Tuesday, November 15, 2005

Temuduga Zakat dan Ujian Bertulis

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Temuduga Zakat dan Ujian Bertulis

ABBASIYYAH 16 dan17 Januari 2005 - Seramai hampir 120 peserta mengikuti temuduga zakat dan ujian bertulis di ARMA sebelum memastikan mereka layak mendapat zakat. Qarar awal menetapkan tanggal 16 adalah untuk mahasiswa muhafazah dan 17 khusus untuk mahasiswa Kaherah dengan ujian bertulis bermula seawal jam 8 pagi dan temuduga pula berlangsung jam 2.00 petang. Namun atas sebab-sebab teknikal, kedua-dua hari tersebut digunakan secara bebas untuk mana-mana mahasiswa dari dalam dan luar Kaherah.

Penemuduga-penemuduga terdiri daripada Dato’ Dr Ibrahim Endan, Pengarah Jabatan Agama Negeri Johor, Yang Berbahagia Sohibus Samahah Dato’ Mohd Noh Gadut, Mufti Kerajaan Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Tuan Haji Shaari Abdullah Al-Hafiz, Penolong Pengarah Undang-Undang Syarak merangkap Kadi Besar Negeri Johor dan Encik Zailuddin Salimon. Tokoh-tokoh kenamaan Negeri Johor ini diterbangkan khas untuk mengadakan temuduga disamping membuat tinjauan awal sebelum ketibaan YAB Menteri Besar.

Mulai tahun ini, semua pemegang zakat dikehendaki menjalani temuduga dan ujian bertulis sebelum disahkan menerima zakat. Soalan-soalan bertulis berkisar kebanyakannya mengenai karangan, pengetahuan am dan pentermahan beberapa frasa ke dalam bahasa Arab. Menurut maklumat terkini, dijangka sebahagian pemohon zakat akan menerima zakat mereka di awal Februari ini.

No comments: