Saturday, November 19, 2005

Berita Ringkas

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Berita Dari Bendahari

Yuran Tahunan
Kepada semua ahli yang belum menjelaskan bayaran yuran tahunan BKPJM diminta menyemak kadar bayaran masing-masing dan menjelaskannya kepada Bendahari BKPJM, Ustaz Azman Shaari bagi membantu sedikit sebanyak mengukuhkan sumber kewangan Badan. Kerjasama semua amat-amat dihargai. Terima Kasih.

Khuf
Pihak Kedai Al-Jauhar melalui iklan yang lalu mempromosikan khuf sebagai produk terkini. Para pembeli bolehlah mendapatkannya di kedai al-Jauhar dengan harga istimewa LE 28 dengan pelbagai saiz dan warna. Dapatkannya untuk menghadapi musim sejuk. Segera sebelum kehabisan.

Berita Dari UPB

Raih Imtiaz
Unit Pengetahuan Dan Bimbingan telah mengadakan Raih Imtiaz Siri Pertama pada 20 November 2004 yang lalu. Program ini bertujuan memberi penerangan mengenai setiap madah di kuliah dan situasi imtihan kepada semua mahasiswa baru tahun ini bagi setiap syukbah. Penerangan diberikan oleh wakil setiap kuliah. Semoga berjaya meraih Imtiaz.

Kelas tambahan
Bagi menghadapi peperiksaan fasa awal yang lalu, UPB telah berusaha keras menemukan beberapa tenaga pengajar bagi beberapa madah yang difikirkan perlu. Di kesempatan ini, Pihak UPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang terdiri daripada Ustaz Nordin Abdullah, Ustaz Yohanas Misuan, Ustaz Luqmanul Hakim Ab Rahman, Ustaz Mohd Hafiz Mansur, Ustaz Zainudin Salam, Ustaz Najib Zainal, Ustaz Syafiq Elias dan beberapa tenaga pengajar lagi juga dari pihak akhawat. Sekalung ucapan terima kasih untuk kalian.

Berita Dari UKTD

Pelancaran Tabung Derma Tsunami
Pada 6 Januari 2005 yang lalu, UKTD BKPJM telah berkerjasama dengan BKTD PMRAM bagi melancarkan tabung derma kilat kepada mangsa-mangsa tsunami. Majlis dirasmikan oleh Ustaz Hafiz Mansur sebaik sahaja selesai diadakan solat hifzi buat kali yang terakhir. Pihak UKTD mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang prihatin, dan teruskan menderma dengan menghubungi Ustaz Firdaus Sulaiman atau terus kepada Badan Pengurus PMRAM sebagai menyatakan keprihatinan anda. Jumlah kutipan derma kilat daripada ahli BKPJM berjaya mencecah 1500 pound Mesir.

Berita Dari UPR

Gotong royong perdana
UPR dalam agenda menyambut YAB Menteri Besar Johor menyeru kepada seluruh ahli untuk hadir ke program gotong-royong perdana yang diadakan dalam tempoh selepas kerja pembaikpulihan fasa satu menemui penghujungnya. Kerja mengemas maktabah dan susun atur semula, pembersihan luar dan dalaman Rumah Johor akan dilakukan demi menjaga nama baik BKPJM. YAB Menteri Besar dijangka tiba di Mesir pada 12 Februari ini.

Pejabat Sementara
Pejabat BKPJM berpindah ke sutuh sementara kerja pembaikpulihan dewan berjalan. Sebarang maklumat hubungi exco berkenaan.

Ucap tema
BKPJM melalui program mega tahunannya memilih tarikh 26 Januari 2005 ini sebagai hari Ucap Tema BKPJM dengan tema tahun ini; Al-Wahdah Asas Al-Quwwah. Program ini dijangka bermula tepat jam 9.00 pagi di ARMA hingga sebelum asar. Semua ahli dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program mega tahunan ini.

Berita Dari UPSR

Rehlah Sinai
Unit Persekolahan, Sambutan dan Rehlah (UPSR)merancang mengadakan Rehlah ke Semenanjung Sinai dipertengahan bulan Februari ini. Menurut Ketua UPSR, Ustaz Ahmad Saufi Mustafa, tarikh 15 Februari telah dipilih tanpa perubahan sekiranya tidak bertembung dengan kunjungan Menteri Besar Johor dan rombongan yang dijangka tiba pada 12 Februari ini. Rehlah ini dibuka kepada pihak ikhwah, sementara untuk akhawat pula di bawah kelolaan HEWI PMRAM dalam 4 rombongan. Rombongan pertama pada 30 Januari hingga 1 Februari, rombongan kedua pada 6 hingga 8 Februari, rombongan ketiga pada 13 hingga 15 Februari, dan rombongan keempat pada 21 hingga 23 Februari.

Ziarah Makam Aulia
Pada hari Rabu, 20 Oktober 2004 yang lalu, 3 van sewa membawa para penziarah yang terdiri keseluruhannya daripada siswi terkecuali 3 musyrif, Ustaz Asmuni Hasbullah, Ustaz Zainudin Salam serta isteri, dan Ustaz Masnor Hamzah serta isteri. Ziarah ini memilih lokasi sekitar Kaherah seperti program tahun-tahun sebelumnya. Pihak BKPJM merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua.

Rehlah Port Said
Seramai 60 siswa termasuk empat AJKT dan seorang BP PMRAM telah bertolak ke Port Said dalam satu rehlah 1 Novermber 2004 yang lepas. Rehlah ini menyaksikan sebuah bas dan van disewa sepanjang tempoh bermula 7 pagi hingga menjelang maghrib. Buat kali pertama, mahasiswa baru kita berbuka diperhentian kerana maghrib menjelang dalam perjalanan pulang. Sekalung terima kasih buat Ustaz Hafiz Mansor, Ustaz Azman Shaari, Ustaz Ahmad Saufi Mustafa dan Ustaz Mohd Yazid Pardi kerana meluangkan sedikit masa memandu mahasiswa baru.

Berita Dari UDT

Solat hifzi
Sepanjang tujuh minggu berturut-turut bermula 25 November 2004 hingga 6 Januari 2005 yang lalu, Unit Dakwah dan Tarbiah telah menganjurkan solat hifzi sempena musim peperiksaan. Sedikit jamuan disediakan setelah solat dan ditanggung sepenuhnya oleh Badan. Jutaan terima kasih kepada Imam-Imam yang bekerjasama membantu melicinkan program; Ustaz Razif Mohd Sayuti, Ustaz Muhammad Hasbullah Amat, Ustaz Mohd Rasul Amat, Ustaz Nik Ahmad Syahir Nik Salleh dan Ustaz Mohd Hafiz Mansur. Jasa anda semua semoga Allah membalasnya berlipat kali ganda.

Kursus Mandi Jenazah
Unit Dakwah dan Tarbiah sedang merencana sebuah kursus Mandi Jenazah yang dijangka berlangsung dalam Hari Thaqafah BKPJM, bergabung dengan Unit Pengetahuan dan Bimbingan. Kursus ini dijangka berlangsung di penghujung bulan Februari. Semua ahli diharapkan dapat menyertai program ini. Dapatkan tarikh terkini melalui pekeliling yang akan dikeluarkan.

Tayangan Ilmiah daripada Sirah Nabi dan Aulia
Menurut Ketua Unit Dakwah dan Tabiah, Ustaz Mohd Yazid Pardi, sebanyak dua tayangan bersiri berada dalam perancangan untuk disiarkan berikutan daripada sumbangan LCD Projektor daripada Majlis Agama Islam 17 Januari lalu. Dua tayangan itu ialah Maryam al-Muqaddasah dan Ashabul Kahfi yang dilengkapi juga dengan terjemahan ke bahasa Melayu.

Berita Dari LKKS

Zikra Kali Kedua
Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan di bawah Timbalan Setiausaha akan mengeluarkan Zikra buat kali yang kedua dengan proses pembikinannya bermula selepas sambutan Hari Raya Aidil Adha dan dijangka siap sebelum peperiksaan fasa thani berlangsung. Sehubungan dengan itu, seluruh ahli BKPJM diminta bersiap sedia menyerahkan maklumat peribadi berserta sekeping gambar untuk tujuan itu. Menurut Ustaz Azhari Gerto yang merupakan Ketua LKKS, borang akan dikeluarkan dan hanya ikhwah sahaja diminta menyerahkan gambar. Sebarang pertanyaan boleh merujuk terus kepada beliau.

Perlawanan Bola Sepak
Pada 23 haribulan Januari yang lalu, LKKS BKPJM telah menganjurkan perlawanan bola sepak antara ahli yang berlangsung di suk sayyarat dengan tujuan merapatkan silaturrahmi sesama anggota. Sukan ini adalah program tahunan yang merupakan kesinambungan ribat ukhuwah yang masih diteruskan dari masa ke semasa.

Gelanggang Takraw
Keprihatinan LKKS dalam menyediakan kemudahan sukan buat warganya terbukti dengan ubahsuai balai tepi Rumah Johor daripada balai kekal kepada balai pasang buka. Kepada ahli yang meminati sukan warisan ini, anda boleh menggunakannya sepanjang balai tidak digunakan.

No comments: