dalam penceritaan yang santai dan tidak terburu-buru, penulis menokok di dalam karya ini beberapa situasi yang berkait rapat dengan komunis, termasuk isu luarnegara yang ada kaitan dengan komunis. Bahkan latar politik dunia turut diselitkan secara ‘berpada-pada’ agar tidak kelihatan terlalu ‘terburu-buru’ memasukkan ilmu bantu sampingan.

Garapan ayat dalam bentuk yang ekonomik menjelaskan kekuatan penulis dalam menguasai bahasa. Banyak kata-kata menarik yang patut dicontohi oleh kita semua.

Akhirnya, sama-sama kita teliti satu permisalan penulis tentang kebobrokan masyarakat komunis yang ditasybihkan kepada kebobrokan masyarakat hari ini. (“Komunis sudah hilang dari Malaya beberapa dekad lalu, tetapi tengoklah generasi hari ini. Berapa ramai anak-anak yang memutuskan hubungan dengan ibubapa mereka. Melupakan jasa baik dan susah payah mereka. Paling teruk ada yang merasa malu untuk mengaku dia anak orang-orang tertentu.”) (“Begitu juga pasangan kekasih zaman sekarang, berapa ramai yang melakukan seks luar nikah dan anak haram mereka….”) (“Sebenarnya mereka yang layak digelar komunis.”)

Apapun, ia satu karya yang hebat untuk diperhatikan!

Tuesday, December 20, 2005

Seni Pertuturan, Satu Kelebihan

Majalah : SUKEJ
Edisi : 104
Kolum : Thaqafah
Jenis : Artikel
Terbitan : 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : Seni Pertuturan, Satu Kelebihan
Oleh : al_jantanie

Segala puji bagi Allah, yang menjadikan kita boleh bertutur, moga bertuturnya kita adalah untuk kebaikan. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Mulia, sebenar-benar pertuturan insan. Selamat sejahtera dan rahmat tuhan, kepada penutur kebenaran.

Penulis mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama pembaca melihat dan menilai suatu seni anugerah tuhan, seni pertuturan, yang cuba dikupas daripada beberapa aspek, walaupun bukan semua, kalau terdapat kesilapan atau penambahan, komen anda amat diharapkan. Tajuk ini dipilih, memandangkan betapa pentingnya kita sebagai azhariyin dan azhariyat memiliki dan menguasai keindahan seni pertuturan, moga indahnya pertuturan kita menambah serinya Islam.

Senario permasalahan dan keengganan para azhari berucap atau menyampaikan tazkirah kerana kelemahan pertuturan menjadi fokus utama Thaqafah kali ini, dan tertumpu kepada pertuturan dalam jangka masa yang singkat (kerana tazkirah dan ucapan biasanya tidak memakan masa yang lama). Bermakna, penulis tidak membincangkan dalam konteks yang lebih besar seperti ceramah dan forum, mungkin jika ada upaya, akan dikupas di terbitan akan datang.

Pertama, ia bermula daripada memilih tajuk. Memilih tajuk adalah sangat penting, kerana para pendengar ingin mengetahui apakah skop pertuturan/ucapan kita, dari mana kita bermula, ke mana kita akan sampai, dan di mana kita akan berhenti. Malah ia adalah langkah pertama yang sangat penting bagi mengelakkan kita daripada merepek kerana tiada tajuk, atau terputus ditengah jalan tanpa dapat disambung. Tambahan pula, pendengar akan lebih selesa dan dapat berfikir bersama-sama, malah dapat menilai sejauh mana kebenaran apa yang cuba disampaikan.

Seterusnya, kecilkan tajuk ketika memilihnya. Sebagai contoh, jangan memilih tajuk mengenai ilmu, kerana tajuk ini terlalu luas ruang lingkup dan perbahasannya, tetapi dikecilkan supaya ia difokuskan kepada suatu perkara, moga-moga pendengar akan memfokuskan pendengarannya kepada apa yang cuba disampaikan. Mungkin contoh tajuk yang boleh dibawakan seperti sebab-sebab lupanya ilmu, maka penyampaian kita hanya tertumpu kepada sebab dan berkisar sekitar ruang lingkup itu sahaja. Ini adalah sangat penting bagi menzahirkan kematangan penyampai. Elakkan terkeluar daripada tajuk kerana pendengar boleh merasa bosan dan tertanya-tanya, bilakah akan tamat. Tanamkan keinginan membawa pendengar supaya bersama-sama kita sepanjang tazkirah berjalan.

Penulis tidak berniat untuk mengajar para pembaca, malah menyedari ada pembaca yang lebih mahir dalam hal pertuturan sebegini. Komen dan pendapat pembaca sangat dialu-alukan, moga kita sama-sama dapat membantu menigkatkan keupayaan bertutur para azhari sekelian.

Ketiga, mula mengumpul isi. Penting untuk diperhatikan, ialah mencari isi yang kukuh. Isi yang kukuh ibarat pedang yang tajam. Menghentam putus, dihentam luka. Apakah isi yang lebih kukuh yang dapat kita petik lebih daripada ayat-ayat suci al-quran dan hadis. Kemudian kata-kata cendiakawan dan ulama', sejarah dan hasil kerja ilmiah. Pastikan semua isi yang dikumpulkan kembali semula kepada tajuk yang telah dipilih, malah sedapat-dapatnya isi itu ditulis, dan lebih baik lagi sekiranya dihafaz. Alangkah indahnya tazkirah kita sekiranya diselangi dengan dalil sekukuh al-quran dan sebenar hadis.

Sekiranya sahabat pernah mengikuti suatu pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Hayyu A'syir pada akhir tahun 2003 yang lepas, kita dapat melihat bagaimana satu contoh ucapan yang cemerlang, di mana beliau hanya cuba menyampaikan satu tajuk: Semua manusia memerlukan agama, satu tajuk yang telah dikecilkan dan difokuskan, kemudian diselangi dengan berpuluh-puluh hujah dan dalil daripada al-quran, hadis, sejarah, di mana semua dalil di hafaz lalu disampaikan bagaikan peluru yang bertalu-talu.

Amat perlu dinyatakan, apabila berucap, berhentilah ketika pendengar masih mahu mendengar, pada ketika mereka ternanti-nanti sesuatu, dan bukannya berhenti di saat mulut mereka ternganga luas menahan sangap. Inilah antara kekurangan yang selalu dilakukan oleh mereka yang menyampaikan tazkirah, dimana mengakibatkan pendengar asyik dan sentiasa mahu lari dari mendengar tazkirah. Apalagi kalau tazkirah itu langsung tidak menarik perhatian.

Masalahnya, bagaimanakah caranya untuk menarik perhatian?

Bukan susah sebenarnya untuk kita mengumpul isi, kerana sudah maklum kita sebagai mahasiswa Al-azhar yang menguasai pelbagai bidang ilmu,isi dan dalil penuh berlambak di dada kitab dan di kotak ingatan, tetapi bagaimanakah mahu menyampaikan satu tazkirah yang berkualiti, hingga yang tertidur boleh jaga, yang jaga boleh ternganga.(bukan sangap).

Mulakan tazkirah anda seperti biasa dengan puji-pujian kepada Allah dan RasulNya, sebagai mukaddimah, dan terangkan tajuk yang anda ingin sampaikan. Kemudian cuba sampaikan tazkirah anda dengan cara bercerita. Siapa yang tidak suka mendengar cerita, tak kira tua muda semua suka mendengar cerita, tetapi biarlah dipadankan dengan pendengar, bercerita kepada mahasiswa Al-azhar tidak sama dengan bercerita kepada kanak-kanak.

Mungkin juga kita boleh menggunakan uslub pertanyaan, mulakan dengan sepuluh persoalan kepada tajuk. Biasanya dengan cara ini membuatkan pendengar memikirkan jawapan kepada persoalan kita. Berilah soalan-soalan yang menaikkan minat mereka menjawabnya, itu juga boleh dikira satu daya tarikan. Keupayaan bertanya sangat menakjubkan, sehingga kalau kita perhatikan diantara uslub al-Quran adalah pertanyaan, yang mana membawa pelbagai makna dan maksud yang tersendiri.

Antara perkara yang boleh menarik perhatian juga ialah menyampaikan sesuatu yang pelik dan tidak logik. Terus terang mereka akan menolaknya, maka penolakan mereka ini juga boleh dikira menarik perhatian, mereka akan sentiasa tertunggu-tunggu apakah sebab dan dalilnya kita berkata begitu. Malah tidak mustahil mereka asyik menunggu peluang untuk me'rad'!. Silap-silap habis tazkirah kita sambung lagi satu tazkirah.

Tetapi ingatlah, apabila sudah berhasil menarik perhatian mereka, bawalah mereka bersama-sama mengupas tajuk itu, kerana itulah tujuan kita menyampaikan tazkirah, keberhasilah menarik perhatian seterusnya menyampaikan apa yang patut disampaikan.

Sebagai kesimpulan yang kita dapat ambil, hendak atau tidak semuanya bermula daripada mencuba, pengalaman adalah sesuatu yang tidak dapat dibeli. Dan cuba renungkan kata-kata ini:

(Khairul kalam ma kolla wa dalla):

(Sebaik-baik kalam adalah yang ringkas dan memberi petunjuk ( kepada apa yang hendak disampaikan).

Selamat menjadi penutur yang berjaya, penutur kebenaran selamanya.

Monday, December 19, 2005

Adakah Cukup? Satu persoalan untuk kita semua

Majalah : SUKEJ
Edisi : 103
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2003
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Adakah Cukup? Satu persoalan untuk kita semua.
Oleh : al_jantanie

Segala puji bagi Allah, yang menetapkan kebenaran sentiasa mengatasi kebatilan, walaupun manusia menafikannya. Segala puji bagi Allah, yang adalah kemestian bagi kita bersyukur kerana kita berada di dalam agama Islam yang benar, sekalipun orang kafir menidakkannya. Segala puji bagi Allah, yang kalaulah manusia dan seluruh makhluk berkumpul untuk mengatakan agama Allah itu salah, maka tiadalah mereka itu lebih daripada sebutir pasir di pantai, yang kalau dicampak entah siapa yang akan memungutnya.

Adakah cukup? Satu persoalan untuk kita semua.

Ketika dalam satu ziarah saya ke beberapa muhafazah atau lebih layak disebut dengan nama jaulah / jaulan, yang dengan tujuan melihat keindahan Mesir dan melawat sahabat-sahabat saya seperjuangan, ada baiknya saya bawakan satu peristiwa yang berlaku semasa peristiwa ‘jalan-jalan cari makan ini’. Saya sempat singgah sebentar di Zargziq, satu bandar yang sangat tersusun dalam pandangan mata, apatah lagi dengan ‘perhiasan dunia’ yang cantik-cantik. Saya kira para pembaca faham dengan ‘perhiasan dunia’.

Dengan lagak seorang perantau, dan dengan adat mereka yang berziarah ke muhafazah, sudah tentu tidak melepaskan peluang pergi ke Café Siber, yang memang murah jika dibandingkan dengan Kaherah. Dengan harga LE 1 atau 1.50 sejam, tentunya ramai yang tidak melepaskan peluang ini terutamanya penggila internet, hingga pernah saya terjumpa LE 5 untuk 12 jam. Untuk beberapa ketika di depan komputer saya terlupa bahawa kuliah fasa 2 sudah bermula.

Ingin saya bawakan di sini satu kisah ketika ‘berchating’ di sana. Terlebih dahulu minta maaf kepada Biro Dakwah, saya berharap tidak disaman kerana hal ini.(Bergurau sahaja). Pada mulanya berchating (berbual) dengan pelbagai kenalan dan mencari kenalan di YM (Yahoo Messenger). Namun setelah dua jam saya sudah mulai letih dan cuba menukar selera. Kebetulan atas kehendak Allah, saya telah berchating dengan seorang dari luar negara, walaupan sebenarnya saya juga berada di luar negara. Lalu terjadilah perbualan yang saya cuba nukilkan sebahagian daripadanya.

Saya : asl plz?
X : 19 f , u?

Saya : __ m, where r u?
X : N.I.G

Kebetulan saya bukanlah seorang yang mahir berbahasa Inggeris, terasa sesal kerana tidak belajar dengan bersungguh-sungguh.

Saya : What N.I.G?
X : Nigeria

Saya kurang berminat sebenarnya berbual dalam bahasa Inggeris ni sebab saya tak cukup mahir. Tapi saya gagahi diri saya untuk bertanya.

Saya : Whats your religion?
X : I think u must be muslim

Saya : Always.

X : Christian.

Entah kenapa saya mula menggigil. Mungkin sebab tak suka dengan usaha dan gerakan Kristianisasi yang berlaku di merata tempat juga di negara kita, Malaysia.

Saya : Why do you choose that?
X : coz I m born on it.

Saya : but u can still make your own choice.
X : It’s the true religion

Saya : Proove it.
Saya : Im sorry coz I not very good in English. I hope u understand

Ada baiknya saya ringkaskan antara isi perbualan itu. Dia membawakan bukti bahawa Jesus (Nabi Isa alaihissalam) di salib sebagai merahmati dan keampunan kepada seluruh alam. Saya cuba bermain mantik tapi tidak cukup mahir.

Saya : is it fair u make the mistake but he be punished?
X : That why he is the greatest.

Saya : So u can kill anybody u want . is it fair if other be punished? It always not fair.

Buat pertama kali saya menang. Rasa gembira juga. Tapi soalan-soalan yang berikutnya betul-betul menguji kebolehan berbahasa saya disamping menilai sejauh mana saya mampu berdepan dengan musuh agama tradisi ini.

X : So u tell me what the true religion

Saya : Islam
X : Proove it

Saya : Allah sent his messenger to us show the right way

X :Who is Allah?

Saya : The only god
X : Who is his messenger

Saya : such as Muhammad and jesus

Saya menggunakan nama jesus (Nabi Isa) supaya mudah dia memahaminya.

X : Where he now?

Satu soalan berbisa yang saya terima. Lalu saya katakan bahawa dia sudah mangkat

X : Who kill him?

Satu lagi soalan. Bagaimana harus saya jawab. Rasa bagai nak berpeluh walaupun sebenarnya Zarqziq ketika itu sangat sejuk. Diantara peluh dingin dan keligatan otak mencari idea, saya terus menggigil. Soalan berkaitan iman, kalau salah jawab bagaimana nanti hendak membetulkannya.

Saya : No body kill him. He passed away to show that he is no more than a messenger

X : That why muslim is blind. I had convert a few muslim among my friend.Ketika itu darah ini betul-betul menyirap. Terasa yang tadi sejuk kini betul-betul membara. Kita nak mengislamkan orang dengan susah payah, dia senang-senang sahaja menjadikan orang islam murtad. Dada masih berdebar kencang dan menggigil.

Saya : Not all muslims know everything about islam
Saya : r u judge a book with its cover?
Saya : so dont judge islam only look some of them which know something.

Tiba-tiba saya menaip begitu laju. Entah kerana geram atau kerana takut. Mungkin juga inilah kali pertama berdebat dengan bukan islam, yang masing-masing cuba mempengaruhi yang lain. Atau saya bimbang tidak dapat menjawab soalan yang ditujukan. Entah bermacam-macam yang bermain-main di kepala. Namun setelah itu dia minta untuk mengundurkan diri. Kebetulan waktu itu saya pun sudah penat. Malah menggigil.

Saya : I hope u learn something about islam
X : No

Begitulah degilnya orang kafir untuk menerima kebenaran, atau pintu hidayah belum lagi terbuka.

Saya : u should learn and thing about it. Choose only the truth.

Mungkin saya patut berhenti di situ. Sebenarnya ada beberapa persoalan yang dia timbulkan, yang saya akan cuba timbulkan semula kepada kita semua, kepada saya sendiri, apakah kita sudah boleh menjawab ya, atau kita masih takut dan berselindung disebalik lalang sebatang, ataupun cuba mencari tempurung mana yang mampu menjadi tempat persembunyian kita, walaupun cuma cukup untuk menutup kepala.Saya cuba membawakan satu persoalan yang saya rasa sesuai buat kita barisan azhari, kalimah muzakkar meliputi juga yang muannas.

Adakah cukup? Satu persoalan untuk kita semua.Adakah para pembaca setuju dan bersama-sama saya sekiranya saya katakan sebenarnya tidak cukup bagi kita semua, tidak kira daripada kuliah apapun, jika kita setakat mahir dengan feqh syafie tanpa mengetahui mazhab yang lain? Sedang para musuh islam menjadikan persoalan tentang mazhab dalam islam, sebagai sebagai satu hujah untuk mendatangkan keraguan kepada orang islam.

Adakah dikira cukup ilmu kita sekiranya kita mengetahui hukum sedangkan kita jahil dalil. Adakah kita tidak pernah mendengar bahawa musuh-musuh agama ini sedang rancak mengkaji al-quran, sedangkan kita masih mentah dengan kitab kita sendiri.

Adakah cukup bagi kita semua, kalau saya katakan bahawa kitab bible yang menjadi sumber hukum bagi mereka, atau mungkin kitab-kitab lain, sekiranya tidak perlu kita sentuh dan kita baca. Mungkin para exco badan kebajikan negeri dan dewan perwakilan serta PMRAM patut dan sememangnya patut cuba untuk membuat satu diskusi ilmiah tentang kitab yang menjadi panduan musuh. Tidak adil kalau orang menyerang kita sedangkan kita tidak tahu kelemahan mereka. Mereka selalu bertanya kepada kita, adakah kita sudah membaca bible, mengkajinya, kerana terdapat mereka yang tidak mahu mendengar dalil daripada al-quran. Bagi mereka, Quran bukan kitab mereka, kenapa mereka perlu mengambil dalil daripadanya.

Adakah dengan ini mahasiswa Syariah Islamiah boleh dan layak mengangkat dada, lantaran mereka mempelajari feqh dan dalilnya di kuliah? Dan adakah itu alasan bahawa kitab – kitab turasi (warisan) yang berlambak hanya layak menjadi perhiasan di maktabah, atau di atas meja mahupun dirak buku, satu kebanggaan yang menjadi lambang kayanya duit, harap tidak miskinnya ilmu.

Maaf kalau ada yang menyinggung mana-mana individu, secara langsung atau tidak, kerana ini tidak lebih daripada satu peluang untuk kita berfikir, mengambil apa yang baik, mungkin yang menulis tidak pernah lebih baik daripada yang membaca.

Sidang azhariyin sekalian. Adakah cukup sekiranya kita dengan bangga menunjukkan bahawa kita pandai IT, internet dan seluk belok computer, tapi bila di cc hanya berani untuk berchating dan mencari mangsa (mangsa?), sedangkan kita tidak cuba sesekali berchating dengan penganut agama lain, bertanya tentang aqidah mereka, moga-moga kalaulah mereka masuk islam, walaupun tidak pada ketika itu juga, tidak sedikit saham yang akan kita terima, yang moga-moga mereka akan berlari di akhirat kelak untuk berjumpa kita lalu berterima kasih, apakah kita tidak merasa bangga.

Apakah sidang pembaca setuju, ataupun akan cuba bersetuju sekiranya dan sesungguhnya, adalah sangat penting kita mempelajari mantik, kerana terdapat banyak permasalahan yang tidak dapat dijawab secara terus, mereka bermain dengan mantik tapi kita hanya pandai bermain bola? Jenaka tidak pernah lebih penting daripada hakikatnya, (mungkin?)

Adakah cukup? Satu persoalan untuk kita semua, mungkin pembaca lebih arif jawapannya daripada saya.

Satu ketika saya pernah terdengar satu soalan, moga-moga kalau ada istifadahnya, dapat pula memberi istifadah pada yang lain, dan moga-moga istifadah yang diambil daripada istifadah lebih berfaedah dan memberi faedah kepada yang lain. Satu soalan yang berbunyi: Adakah Allah boleh menjadikan batu yang sangat besar dan berat sehingga Dia tidak boleh mengangkatnya?

Begitulah dia satu soalan daripada ribuan soalan, yang kalaulah dijawab ya maka salah, dan kalau dijawab tidak juga salah, kerana tidaklah soalan ini lebih daripada untuk menyesatkan, yang harap-harap kalau ada yang menjawabnya, tidaklah ia menjadi sesat, atau menyesatkan yang lain.

Jika jawapannya bukan ya dan bukan tidak, apa jawapannya?. Sekiranya dijawab ya, maka salah, kerana Allah mampu mengangkat apa sahaja, dan sekiranya dijawab tidak maka juga salah, kerana Allah mampu menciptakan apa sahaja. Maka jawapannya adalah mustahil, mustahil Allah mampu menciptakan satu batu sedangkan Dia tidak mampu mengangkatnya, kerana Allah mampu menciptakan apa sahaja, dan mampu mengangkat apa sahaja.

Justeru, dengan kebenaran yang manusia nafikan, dengan Islam yang orang kafir tidakkan, apakah setanding dengan hujah tuhan, yang sebutir pasir tidak pernah menandingi jutaan pasir tanpa ketahuan bilangan, ditiup angin menjadi ribut, di letak air menjadi jerlus, dituang ke laut menjadi pulau, di himpun di bumi menjadi bukit, malah masih ada langit tinggi dan bulan bintang, apakah layak dengan sebutir pasir untuk dibandingkan.

Adakah cukup?, satu persoalan untuk kita semua.

Sunday, December 18, 2005

Bersyukurlah walaupun...

Majalah : SUKEJ
Edisi : 103
Kolum : Meriam Buluh
Jenis : Artikel
Terbitan : 2003
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Meriam Buluh : Bersyukurlah walaupun...
Oleh : al_jantanie

Sidang azhariyin pembaca sekelian, jadilah kita orang yang bersyukur, walaupun terkadang kita dilanda pelbagai kesulitan hingga kita asyik terfikir akan hikmah disebaliknya. Diperhati dan diteliti, bagaikan tiada hikmah yang dapat kita fahami. Bagaikan ada rahsia Maha Pencipta berselindung disebaliknya. Dengan limpah rahmatNya, siapa tahu, mungkin apa yang kita benci lebih baik daripada apa yang kita suka.

Mungkin ada baiknya kita perhatikan sebuah cerita yang terputus sanadnya. Barangkali ada istifadat berguna untuk kita semua. Iaitu satu kisah seorang lelaki yang sedang menuruni anak tangga di sebuah bangunan bersama rakannya, lalu tiba-tiba dia jatuh tangga hingga luka dan bengkak kakinya, lalu diketawakan oleh rakannya. Namun si jatuh ini tetap mengucapkan syukur atas ketentuan itu dan redha akan bahagiannya. Bersyukur dengan segala pemberian tuhan, baik dan buruknya.

Hendak dijadikan cerita, si jatuh ini dan rakannya kemudiannya melintasi sebuah jalan. Adat orang yang sakit kakinya tentulah akan terdengkut-dengkut, sedang rakannya melintas dengan pantas. Tanpa disedari, pada waktu yang sama, sebuah lori melalui jalan itu lalu melanggar rakannya itu. Atas takdir Allah, maka matilah dia. Alangkah terkejutnya si jatuh tadi apabila hikmah disebalik jatuhnya dia tertayang didepan mata. Musibah jatuhnya tangga, luka bengkak dan jalan terdengkut-dengkut, adalah lebih kecil daripada musibah hilangnya nyawa.

Kadang-kadang tidak disingkapkan hikmah lebih baik daripada kita mengetahuinya. Mana pilihan kita? Mungkin lebih baik kita redha dengan hikmah yang tidak kita ketahui daripada tidak sanggup menerima apa yang ingin kita ketahui. Atau kita lebih tabah tidak kira apa jua yang Allah takdirkan?

Atas sebab apapun, jadilah kita orang yang bersyukur, dengan nikmatNya sudahlah tentu, dengan ujianNya juga adalah perlu. Mungkin ada baiknya saya bawakan sebuah cerita lagi, mungkin antara kita ada yang pernah mendengar cerita ini yang bermula di suatu tempat yang bukan tempat kita, begini ceritanya...

Suatu hari, seorang raja keluar berburu bersama penasihat diraja di dalam sebuah hutan yang belum pernah mereka jejaki. Ditakdirkan tuhan, kaki raja terkena jerat lalu patah sebelah kakinya. Lalu berkata penasihatnya, “Alhamdulillah” segala puji bagi Allah yang berkuasa mentakdirkan segala sesuatu. Apa lagi, marahlah si raja, maka setelah pulang dan berubat, dipenjarakan penasihatnya itu, kerana baginda terasa bagai dihina layaknya.

Setelah sembuh, dengan kaki palsu beliau keluar berburu sekali lagi bersama hulubalang yang lain. Malang sekali lagi, dengan takdir Allah, baginda telah sesat lalu ditangkap oleh sekumpulan orang Asli Cannibal pemakan daging manusia. Raja diikat diarak mengelilingi perkampungan tersebut, hingga baginda sendiri merasakan disitulah kesudahan baginda. Namun atas kehendak Allah yang menguasai langit dan bumi, andai Dia kehendaki sesuatu, maka tiada yang dapat menghalangnya. Raja terlepas daripada dimakan kerana kakinya cacat, kebetulan orang asli itu tidak memakan orang yang cacat.

Maka kembalilah raja berjumpa dengan penasihatnya, mengadukan ceritanya. Berkata penasihatnya sekali lagi, “ Alhamdulillah” dan berterima kasih kepada raja kerana memenjarakannya. Hairanlah raja lalu bertanya sebab apa penasihat berterima kasih, lalu dijawab, sekiranya tidak dipenjara, mungkin dia yang akan dimakan kerana dia tidak cacat.

Sekarang bagaimana?.

Azhariyin sekelian, dua cerita yang dibawakan ini membawa pelbagai pengajaran untuk kita semua, yang dipetik daripada ribuan cerita, mungkin ada yang pernah berlaku di depan mata kita, disingkap rahsia hikmah disebalik kejadiannya, dan mungkin banyak lagi yang Allah sembunyikan, untuk menduga sejauh mana syukurnya kita. Moga-moga dengan satu ujian yang Allah timpakan menjadikan kita semakin rapat dengan tuhan, malah ujian itu sebagai penebus dosa daripada di azab di akhirat kelak.Ujian itu adalah bukti kebijaksanaan Allah dan tanda daripada tanda-tanda kekuasaannya, sebagaimana kita tahu, tidaklah Allah jadikan sesuatu perkara itu sia-sia, bertepatan dengan firmanNya dalam surah Ali Imran, ayat 191 yang bermaksud:“

(Yaitu) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka memikirkan kejadia langit dan bumi (sambil berkata): Ya tuhan kami, bukanlah engkau jadikan (perkara) ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilainya. Bersyukurlah walaupun...

Saturday, December 17, 2005

Agenda Boikot, Membentuk Fikrah Selari Matlamat

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Ogos 2005
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : Ogos 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Agenda Boikot, Membentuk Fikrah Selari Matlamat.
Oleh : al_jantanie

Seorang kawan datang bertamu soalan; mengapa kita memboikot Yahudi sedangkan dahulu Rasulullah juga berurusan dengan Yahudi?Sekali imbas, boikot yang cuba kita laksanakan bertentangan amat dengan pembawaan Rasulullah (berdasarkan kenyataan itu). Bahkan saya sendiri terpinga beberapa ketika mencari jawapan sebenar; mengapa kita boikot Yahudi sedangkan Rasulullah sendiri pernah berurusan dengan kaum yang derhaka itu?

Barangkali, boikot yang kerap diuar-uarkan salah fokus atau lari tumpuan, kerana kita memboikot Yahudi bukan kerana agamanya. Kita memboikot Yahudi bukan kerana kaum itu engkar Islam, tetapi kerana boikot sendiri membawa satu makna lebih dalam daripada sekadar meliputi aspek ekonomi dan sekitarnya.

Jika boikot yang kita pegang adalah kerana perbezaan agama, pasti Buddha, Kristian dan segala agama yang berbeza (daripada agama kita-Islam) akan kita boikot. Adakah kita tidak sedar tujuan sebenar boikot ini?

Lagipula, andai boikot bermotif memulaukan barangan daripada bukan Islam, dengan tujuan agama, mengapa Amerika (yang bukan agama, tetapi negara) turut diboikot sama? Sekali lagi, adakah hanya Amerika sahaja negara bukan Islam di dunia ini?

Pemahaman boikot yang berpecah harus disusun menjadi satu titik yang menumpu. Boikot bukan kerana agama berbeza, bukan kerana faktor ekonomi, bukan kerana mereka bukan Islam; tetapi boikot adalah peperangan. Boikot adalah peperangan dengan bersenjatakan ekonomi.

Boikot adalah perang. Boikot bermula sejak kezaliman tentera Israel dan Yahudi terhadap Palestin. Boikot melebar kepada Amerika sejak negara itu menyokong dari belakang. Bahkan boikot diperinci hingga kepada bukan agama, bukan negara, tetapi syarikat-syarikat mahupun pertubuhan di mana sahaja; kerana mereka membantu Yahudi, Israel dan Amerika dalam kezaliman terhadap Palestin.

Hatta jika barangan sekecil makanan ringan di bumi Anbia' ini menyumbang dana kepada tujuan itu, mereka akan menjadi setahap Amerika, Yahudi dan Israel.

Bertitik tolak daripada itu, kita memboikot. Kita memerangi mereka kerana mereka memerangi saudara kita. Umat Islam yang diperangi harus dibantu, tetapi kewujudan negara Arab yang berpecah menatijahkan sikap lupa 'membuka mata' kerana 'mata hati sudah tertutup rapat'. Umat Islam Pelstin yang diperangi Yahudi dan Israel perlu ditentang dengan jihad. Bukankah mempertahankan agama itu wajib, sekalipun dengan nyawa?

Kita sedar apabila negara-negara Arab enggan membantu mempertahankan Palestin (tidak kira apa jua alasan mereka) bahkan sesetengah mereka makin membantu membuka jalan, kita cendekiawan patut lebih celik daripada mentari – mengapa peperangan ekonomi jadi galang ganti. Ini kerana nyawa dan kehormatan diri juga agama diceroboh dan tidak dipertahan, negara jiran memperhati dan membiarkan sedang kita juga, bukan tentera yang memperjuangkan negara Paletin; semua ini sebab mengapa jihad ekonomi dilancarkan.

Memahami perkara ini dengan baik boleh menjelas mafhum muwafaqah – andai negara kita Malaysia turut sama menyumbang kepada Yahudi dan sekutunya; jelas sekali bahawa, kita akan turut sama memboikot barangan kita sendiri. Atau sedarkan kerajaan dan minta mereka menukar pendirian.

Kerana itulah, kita (setakat ini) tidak memboikot barangan China, India, atau barangan Budhha juga sebaliknya tetapi memboikot (baca:memerangi) mereka yang memerangi saudara kita di Palestin. Betulkan pemahaman dan teruskan boikot.

Seorang kawan lagi datang menjadi matahari menghalau gelita salah faham (memperjelas keadaan); Yahudi zaman Rasulullah tidak sama Yahudi zaman sekarang. Yahudi zaman sekarang memperguna harta kita untuk menindas kita. Jadi mana layaknya kita menyumbang sesuatu membantu mereka?

Tulisan ini bertujuan menyatukan fikrah selari matlamat – Boikot terus boikot.

Kita Perlu Menulis

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Julai 2005
Kolum : Suratan Tersirat
Jenis : Artikel
Terbitan : Julai 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Suratan Tersirat: Kita perlu menulis.
Oleh : al_jantanie

Barangkali, ada baiknya saya bentangkan dahulu beberapa fakta sebelum menjelaskan sesuatu.Doktor Mashitah dalam satu kenyataan berkenaan isu – Adakah seorang wanita (terutamanya ibu tunggal) boleh melacurkan diri demi membesarkan anak, telah menimbulkan kekecohan apabila beliau semacam membenarkan keadaan berikut atas dasar darurat. Dalam jawapan kepada persoalan itu, beliau menjelaskan “hukum di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang” dan “perkara yang dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa”.

Itu fakta yang pertama. Namun, setelah berlaku kegemparan berkenaan isu itu, beliau semacam mahu menarik balik kenyataan apabila menegaskan bahawa “bukan bermakna jika keadaan terdesak dan terpaksa, perempuan dibolehkan melacur”.

Walaupun begitu, beliau tetap berpegang kepada pendapat asalnya bahawa melacur dibenarkan “hanya dalam keadaan yang benar-benar darurat”. Kata-kata ini masih dikawal apabila beliau menambah lagi bahawa “masyarakat sendiri lebih memahami apakah maksud darurat di Malaysia. Persoalannya, adakah di negara kita sudah sampai tahap darurat?” Juga apabila beliau menyatakan, “Adakah dengan menjadi ibu tunggal sudah sampai tahap darurat?”

Inilah fakta yang kedua. Membenarkan pelacuran dalam keadaan ‘yang benar-benar darurat’, tetapi menafikan bahawa ‘keadaan kita sudah sampai ke tahap itu’. Bermakna, beliau tetap tidak membenarkan pelacuran. Mungkin, apa yang boleh dikesalkan ialah ia mengundang salah faham, dan lebih merbahaya lagi, kerosakan dalam masyarakat.

Risalah Prisma 4 baru-baru ini ada mengulas isu ini dengan pebentangan yang disokong dengan hujah dan kaedah fiqhiyyah berkenaan darurat. (Baca jawapan terhadap isu ini, terutama dalam mengategorikan ‘apa darurat dan apa yang bukan darurat’)

Apa yang lebih jelas, Prisma 4 menghujahi bahawa “masalah pelacuran tidak termasuk dalam kaedah Ad-Dharar Yuzal sekalipun berkemungkinan wujud situasi seorang wanita yang tidak mendapati sebarang cara untuk mendapatkan sesuap nasi melainkan dengan cara menjadi pelacur.” Sekaligus, ia menolak bahawa ‘pelacuran dibenarkan dalam keadaan yang benar-benar darurat’.

Inilah fakta ketiga. Saya tertarik untuk membawa fakta keempat. Dalam program Dialog Perdana PMRAM pada 12 Julai 2005 di Rumah Kelantan Baru, Ustaz Hairul Nizam Md Husin dalam jawapan kepada – apakah tindakan PMRAM terhadap permasalahan sosial yang berlaku di Malaysia, menyatakan bahawa peranan kita adalah dengan menjelaskan bagaimana pandangan syarak terhadap isu tersebut, dan dapat tidak dapat, ia perlu melalui marhalah penulisan.

Beliau dalam jawapan itu mempelawa mana-mana individu untuk membuat kajian terhadap sesuatu isu, walaupun ia pendek, boleh untuk diserahkan kepada PMRAM untuk disebarkan. Barangkali suara kita tidak sampai, tetapi dengan penulisan, ia satu medium penyampai yang berkesan.

Daripada semua fakta ini, saya mula membuat kesimpulan. Kesimpulannya, cara penyelesaiannya adalah dengan menulis. Suara kita dihadang jarak beribu-ribu batu, ditampan udara dan akhirnya tersasar dari terus ke telinga pembaca. Tetapi tulisan kita, ia bagaikan panah yang membelah angin menuju tepat ke sasarannya. Adakah kita rasa, kita tidak perlu belajar menulis?

Saya tertarik kepada seorang sahabat yang menyarankan supaya ‘PMRAM menambah promosi kepada usaha thaqafah, lebih-lebih lagi kepada aktiviti thaqafah anjuran Al-Azhar’ kerana seperti yang dinyatakan oleh Presiden PMRAM, “biarlah hujah dibalas dengan hujah” Semua ini menumpukan bahawa, ilmu pengetahuan perlu ditimba demi menghadapi dengan permasalahan-permasalahan seperti itu.

Apabila dikaitkan dengan penulisan, saya tertarik membawa apa yang disebutkan oleh Ustaz Hairul Nizam Md Husin sebagai berkata “kita mempunyai ilmu yang banyak” tetapi tidak disampaikan.

Mengukuhkan pendapat ini, saya menambah lagi dengan satu cerita daripada seorang sahabat ketika negara kita gempar dengan kenyataan Astora Jabat bahawa ‘tiada azab kubur selepas mati.’ Beliau dikunjungi seseorang bertanyakan pendapatnya mengenai isu ini.

Orang itu menyatakan, “pendapat ustaz sama seperti mana-mana ustaz yang saya temui. Semua tidak bersetuju dengan kenyataan Astora Jabat. Tetapi, apabila saya menawarkan diri sebagai sponsor – ustaz tulis dan saya akan cetak jawapan ustaz terhadap kenyataan Astora Jabat, masing-masing menolak untuk menulis.”

Itulah realiti yang berlaku. Segolongan awam datang kepada agamawan demi sesuatu isu meminta jawapan; tetapi secara bertulis; dan ia mahu menerbitkan. Dengan semua hujah yang saya kumpulkan, saya merasa wajar seruan ini diutarakan – Agamawan juga perlu belajar menulis, menjejak keagungan ulama’ silam. Kerana seringkali kalam amat terhad langkauan mad’unya, tetapi penulisanlah menerobos melebihi sempadan itu.

Kita perlu menulis. Jadi, tidak salah kalau usaha ini bermula dengan satu sayembara. Ambil ihtimam terhadap iklan Pertandingan Menulis Artikel, Cerpen dan Sajak dalam ‘Hadiah Pena Karyawan PMRAM 2005’ (HPKP’05)

Friday, December 16, 2005

Ahli Lari Daripada Program?

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Mac 2005
Kolum : Fokus
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Mac 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Tajuk Temuramah : AHLI LARI DARIPADA PROGRAM?

Temuramah dikendalikan oleh Saudara Mohd Zaki M.Noor, pada 23 Ogos 2004, jam 8.00 malam, bertempat di Pejabat PMRAM.

Latar belakang : Mohd Fakherei Mahiyuddin, berasal daripada Kota Bharu Kelantan Mendapat pendidikan di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulau Condong sebelum menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau sudah menamatkan pengajian di Kuliah Dirasat Islamiyah, Keherah, dan bakal menyambung pengajian ke peringkat Master. Ditaklifkan sebagai Naib Presiden 1, Ketua Lajnah Perancang dan Panatia PMRAM, sesi 2004/2005.

WARTAWAN WARTA ( WARTA ) : Terima kasih kepada Ustaz Fakherei kerana sudi meluangkan masa untuk ditemuramah pada malam ini.

USTAZ FAKHEREI ( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sama-sama.

( WARTA ) : Kedengaran bahawa ahli cenderung untuk tidak mengikuti program yang dianjurkan oleh PMRAM dan BKAN itu sendiri. Apakah pendapat Ustaz?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sebelum saya terus menjawab soalan, saya ingin memberi beberapa mukaddimah yang dirasakan penting untuk kita ketahui sebelum menghukumkan sesuatu perkara. Pertama sekali, program PMRAM adalah program yang pelbagai. Ia tidak dikhususkan pada satu aspek hingga mengabaikan aspek-aspek yang lain. Oleh kerana itu, ada program berbentuk tafaqquh, ada program yang melibatkan kemahiran diri, ada program di bidang IT / ICT, ada program berkaitan ekonomi seperti bazaar, ada program rehlah dan sebagainya. Jadi, hasil daripada kepelbagaian program ini, tentu ada program kita lihat sambutannya amat menggalakkan, ada program yang sambutannya sederhana dan ada program yang kurang sambutan. Program yang mendapat sambutan menggalakkan seperti Daurah bersama Syeikh Nuruddin, program-program berbentuk Dialog Bersama Kepimpinan, juga program-program tafaqquh lain. Program yang kurang sambutan biasanya dianggap kecil, tetapi sebenarnya ia berlaku kerana masalah-masalah lain, contohnya promosi yang agak lewat; ataupun program itu telah dilaksanakan di peringkat BKAN, kemudian PMRAM melaksanakannya buat kali yang kedua. Itulah beberapa mukaddimah yang perlu kita ketahui, kerana hasil daripada perkara itulah saya berpandangan bahawa, memang wujud ahli yang cenderung untuk tidak mengikuti program. Ia berlaku bukan sahaja di Mesir, bahkan di mana-mana tempat. Ini satu realiti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, dan kita tidak boleh menyalahkan ahli seratus peratus, atau pun persatuan seratus-peratus.

Ada beberapa perkara yang menyebabkan segelintir ahli cenderung untuk tidak mengikuti program. Pertama, tidak ada minat atau kurang minat. Sebagai contoh, ahli yang tidak meminati rehlah, mereka tidak akan menyertai program rehlah PMRAM ke Sinai, Fayyum dan sebagainya. Tidak berminat menyebabkan mereka tidak menyertai, bukan kerana sebab yang lain. Begitu juga terdapat ahli-ahli yang tidak minat bersukan, mereka mungkin tidak menyertai sukan. Di dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan ahli, dan tidak boleh menyalahkan persatuan.

Kedua, antara sebab yang saya nampak ialah ahli sibuk dengan tugas-tugas lain, seperti ahli yang telah berumahtangga, ataupun ahli yang terlibat dengan perkara-perkara lain yang menyibukkan mereka. Kebiasaannya, kita sebagai ahli biasa mempunyai lima kewajipan, akan tetapi ada ahli-ahli tertentu yang mempunyai hingga 10 atau 20 kewajipan, seperti orang yang telah berkahwin, dan orang yang terlibat dengan beberapa perniagaan di sini. Kemungkinan mereka sibuk dengan tugas-tugas mereka, dan dalam masa yang sama, tugas tersebut lebih penting pada pandangan mereka (terutamanya orang berkahwin ataupun orang yang berniaga) berbanding mengikuti program. Mungkin mereka mengikuti program, tetapi tidak seperti ahli biasa yang mempunyai keluangan masa dan minat yang tinggi.

Dalam masalah ini, boleh saya katakan secara kesimpulan, memang wujud ahli yang tidak mengikuti program, dan ia bukan berlaku di Mesir sahaja, bahkan di mana-mana sahaja. Kita dalam hal ini tidak boleh menyalahkan ahli sepenuhnya, dan kita tidak boleh menyalahkan persatuan sepenuhnya atas sebab-sebab yang saya sebutkan tadi. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Adakah benar program yang dianjurkan oleh PMRAM terlalu banyak hingga membebankan ahli untuk mengikutinya?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Secara ringkasnya, ingin saya katakan bahawa program PMRAM berada dalam status sederhana. Tidak sedikit dan tidak banyak. Mengapa saya katakan sederhana? Pertama, kita dapati banyak cadangan ahli yang tidak dapat kita buat. Dalam Muktamar Sanawi, terdapat hingga dua puluh cadangan, malah lebih daripada itu setiap tahun. Kita tidak boleh katakan bahawa program kita banyak, kerana banyak lagi program yang dicadangkan, tetapi tidak mampu kita buat.

Kedua, sebagaimana yang telah diketahui umum, kita menghadapi masalah kekurangan AJK dan kekurangan sumber kewangan. Hasil daripada dua perkara inilah kita tidak mampu malaksanakan beberapa program yang dicadangkan oleh ahli. Dan dalam masa yang sama, kita boleh menyimpulkan bahawa program PMRAM tidak terlalu banyak, bahkan ia lebih berbentuk sederhana. Sebenarnya, program yang dilaksanakan oleh PMRAM ada yang berbentuk mega, ada yang berbentuk umum, ada yang berbentuk khas, dan berbagai-bagai bentuk lagi. Ahli boleh memilih mana (program) yang mereka minati, dan mana (program) yang dirasakan boleh memberi manfaat yang banyak. Oleh kerana itu, sebanyak manapun program PMRAM, BKAN dan DPM, ia bukanlah satu masalah kepada ahli sekiranya mereka tahu apakah kecenderungan mereka, apakah manfaat atau tujuan progam yang mereka sertai. Pihak kepimpinan hanya membuat program, dan ahli berhak memilih mana-mana program yang dirasakan sesuai. Cuma mungkin ada beberapa program yang perlu ahli ikuti, contohnya program mega, dan beberapa program yang berbentuk umum, di mana mereka perlu mendapat penjelasan daripada kepimpinan. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Berdasarkan penerangan ustaz kepada dua persoalan tadi, terdapat juga program di mana ahli boleh menguzurkan diri sekiranya mereka mempunyai satu program peribadi yang dianggap lebih penting?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pihak PMRAM dalam masalah ini sebenarnya tidak menghalang mana-mana ahli untuk tidak mengikuti program. Dalam hal ini, ahli mempunyai kebebasan mengikuti mana-mana program dan (bebas) untuk tidak mengikuti mana-mana program. Tetapi, sepertimana yang saya terangkan tadi, mungkin ada beberapa program yang perlu ahli ikuti, seperti contoh program mega, dan beberapa program berbentuk penjelasan kepada ahli agar mereka mendapat penjelasan sebenar. Bagi saya, perkara ini sepatutnya tidak menjadi beban yang amat besar kepada ahli, kerana banyak perkara lain yang lebih membebankan mereka daripada mengikuti program PMRAM, BKAN dan DPM.

( WARTA ) : Benarkah dakwaan bahawa mengikuti program yang dianjurkan oleh PMRAM boleh menjejaskan pelajaran. Bagaimana ustaz melihat hal ini?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pelajaran terjejas ataupun gagal peperiksaan bukanlah semata-mata kerana mereka mengikuti program, ataupun semata-mata kerana mereka menjadi AJK. Pelajaran terjejas, ataupun keputusan peperiksaan merosot disebabkan banyak faktor. Di antara perkara yang kita ketahui, faktor yang paling penting ialah penguasaan bahasa Arab yang lemah dan persiapan yang lewat menghadapi peperiksaan. Itu sebenarnya faktor yang penting. Adapun program, sekiranya dalam seminggu tidak ada program, kita berkelapangan dua-tiga hari. Akan tetapi apabila ada program, ia cuma tinggal sehari. Sebenarnya, ia lebih mengajar kita untuk mengurus masa. Jadi, mungkin kerana kegagalan kita mengurus masa dengan baik menyebabkan kegagalan kita memanfaatkan masa yang ada untuk mengulangkaji pelajaran dalam satu keadaan yang lebih bersistematik.

Apa yang ingin saya tekankan di sini, ada beberapa orang yang amat sibuk dengan program, mereka sibuk dengan persatuan, mereka selalu menghadiri program, tetapi merekalah orang yang cemerlang dalam akademik. Dan ada yang tidak mengikuti program, tidak terlibat dengan program, dan dalam masa yang sama mereka adalah di antara orang-orang yang gagal. Perkara ini lebih bersifat fleksibel, bergantung kepada mana-mana individu. Individu yang pandai mengurus masa, mereka lulus dalam pelajaran, cemerlang, dan dalam masa yang sama dapat mengambil manfaat daripada program. Oleh kerana itu, pengurusan masa, penguasaan bahasa Arab dan persiapan awal adalah penting untuk berjaya dalam pelajaran. Dalam hal ini PMRAM mengambil berat hal pelajaran. PMRAM amat-amat menekankan kepada BKAN dan DPM atau dalam program PMRAM sendiri, seboleh-bolehnya kita mengelakkan penganjuran program dalam masa kuliah. Cuba cari masa yang agak kosong, masa selepas kuliah, ataupun masa selepas imtihan. Kita mempunyai banyak masa yang kosong, dan di situ sebenarnya kita (boleh) memperbanyak program.

Dalam hal ini, kepimpinan perlu mengetahui apa yang telah kita bincangkan bersama, dan apakah perkara-perkara yang kita mesti dilakukan semasa melaksanakan program. Dan dalam masa yang sama, kita tidak boleh menskopkan program yang dilaksanakan oleh PMRAM hanya untuk perkara-perkara yang lain, yang tidak berkait dengan pelajaran. Ini kerana ada program PMRAM bertujuan untuk meningkatkan penguasaan akademik. Jadi, amat salah sekiranya kita katakan, kita melaksanakan program akademik, dan dalam masa yang sama, orang yang mengikuti program ini (pula) yang gagal, sebab program tersebut untuk meningkatkan penguasaan akademik. Contohnya seperti Seminar Pembelajaran Dan Kecemerlangan Diri, khas untuk pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar yang gagal. Kita memberi pendedahan, teknik mengatur jadual, teknik mengurus masa, teknik menjawab soalan. Sebenarnya kita boleh mengatakan bahawa orang yang tidak mengikuti program inilah sebenarnya lebih berisiko untuk gagal, atau keputusan mereka tidak sehebat orang yang mengikuti program. Jadi perkara tersebut (mengikuti program) adalah perkara yang fleksibel. Ia bergantung kepada kepandaian kita mengurus masa, dan bergantung kepada kemahiran yang ada pada diri kita. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Ada ahli yang mengatakan bahawa PMRAM menggunakan perkataan ‘aula’, iaitu program PMRAM lebih aula (untuk diikuti) berbanding mana-mana program yang bersifat peribadi atau individu. Benarkah perkara ini terjadi?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Boleh saya nyatakan bahawa program yang dianjurkan oleh PMRAM memang aula untuk diikuti, tetapi ia bukanlah semua program. Ahli perlu mengetahui sekarang, apakah program yang aula mereka ikuti, dan apakah program yang pada pandangan mereka adalah ibahah. Maknanya kalau hendak pergi pun boleh, tidak pergi pun tidak mengapa. Program-program yang aula bagi saya ialah program yang berbentuk mega, memerlukan sokongan ahli, penglibatan ahli, komitmen ahli, juga program-program yang lebih berbentuk umum ke arah meningkatkan penguasaan pendidikan, pelajaran dan juga tafaqquh. Jadi bagi saya ini merupakan di antara program-program yang memang aula ahli ikuti.

Adapun sekiranya hendak dinisbahkan antara program PMRAM kepada program BKAN dan DPM, ternyata program PMRAM lebih aula berdasarkan kepada kaedah Usul Feqh, Maslahah Ammah Mukaddamah Alal Maslahah Khassah, program PMRAM sebenarnya memberi manfaat yang lebih banyak kepada ahli, kerana program BKAN dan DPM biasanya tertumpu untuk ahli BKAN atau ahli DPM mereka sahaja. Sedangkan program PMRAM ditujukan untuk semua ahli secara umum, dengan pelbagai bentuk program yang sebenarnya lebih memberi manfaat, juga tenaga pengisi program dan pengajar yang hebat, contohnya daripada doktor-doktor Arab. Jadi dalam hal ini, walaupun PMRAM mengatakan bahawa program PMRAM lebih aula dalam beberapa perkara, atau dalam beberapa masa, kita telah menyediakan satu sistem supaya tidak berlaku pertembungan di antara program PMRAM, program BKAN dan program DPM.

Sekiranya program yang mempunyai manfaat yang besar, kesemuanya mega daripada ketiga-tiga pihak, dan dalam masa yang sama bertembung (tentu merugikan). Kita cuba mengelakkan perkara ini, dan kita menggunakan system tansik minggu. Contohnya minggu pertama dan minggu terakhir (adalah) untuk program PMRAM, minggu kedua untuk program DPM, dan minggu ketiga untuk program BKAN. Jadi dalam sistem yang telah disusun ini alhamdulillah, kita dapat mengurangkan beberapa pertembungan program. Oleh kerana itu, tidak akan timbul istilah ‘pertembungan (dengan) program peribadi’, hingga menyebabkan ada ahli mengatakan bahawa PMRAM selalu menggunakan istilah - program PMRAM lebih aula untuk diikuti - kerana sebaik-baiknya kita cuba aljam’u bainahuma. Kita ikuti semua sekiranya boleh kerana faedah-faedah yang kita perolehi daripada program-program ini tidak akan kita perolehi daripada kuliah, dan tidak akan kita perolehi daripada bentuk-bentuk pengajian lain yang kita ikuti. Satu faedah yang ada pada satu program tidak akan sama pada program-program yang lain. Dalam hal ini saya merasakan istilah - program PMRAM lebih aula - hanya untuk beberapa program. Tetapi perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi satu pandangan yang buruk kepada PMRAM, kerana kita cuba menyusun program dan kita cuba mengurangkan pertembungan di antara program PMRAM, BKAN dan DPM. Wallahua’lam

( WARTA ) : ‘PMRAM lebih mengutamakan program yang dianjurkan berbanding tafaqquh’, apakah sebenarnya yang telah berlaku?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pandangan tersebut seolah-olah cuba memisahkan di antara tafaqquh dan program. Mereka mengganggap bahawa tafaqquh bukannya program, dan program bukannya tafaqquh. Saya ingin mengatakan bahawa pandangan ini adalah tertolak, kerana PMRAM menganggap tafaqquh merupakan salah satu daripada program-program mega PMRAM, bahkan PMRAM, BKAN dan DPM banyak meluangkan masa (mereka) untuk (agenda) tafaqquh. Jadi selayaknya atau sebaiknya, ahli perlu memahami bahawa mereka perlu mendapat kefahaman sebenar - Tafaqquh merupakan salah satu daripada program-program PMRAM. Kalau kita melihat realiti hari ini, kelas-kelas tafaqquh peringkat BKAN dan DPM, mahupun Daurah yang biasanya kita anjurkan semasa kedatangan Syeikh Nuruddin sebenarnya mengambil masa yang lebih panjang daripada mana-mana program-program yang kita laksanakan.

Kedua, program tafaqquh yang PMRAM anjurkan melibatkan perbelanjaan kos yang lebih banyak. Ahli dalam hal ini tidak boleh memandang dengan ‘pandangan hitam putih’ sahaja, tetapi ahli perlu mengetahui bahawa di antara tujuan utama ataupun hala tuju PMRAM adalah meningkatkan tafaqquh, meningkatkan lagi penguasaan ilmu di antara kita. Hasil daripada itulah, banyak program yang dilaksanakan menjurus ke arah tafaqquh. Jangan kita skopkan tafaqquh sekadar belajar ataupun bertalaki kitab-kitab yang lama. Tafaqquh adalah satu konsep umum yang melibatkan semua penguasaan ilmu, sama ada ilmu thurath, ilmu mua’sirah, ilmu yang berkaitan dengan dunia, ataupun perkembangan ilmu-ilmu semasa. Konsep tafaqquh luas. Ahli tidak perlu menyempitkan konsep tafaqquh, dan ahli perlu mengetahui bahawa tafaqquh merupakan salah satu daripada program yang dianjurkan oleh PMRAM. Apabila kita jelas dengan semua perkara, saya rasa tidak akan timbul pandangan yang mengatakan bahawa PMRAM mengutamakan program daripada tafaqquh. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Berlaku satu fitnah yang mengatakan bahawa - Mengapa sesetengah daripada kepimpinan mengeji orang-orang yang cuba terjun dalam tafaqquh?- atau dengan kata yang lain, mengeji orang yang cuba memperuntukkan dirinya untuk tafaqquh, hingga mungkin mengabaikan beberapa program PMRAM yang dilihat bertembung dengan tafaqquh mereka. Bagaimanakah ustaz melihat hal ini, kerana mereka kelihatan cuba untuk tidak mengikuti program PMRAM, akhirnya ada antara mereka meminggirkan kesemua program PMRAM.

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Saya merasakan bahawa; sekiranya perkataan-perkataan tersebut keluar daripada mulut-mulut kepimpinan, ia mungkin berlaku kerana berlaku beberapa kesilapan di pihak kita (kepimpinan) atau kesilapan pihak tersebut. Kesilapan kedua-dua belah pihak. Mungkin ia berlaku kerana penilaian yang kurang tepat menyentuh semua perkara. Jadi kita memberi satu hukum yang salah. Apabila sesuatu perkara telah salah, tiba-tiba kita cuba menghukum, jadi hukuman kita juga menjadi salah, kerana kita membina hukuman di atas perkara yang salah. PMRAM dalam hal ini ingin menegaskan bahawa PMRAM tidak menghalang mana-mana individu juga mana-mana usaha meningkatkan tafaqquh di Mesir ini. Masalah berkaitan tafaqquh berlaku kerana tiada perbincangan lanjut, ataupun tiada persetujuan yang lebih meluas, kerana kerjasama daripada dua pihak, sama ada daripada ahli ataupun persatuan, ia akan menatijahkan sesuatu yang baik kepada semua ahli. Kita perlu menyedari bahawa - Tuntutan hidup di atas dunia ini bukan tertakluk seratus peratus mempelajari ilmu - kerana banyak tuntutan-tuntutan lain yang perlu dilaksanakan, sepertimana yang telah ditegaskan oleh Al-Imam As-Syahid, alwajibat aksaru minal auqat. Saya pasti, ulama-ulama dahulu yang mana amat rajin bertafaqquh, malah lebih rajin daripada kita, mereka juga sebenarnya melibatkan diri mereka dengan perkara-perkara politik. Mereka di antara ahli yang berniaga, dan mereka juga di antara orang-orang yang paling lantang mengkritik pemerintah apabila berlakunya perkara-perkara yang tidak baik dan mungkar.

Ulama-ulama yang lebih hebat daripada kita pun melibatkan diri mereka dengan banyak perkara, apatah lagi kita sekarang ini. Kita perlu mencontohi mereka dan tidak menumpukan usaha kita kepada tafaqquh semata-mata. Ahli perlu jelas dengan perkara ini. Adapun pandangan yang mengatakan - Tafaqquh merupakan perkara yang paling utama - itu saya bersetuju. Tafaqquh merupakan tujuan utama kita datang ke Mesir, dan ia adalah tuntutan utama yang mesti kita laksanakan. Tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan tuntutan-tuntutan yang lain. Abu Darda’ dalam satu hadis, apabila seorang akhi nya datang ke rumah, Abu Darda’ asyik beribadah sahaja sehingga membiarkan isterinya. Dia tidak menguruskan rumahtangga dengan baik, sehingga kawan tersebut yang saya terlupa namanya mengatakan - fa’ti kulla zi hakkin hakkoh. Hendaklah kamu memberi hak kepada setiap orang yang mempunyai hak. Maknanya, setiap perkara itu ada hak masing-masing, perlu beri kepada semua. Tidak boleh ambil satu, kemudian mengabaikan yang lain, di mana menyebabkan banyak khalal. Dalam hal ini, pihak kepimpinan ataupun pihak ahli perlu duduk berunding, berbincang dengan lebih panjang, tidak saling menyalahkan di antara satu sama lain. Kita mengetahui banyaknya tuntutan yang mesti kita lunasi, dan ia boleh dilunasi dengan kerjasama semua pihak. Bukan hanya daripada pihak kepimpinan, dan bukan hanya daripada pihak ahli. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Adakah PMRAM meletakkan satu qarar kepada BKAN dan DPM dalam menentukan program yang mereka ingin laksanakan?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sekiranya yang dimaksudkan dengan qarar bahawa PMRAM menetapkan - BKAN dan DPM hanya boleh melaksanakan 10 atau 20 program, program mega ataupun program umum - itu sebenarnya tidak wujud. Itu satu pandangan yang tidak betul. Apa yang PMRAM sediakan adalah garis panduan untuk melaksanakan program. Di antara contoh garis panduan yang telah PMRAM perkenalkan ialah; kita membahagikan minggu-minggu untuk menyusun program dengan baik supaya tidak bertembung. Itu garis panduan pertama.

Garis panduan kedua, kita menggalakkan program-program berbentuk gabungan, ataupun program-program yang berdasarkan sistem taakhi yang kita bina, supaya perkara yang sama yang dilaksanakan oleh beberapa negeri boleh dikongsi oleh negeri yang lain. (Dengan cara ini) boleh mengurangkan kesibukan program. Contohnya sambutan yaumul asyura; semua BKAN dan DPM hendak buat. Tidakkah ia akan menyebabkan berlakunya banyak pertembungan? Ataupun (tidakkah ia menyebabkan) banyak tenaga kerja yang digunakan, (sedangkan) kesan untuk ahli (BKAN dan DPM lain) sedikit (berbanding tenaga kerja yang diperuntukkan). Jadi alangkah baik sekiranya perkara tersebut dapat dilaksanakan, atau boleh digabungkan untuk manfaat untuk semua pihak. Dan di antara garis panduan yang juga disediakan oleh PMRAM, program-program hendaklah ditawaqufkan seketika; sekurang-kurangnya sebulan setengah sebelum imtihan berlangsung.

Ini adalah diantara garis-garis panduan yang mesti dipatuhi oleh BKAN dan DPM dalam melaksanakan program, dan ia bukanlah qarar untuk menghadkan bilangan program ataupun untuk menentukan jenis-jenis program yang boleh dilaksanakan oleh BKAN dan DPM. Dalam hal ini, BKAN dan DPM boleh bermesyuarat sesama mereka, exco terutamanya dalam menentukan program mereka, dan mereka akan menyampaikan perkara tersebut kepada PMRAM untuk diluluskan. Itulah prosedur biasa yang kita gunakan. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Apakah pendapat ustaz mengenai masalah ini?(Masalah ahli tidak mengikuti program). Adakah ia satu masalah serius yang perlu ditangani habis-habisan, ataupun ia sekadar satu masalah biasa?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Saya berpandangan bahawa perkara itu bukanlah perkara yang betul-betul serius. Ia merupakan masalah bersifat semasa, ada masanya meningkat, ada masanya menurun. Ada masanya program kita mendapat sambutan, ada masanya program kita kurang mendapat sambutan. Dalam perkara ini, sesiapa sahaja yang melaksanakan program menginginkan program mereka itu mendapat sambutan terutamanya PMRAM, BKAN dan DPM. Mungkin perkara tersebut, iaitu ketidakhadiran ahli ataupun kurangnya minat ahli untuk mengikuti program, berlaku kerana beberapa sebab seperti yang telah disebutkan tadi. Mungkin juga kerana kelemahan pihak penganjur sendiri; Iklan lewat, promosi yang biasa, atau penerangan program yang rasanya kurang menarik. Oleh kerana itu, sebelum melaksanakan program, pihak penganjur perlu memikirkan cara terbaik untuk menarik ahli supaya menyertai program tersebut, supaya objektif yang kita gariskan dalam kertas kerja tercapai dengan bilangan ahli yang lebih ramai.

( WARTA ) : Akhirnya, apakah harapan ustaz berkenaan perkara ini?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pertama, saya berharap supaya ahli jelas dalam masalah mengikuti program, menjadi AJK, mengikuti program dan menyertai program. Mereka perlu mengetahui bahawa program tersebut mempunyai objektif yang amat besar. Setiap program terutamanya program-program mega memerlukan kos kewangan yang banyak dan AJK yang ramai. Jadi saya mengharapkan ahli memahami dengan sungguh-sungguh perkara tersebut, supaya tidak akan timbul kata-kata yang sebaliknya. Apabila memahami perkara ini, Insya Allah, tidak akan timbul rasa berat hati untuk mengikuti program.

Yang kedua, saya juga mengharapkan ahli supaya memberikan sokongan ataupun komitmen yang padu kepada PMRAM, kerana program yang dilaksanakan (walaupun kita kata ada objektif khusus) sebenarnya mempunyai objektif (umum) - adalah lebih kepada menjaga persatuan kita. Pergi ke mana sekalipun, kita merasakan bahawa program inilah yang menyebabkan kita boleh berjumpa sesama kita, kita boleh berta’arruf, boleh berkenalan, kita boleh merapatkan ukhuwwah kita yang sebelum ini agak jauh. Hasil daripada perjumpaan inilah, kita merasakan nilai kesatuan itu lebih tinggi. Sepertimana yang disabdakan oleh Nabi (yang mafhumnya) : Tidaklah satu kaum berhimpun dalam satu majlis mengingati Allah ataupun berzikir kecuali akan turun malaikat memberi rahmat kepada mereka, diturunkan sakinah (ketenangan) kepada mereka, dan Allah S.W.T menyebut mereka di kalangan para malaikat. Inilah majlis ilmu ataupun majlis zikir yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang mempunyai banyak faedah, yang perlu ahli ikut.

Mungkin terakhir daripada saya, ahli sebenarnya bukan sekadar perlu menyertai program, bahkan perlu bersedia menjadi AJK program. Sekiranya mereka memang tidak sanggup menjadi AJK program, mereka boleh menolong dalam bentuk yang lain. Melaksanakan program bukanlah semudah yang kita sangka, semudah yang kita nampak. Banyak rintangan dan halangan yang sentiasa datang kepada kita terutamanya program berskala besar, juga program berbentuk mega. Jadi sekurang-kurangnya mereka mencurahkan tenaga mereka secara mubasyarah , secara terus. Kalau mereka tidak boleh memberi sumbangan secara mubasyarah tenaga, berilah sokongan berbentuk material, duit ataupun kewangan yang mungkin boleh mereka sumbangkan. Ataupun paling kurang, sekurang-kurangnya mereka berdoa agar program yang kita laksanakan mencapai objektif, berjaya dan seterusnya kesatuan yang kita cuba jaga akan terpelihara. Semoga tema PMRAM, ‘ MEMPERKASA WEHDAH MENYEMARAK ILTIZAM’ akan tercapai, dan kita semua beroleh satu manfaat yang banyak hasil daripada perkara-perkara yang telah saya sebutkan tadi. Wallahua’lam

( WARTA ) : Akhirnya, saya wakil daripada Warta mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Fakherei kerana sudi meluangkan masa pada malam ini untuk menjelaskan beberapa persoalan. Terima kasih sekali lagi.

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sama-sama.

Thursday, December 15, 2005

Tidak Mahu Jadi Ketua

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Mac 2005
Kolum : Reaksi
Jenis : Artikel
Terbitan : Mac 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Reaksi : Tidak Mahu Jadi Ketua
Oleh : al_jantanie

Fikiran tidak mahu menjadi ketua sudah lama membenih dalam otak kita orang-orang Melayu. Azhari yang juga agamawan tidak terlepas dari bersikap serupa, seolah-olah melupakan bahawa persoalan ini bukan semata-mata membincangkan mahu atau tidak, tetapi lebih melihat kepada perspektif; adakah wajib bagi seseorang itu untuk menjadi ketua. Persoalan yang sebenarnya lebih tertumpu kepada kelayakan, dan keadaan untuk melayakkan.

Sama ada fikiran itu tumbuh daripada sikap, ataupun ia subur daripada ilmu, ia masih memerlukan satu kajian dan pemerhatian yang sudah pasti perlu didirikan atas dasar ilmu dan kesedaran. Kepimpinan pada dasarnya seolah-olah hanya dibahui oleh mereka yang dikira pandai, berbakat, dan disasarkan secara rawaknya kepada mereka yang kelihatan menonjol, tetapi adakah hakikat sebenarnya bersifat begitu?

Tanggal 1 Mac 2005 adalah tarikh terakhir bagi pencalonan Badan Pengurus PMRAM sesi 2005/2006. Tarikh yang sepatutnya menjadi satu daya penarik kepada kita barisan mahasiswa, dalam satu fikrah bukan untuk berlepas tangan dan mencari pintu yang sesuai untuk melepaskan diri, tetapi satu medan untuk sama-sama memikirkan; siapakah ketua yang wajar kita lantik kali ini? Tetapi, adakah kita bersama memikirkannya?

Kita ilmuan yang sedar bahawa sesungguhnya, memilih ketua bukan suatu perkara enteng yang harus dibiarkan tanpa peduli. Kita ilmuan yang tahu bahawa, kepimpinan adalah suatu perkara yang sangat penting, bukan hanya dan semata-mata untuk mencalonkan diri menjadi kepimpinan atau dicalonkan, tetapi turun gelanggang, menceburkan diri, turut sama memikirkan, apakah sifat ketua yang kita harapkan, dan siapakah dia?

Malangnya, berlepas tangan dan mengambil sikap tidak peduli terus-menerus subur dalam diri kita. Tahun lepas, tahun ini dan tidak mustahil tahun akan datang, kita akan terus tidak peduli. Memang, bertindak untuk tidak bertanding kerana tidak berkelayakan adalah satu tindak balas biasa yang normal, namun menguburkan sifat ingin tahu dan ingin memilih adalah satu penyakit kerana bertentangan dengan kewajaran pula.( Berdalilkan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah, mukminin berkumpul walaupun sebahagiannya sibuk menguruskan jenazah Rasulullah S.A.W)

Fikiran ‘tidak mahu menjadi ketua’ bukanlah semata-mata salah, dan ia bukan suatu yang semata-mata cela. Keadaan satu : Sekiranya kita tahu si fulan lebih layak, dan kekosongan itu telah diisi, tindakan mengundur diri dan mempersilakan yang lebih layak adalah tepat. Perhatikan pengajaran mengenai pemilihan ketua dalam suatu tarbiah Tuhan ketika solat; orang yang lebih baik bacaannya adalah lebih afdhal menjadi Imam daripada mereka yang lemah bacaan. Suatu pengajaran yang jelas tetapi tersembunyi, mengisahkan kelayakan seorang ketua.

Keadaan dua : Sekiranya ketiadaan ketua yang sesuai pada satu ketika, dan umat Islam memerlukan seorang ketua ketika itu juga, maka seorang ketua perlu dipilih bagi mengelakkan mafsadah yang mungkin berlaku. Renungi keadaan Imam yang tiba lewat sedangkan Iqamah sudah dilaungkan, maka seorang yang pada hakikatnya ‘biasa’ perlu tampil mengetuai jamaah. Juga ambillah iktibar daripada peristiwa Khaled Al-Waled yang tampil menjadi panglima memimpin tentera setelah syahidnya 3 panglima dalam perang Mu’tah ( Zaid bin Harisah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah )

Patutkah kita ( walaupun dalam situasi wujudnya mereka yang layak ) mengambil sikap tidak peduli siapakah pemimpin kita kali ini? Patutkah kita ( yang mungkin pada pendapat sendiri menyatakan bahawa kita tidak layak ) mengambil jalan ‘tutup mata’ dan ‘tutup telinga’? Jadi di mana izzahnya kita? Kita menyedari bahawa setelah kewafatan Baginda Rasulullah yang tercinta, muslimin telah berkumpul untuk memilih ketua, dan mereka yang berhimpun ini bukanlah semata-mata orang yang dikira layak menjadi ketua, akan tetapi turut dihadiri oleh mereka yang kurang kelayakan.

Dalilnya cuma satu, ihtimam siapa pemimpin kita adalah pokok segala cerita. Ihtimamlah walaupun kita merasakan diri kita tidak layak, kerana itulah yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda yang dimuliakan. ( Maksud saya: ada sahabat yang lebih layak.) Zahirkanlah keprihatinan kita dan kesungguhan kita tentang pentingnya turut serta memikirkan persoalan ini. Tidak terlambat untuk kita mengambil iktibar sekali lagi daripada nasihat Rasulullah kepada 3 orang muslim yang bermusafir untuk memilih seorang ketua di kalangan mereka.

Ertinya cuma satu. Kita adalah musafirun yang disebut Rasulullah, malah lebih daripada bilangan 3, menjejak hingga ke angka ribu. Apakah kita patut menafikan kepentingan perlantikan seorang ketua, dan patutkah kita dalam masa yang sama mengabaikan sifat ‘ambil tahu’ dan ‘ambil berat’? Sesungguhnya orang mukmin itu di sisi mukmin yang lainnya adalah seperti satu bangunan, di mana sebahagian mereka memberi kekuatan kepada sebahagian yang lain.

Tidak mahu jadi ketua.
Wallahu A’lam.

Wednesday, December 14, 2005

Reaksi YDP

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : September 2004
Kolum : Kaji Selidik
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : September 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Berikut adalah reaksi daripada seluruh kepimpinan yang dipertua BKAN

1.Pemangku YDP Johor " Keutuhan sesebuah persatuan adalah dengan kesatuan dan kebersamaan unggul yang lahir dan dipamerkan oleh setiap pihak dari setiap sudut dalam mencapai satu tekad dan matlamat serta semangat juang yang tidak luput untuk merealisasikan cita-cita dan keazaman"

2.YDP Perak " Insya Allah, kita mendoakan agar PMRAM dapat menterjemahkan ' MEMPERKASA WAHDAH MENYEMARAK ILTIZAM ' dengan semaksimum mungkin. Seluruh pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan kelangsungan persatuan yang kita sokongi dan dokongi ini tetap utuh dan kukuh."

3.YDP Pulau Pinang "Mewakili saf kepimpinan BKPPPM, ana menyokong penuh tema yang dipilih oleh pihak PMRAM pad tahun ini memandangkan arus perdana dalam konteks kemahasiswaan memerlukan kepada sebuah kesatuan bagi menjamin kelangsungan dakwah islamiyyah selain menuntut kepada pendokongnya nilai iltizam dan istiqamah yang cukup tinggi agar ghayah ini tidak terhenti dipertengahan jalan. Semoga tema ini mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan kesedaran oleh kita bersama."

4.YDP Negeri Sembilan " Secara umumnya saya bersetuju dan melihat kepada tema perjuangan saf kepimpinan PMRAM 2004 ' MEMPERKASA WAHDAH MENYEMARAK ILTIZAM ' adalah satu tema yang bertepatan dengan kehendak Islam. Perkara asas dalam pembentukan masyarakat Islam Azhari/ah melalui kesatuan adalah pengukuhan aqidah Islamiah yang dipugar dengan keberkesanan tarbiah dan disemai dengan qudwah bagi membentuk syakhsiah mulia. Saya melihat bahawa inilah satu perjuangan yang hendak dibawa oleh PMRAM agar setiap ahli mempunyai jati diri yang sebenar agar kita sebagai pejuang agama Allah tidak akan takut dan gentar dengan cabaran dan tribulasi daripada musuh Allah. Kita tidak melupakan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu Allah dan mesti menguasai pelbagai ilmu dan teknik bagi kita mengikut rentak peredaran zaman dan cabaran yang bakal mendatang. PMRAM kemungkina mempergiatkan lagi program tarbiah, ilmiah, thaqafah dan ITC kepada mahasiswa/wi sebagai persediaan kita melalui kerjasama di antara BKAN dan DPM. Melalui kerjasama di antara PMRAM, BKAN dan DPM kita mampu menangkis sebarang anasir-anasir yang memecahbelahkan kesatuan yang kekal terbina di atas Al-Quran dan As-Sunnah serta kefahaman kita berpersatuan demi menjaga kesucian Islam. Syabas kepada saf kepimpinan PMRAM 2004 dengan perancangan yang bakal dilaksanakan."

5.YDP Kedah " Kematangan dalam menghadapi cabaran semasa bersesuaian dengan sifat sebagai wadah penyatuan mahasiswa Al-Azhar . Namun kematangan tersebut bukan sekadar melalui kematangan berfikir, tetapi perlu diserlahkan dengan kematangan dalam tindakan. Ini kerana kita berada dalam arus millenium dakwah yang akan menghadapi arus perdana dakwah dan kerenah masyarakat yang pelbagai. Perlu diingat, kita bukn berada di era 70-an atan 80-an."

6.YDP Terengganu " Tema PMRAM 'MEMPERKASA WAHDAH MENYEMARAK ILTIZAM' kali ini cuba mengajak semua ahli agar menghayati aspirasi perjuangan mahasiswa ke arah bernaung di bawah keizzahan Islam. Ia sememangny relevan untuk diketengahkan dalam situasi ummah hari ini yang sentiasa diasak dengan agenda perpecahan oleh musuh Islam. Ahli PMRAM seharusnya bijak menilai tema yang diarusperdanakan ini demi memastikan kegemilangan Islam terus survival di muka bumi ini"

7.YDP Kelantan "...jika direnungi dan dihayati, maka kita akan merasai betapa keizzahan dan kegemilangan umat Islam di zaman para sahabat dan tabien. Sesungguhnya mereka digeruni bukanlah kerana kekuatan dan disegani bukanlah kerana kehebatan semata-mata. Tetapi kerana wahdah, kesatuan dan ukhuwwah mereka yang benar-benar mengkagumkan, bahkan tidak dapat ditandingi oleh musuh-musuh Islam. Jesteru itu marilah kita bermuhasabah dan membaiki diri untuk mengembalikan kegemilangan dan keizzahan tersebut. Bersamalah memperkasa wahdah, menyemarak iltizam. Ingatlah, awwalul quwwah quwwatul wahdah."

8.YDP Kuala Lumpur " Secara umumnya, tema yang baru ini menjelaskan kepada seluruh ahli PMRAM bahawa agenda wahdah tidak bolh diremehkan dan masih perlu diteruskan. Pengajaran bahawa keruntuhan empayar-empayar Islam terdahulu adalah berpunca daripada tiadanya kesatuan menyeluruh umat Islam yang mengakibatkan musuh dapat menyelinap masuk seterusnya menghancurkan Islam. Gagasan pimpinan ini amat perlu difahami oleh segenap lapisan ahli agar keutuhan yang diimpikan dapat terlaksana."

9.YDP Melaka “ Berkaitan dengan tema yang cuba dibawa pada tahun ini, perlu ada dalam setiap mahasiswa/wi di bumi Mesir ini sikap kesungguhan yang jitu bagi memastikan matlamatnya tercapai”

10.Pemangku YDP Selangor “ Tema kali ini begitu sesuai dengan keadaan kita selaku anak jati PMRAM dalam meneruskan agenda perjuangan menuju jalan Ilahi. Cadangan ana, pertamanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk menggerakkan PMRAM, contohnya ahli memberikan sokongan dan dokongan sama ada berbentuk buah fikiran, tenaga dan harta benda kepada PMRAM, dan kepimpinan pula perlu menitikberatkan objektif penubuhan PMRAM dan sentiasa dipertingkatkan lagi dengan daya usaha profesionalis PMRAM berdasarkan wahyu. Keduanya, kesedaran daripada segenap pihak adalah perlu khasnya dalam menggerakkan Ops Amar Makruf, Nahi Mungkar”

Tuesday, December 13, 2005

Dialog Perdana PMRAM 2004

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : September 2004
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : September 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Berita Pmram : Dialog Perdana PMRAM 2004
Oleh : al_jantanie

KAHERAH, 31 Julai: Unit Penerangan Umum, Badan Penerangan Dan Penerbitan PMRAM telah menganjurkan Dialog Perdana PMRAM, bertempat di Dewan Tok Kenali, Rumah Kelantan, Jam 8.00 malam. Majlis di mulakan dengan solat Maghrib berjamaah diikuti solat hajat, dengan suasana yang agak sesak. Semua Badan Pengurus PMRAM dan HEWI hadir kecuali Ustaz Faizal Mizan, Ustaz Fauzi Hashim dan Ustazah Zahratil Ula Hasan, disamping kehadiran tetamu kehormat, Mantan Presiden PMRAM, Ustaz Saufi Hashim, Penasihat PMRAM, Ustaz Wan Syarifuddin Wan Hassan, serta Yang Dipertua-Yang Dipertua Bakan.Majlis dipengerusikan oleh Saudara Mohd Fairuz bin Tamjis dengan agenda yang kedua, ucapan Presiden pada pukul 9.30 malam. Antara isi kandungan ucapan Presiden menyatakan keadaan umat Islam yang sekarang ini diasak dengan mehnah dan tribulasi, tiada pembela apabila ditindas, tiada sultah dan tiada kekuasaan. Beliau menyeru supaya membina kekuatan Islam, kekuatan kesatuan, kerana orang kafir sentiasa cuba memecahbelahkan umat Islam hingga umat Islam tertipu dengan alasan yang dibuat-buat (pengganas).

Beliau juga mengingatkan tentang Penyiasat Amerika yang datang menyerbu al-Azhar, kononnya al-Azhar mengamalkan diskriminasi terhadap wanita, dan lain-lain tuduhan yang tidak berasas. Turut dibangkitkan berkenaan pembawakan PMRAM yang memerlukan gemblengan tenaga daripada semua ahli serta memperkasakan kesatuan. Akhirnya beliau meminta kepada semua ahli supaya terus iltizam dengan PMRAM, sebelum menamatkan ucapan pada jam 9.40 malam.Agenda ketiga, taarruf seluruh Badan Pengurus yang hadir, sebaik sahaja Majlis diserahkan kepada Naib Setiausaha. Taarruf AJKT HEWI juga dibuat beberapa ketika setelah agenda kemuncak berlangsung, Dialog Perdana bersama kepimpinan. Suasana hangat dengan pelbagai isu yang dibangkitkan, di antaranya, kebenaran penterjemahan kitab, kelewatan mendapat kad keahlian PMRAM, rehlah akhawat, penerangan lanjut tentang Ijazah Lanjutan, masalah ikhtilat, dan SPR.

Terdapat cadangan ahli supaya hiwar bersama kepimpinan ini kerapkali dilaksanakan memandangkan kebaikan yang boleh diperolehi. Ketibaan pelajar baru, alumni PMRAM, masalah perpecahan dikalangan ahli, PESAT, BP angkat dan HEWI angkat turut menjadi fokus perbincangan hangat. Perbagai persoalan dibangkitkan terutamanya etika akhawat ke lapangan terbang pada waktu malam, isu boikot barangan yahudi, kelesuan WARTA, laman web PMRAM yang kurang aktif, pendaftaran bkan di bawah KBMK dan hubungan PMRAM dengan universiti dalam dan luarnegara.

Mantan Presiden turut memberikan ulasan kepada beberapa isu yang dibangkitkan, terutamanya isu keganasan di Thailand. Dialog yang begitu meriah ini boleh disifatkan amat berjaya dengan kerjasama dua pihak yang dilihat sebagai lambang keutuhan persatuan. Agenda terakhir, solat Isyak berjamaah dan jamuan mengakhiri Dialog Perdana PMRAM 2004, yang merupakan aktiviti pertama sejak perlantikan kepimpinan baru pada 14 Julai yang lepas.