Friday, November 18, 2005

Majlis Ramah Mesra Bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Rombongan

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Majlis Ramah Mesra Bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Rombongan

RUMAH JOHOR, 25 Disember 2004 – Asrama Pelajar Johor terus-menerus menjadi tumpuan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berserta rombongan dalam satu majlis ramah mesra di dewan Ibnu Sina, APJ. Ketibaan tetamu kehormat seawal jam 7.05 malam memberi isyarat supaya majlis berjalan selancar mungkin memandangkan berada dalam fatrah imtihan fasa awal. Namun kehadiran amat memberangsangkan melebihi seratus orang dengan 60 peratus siswa dan 40 peratus siswi.

Rombongan dikepalai oleh Dato’ Mohd Razali Mahusin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, dan di sertai oleh Ustaz Anuar Sarimin, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan di Jabatan Agama Negeri Johor, dan Tuan Haji Yahya Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitul Mal dan Wakaf Negeri Johor

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Norden Abdullah mempersilakan Yang DiPertua BKPJM untuk menyampaikan ucapan ringkas. Tepat jam 7.15 malam, ucapan disampaikan oleh SUK Negeri Johor, Dato Mohd Razali Mahusin. Dua puluh minit kemudian, sesi dialog bersama tetamu kehormat dibuka dengan beberapa soalan diterima.

Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Razali menerangkan berkenaan usaha pembaikan Rumah Johor yang ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Johor dalam dua fasa, fasa satu lebih tertumpu kepada proses cat dan baik pulih luaran. Fasa dua pula bakal berlangsung setelah ketibaan YAB Menteri Besar.

Bantuan Zakat telah diperpanjang kepada mahasiswa tahun 3 dan tahun 4 dengan kadar bantuan asal, RM 3600, tidak termasuk yuran pengajian. Mahasiswa yang disahkan menerima zakat dibenarkan membuat tuntutan semula yuran pengajian tahunan dengan kadar yang dimaklumkan setakat ini bernilai RM 200. Bagi mahasiswa yang telah tamat pengajian dan berangkat pulang, mereka dibenarkan membuat tuntuan semula kos tiket kapal terbang tersebut.

Sebagai kejutan, sejumlah USD 355 dimaklumkan akan diserahkan kepada setiap mahasiswa baru atas nama bantuan tiket kapal terbang dan boleh dituntut di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah setelah tamat peperiksaan fasa awal. Majlis diteruskan dengan serahan cek kepada wakil Kedutaan melibatkan kos baik pulih Rumah Johor, sumbangan untuk maktabah dan kos tambang kapal terbang.

Tepat jam 8.05 malam, agenda kemuncak berlangsung iaitu majlis penyerahan sumbangan 3 buah komputer kepada BKPJM dan penyampaian hadiah cenderahati kepada tetamu-tetamu kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Anuar Sarimin sebelum seluruh hadirin dijemput menikmati jamuan dan bersurai.

No comments: