Saturday, November 19, 2005

Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor Berserta Rombongan.

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor Berserta Rombongan.

ARMA, 17 Januari 2005 – Kehadiran beberapa kenamaan dari Negeri Johor diraikan dalam satu majlis ramah mesra di sini. Sepuluh minit selepas tujuh malam, paluan kompang oleh Skuad Kompang Johor mengiringi ketibaan tetamu kehormat ke dalam dewan. Mereka ialah Dato’ Dr Ibrahim Endan, Pengarah Jabatan Agama Negeri Johor, Yang Berbahagia Sohibus Samahah Dato’ Mohd Noh Gadut, Mufti Kerajaan Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Tuan Haji Shaari Abdullah Al-Hafiz, Penolong Pengarah Undang-Undang Syarak merangkap Kadi Besar Negeri Johor, Tuan Haji Yahya bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitul Mal dan Wakaf Negeri Johor, dan Tuan Haji Mohd Puzi Dahman, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Lima minit selepas itu, majlis dibuka dengan bacaan Ummul Furqan, Al-Fatehah dengan dipengerusikan oleh Saudara Mohd Firdaus Sulaiman. Ucapan pembukaan disampaikan oleh Yang DiPertua BKPJM, Ustaz Mohd Nazar Misran, diikuti ucapan Tuan Haji Mohd Puzi Dahman tepat jam 7.28 malam. Tujuh minit kemudian, majlis mempersilakan Dato Ibrahim Endan, Pengarah Jabatan Agama Johor menyampaikan ucapan sebelum Dato Mufti Mohd Noh Gadut mengambil tempatnya pada pukul 7.53 minit malam.

Majlis yang antara lain merupakan sesi makluman kepada semua hadirin berkaitan beberapa perkara, terutamanya mengenai kehadiran YAB Menteri Besar Johor pada awal Februari, beberapa taujihat dan nasihat buat mahasiswa/i serta perkongsian pengalaman bersama tokoh-tokoh kenamaan ini. Majlis diteruskan dengan penyampaian LCD Projektor kepada BKPJM dan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat.

Sesi dialog terpaksa dibatalkan memandangkan ruang masa yang terhad. Sekitar 120 orang mahasiswa dan 50 orang mahasiswi turut hadir dalam majlis ini. Beransur jam 9.15 malam, majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Yahya Ahmad dan jamuan.

No comments: