Friday, April 07, 2006

Sebuah Suratan - Satu Kritikan

Majalah : SUKEJ
Edisi : 109
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : Mac 2006
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Beberapa kritikan tambahan mengenai cerpen Sebuah Suratan

Ainol, watak lelaki alias hero dalam cerita ini gagal dipersembahkan sebagai seorang lelaki, dan kelihatan seolah-olah seorang perempuan. Ini berlaku dengan beberapa sebab. Pertama, pemilihan nama yang kurang sesuai. Nama itu hampir kepada berbaur feminisme. Kedua, garapan ayat dan lenggok bahasa penulis membayangkan ia seolah-olah perempuan, atau lebih tepat lagi, penulis tidak dapat menghalusi perasaan seorang lelaki dan memberi gambaran seolah-olah Ainol seorang perempuan.

Penulis melakarkan terlalu banyak plot. Kita akan dapat mengesan ada sepuluh plot dalam cerpen ini, dan penulis telah melakukan 'pembaziran' dalam pembikinan plot yang begitu banyak.

Plot 1 menceritakan tentang Ibu, dan penceritaan ini kelihatan berlebih-lebihan padahal tema utama cerpen adalah mengenai cinta. (baca dan anda dapat lihat tema keseluruhan cerita ini) Sekaligus, kita boleh mempersoal kewajaran penulis menceritakan mengenai ibu dalam plot ini kerana ia tidak membantu penceritaan tema. Penulis dicadangkan menghazafkan sahaja penceritaan mengenai ibunya.

Penulis juga mencampur-adukkan di antara suara hatinya, dan suara hati watak. Perhatikan perenggan empat (Hehe…aku dan adik-adik lah tu) Kesilapan mencampur aduk di antara suara penulis dan suara watak di dalam karya tidak harus diulangi lagi. Penulis juga banyak meletakkan bahasa pasar di dalam karya, dan penulis disarankan menggunakan bahasa baku sebaiknya.

Plot dua mengisahkan usrah, sedangkan usrah di dalam cerpen ini langsung tidak mempunyai kaitan yang mengukuhkannya dengan tema, ia wajar dibuang sahaja. Bahkan berlaku pencampuran di antara dialog dalam satu perenggan. Dialog perlu diasingkan ke para lain. ke baris lain. (lihat perenggan bermula - Memang aku pernah melihat album keluarga Dr.Razi ....)

Plot tiga menceritakan mimpi watak, ia berbentuk remeh dan tidak mengukuhkan penceritaan. Ia berjela-jela dan bertentangan dengan sifat cerpen yang rencam dan padat. Barangkali, kerana penulis seorang perempuan, sehingga bahasa hatinya (perempuan) mempengaruhi ayat sehingga menukarkan Ainol (watak lelaki) kelihatan seperti perempuan. Dan menjadikan Ainol memakai sikap sebahagian perempuan yang suka berleter dan bertele-tele.

Plot empat menceritakan watak Arif, bekas tunangan Atikah yang merupakan 'heroin' dalam kisah cinta ini. Malangnya, ia digarap dengan panjang lebar dan sewajarnya penulis melakukan pemendekan dalam ayat, kerana bercerita mengenainya secara panjang lebar adalah satu pembaziran.

Perhatikan pula plot lima merupakan perbualan pendek antara Atikah dan Nafisah. Permasalahannya, plot empat juga merakamkan perbualan antara Atikah dan Nafisah. Mengapa penulis memisahkan anatara dua perkara yang sama? Adakah kerana berlainan masa sehingga memaksa perbezaan plot? Itu tidak berlaku. Apa yang boleh kita kesani adalah penulis melakukan pembaziran dalam penceritaan apabila mengasingkan keduanya.

Perhatikan plot enam dan tujuh sekaligus. Demi menjelaskan betapa karya ini seharusnya perlu diringkaskan, dan tidak perlulah berjela-jela panjang, penulis boleh sahaja membuang bab 6 kerana bab tujuh telah mengulang perkara yang sama.

Ada beberapa perkara lain yang harus diambil perhatian oleh penulis. Antaranya, mencipta 'kebetulan' dalam cerita. Kebetulan yang tidak mempunyai sebab dan ikatan yang kuat. Kebetulan yang seakan-akan ditampal begitu sahaja di tengah-tengah cerita. Kebetulan yang datang dan pergi begitu sahaja. Sepertimana kisah Atiqah yang kebetulan, tiba-tiba hendak ke bandaraya johor bahru menguruskan urusan menyambung pelajaran ke peringkat master, dan setelah minum menghilangkan haus, secara tiba-tiba hendak menghubungi rakan di Mesir, dan kebetulan juga, kafe siber yang dimasuki adalah milik Ainol, iaitu hero dalam cerita ini.

Perhatikan plot lapan dan sembilan sekaligus sekali lagi. Anda akan mendapati bahawa plot lapan wajar dibuang kerana plot sembilan boleh menjelaskannnya. Penceritaan perkara yang lepas boleh dilakukan secara imbas kembali. Jadi, mengapa mencipa bab baru khas untuk itu?

Kembali kepada perkara utama dan terpenting yang sering diabaikan oleh penulis muda. Iaitu, perbezaan di antara cerpen dan novel. Cerpen dan novel bukan hanya berbeza kerana perbezaan panjang pendeknya, tetapi juga berbeza dari skop penceritaan. Cerpen sifatnya, membawa satu tema, dan memberikan sudut pandang yang terhad. Cerpen tidak memasukkan segala-galanya, hanya menyatakan perkara yang berkait dengan tema dan perkara yang membantu pengembangan tema cerita.

Sebelum akhir, mari sama-sama kita memberikan tumpuan kepada, tema dan gagasan. Betapa seorang penulis itu dinilai daripada apa yang cuba disampaikan. Tetapi bayangkan, jika mahasiswa seperti kita hanya mampu menulis tentang cinta dan kasih, Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun, cuba berikan penilaian kepada diri sendiri, betapa pemikiran dan gagasan kita masih sempit. Apa kata lebarkan pemikiran dan tulis suatu yang 'besar' dan bermanfaat.

Apapun, cerpen ini adalah satu bukti usaha, dan ia adalah satu usaha yang baik. Penulis perlu meneruskan usaha memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Semoga terus maju dan ke hadapan.