Thursday, December 15, 2005

Tidak Mahu Jadi Ketua

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Mac 2005
Kolum : Reaksi
Jenis : Artikel
Terbitan : Mac 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Reaksi : Tidak Mahu Jadi Ketua
Oleh : al_jantanie

Fikiran tidak mahu menjadi ketua sudah lama membenih dalam otak kita orang-orang Melayu. Azhari yang juga agamawan tidak terlepas dari bersikap serupa, seolah-olah melupakan bahawa persoalan ini bukan semata-mata membincangkan mahu atau tidak, tetapi lebih melihat kepada perspektif; adakah wajib bagi seseorang itu untuk menjadi ketua. Persoalan yang sebenarnya lebih tertumpu kepada kelayakan, dan keadaan untuk melayakkan.

Sama ada fikiran itu tumbuh daripada sikap, ataupun ia subur daripada ilmu, ia masih memerlukan satu kajian dan pemerhatian yang sudah pasti perlu didirikan atas dasar ilmu dan kesedaran. Kepimpinan pada dasarnya seolah-olah hanya dibahui oleh mereka yang dikira pandai, berbakat, dan disasarkan secara rawaknya kepada mereka yang kelihatan menonjol, tetapi adakah hakikat sebenarnya bersifat begitu?

Tanggal 1 Mac 2005 adalah tarikh terakhir bagi pencalonan Badan Pengurus PMRAM sesi 2005/2006. Tarikh yang sepatutnya menjadi satu daya penarik kepada kita barisan mahasiswa, dalam satu fikrah bukan untuk berlepas tangan dan mencari pintu yang sesuai untuk melepaskan diri, tetapi satu medan untuk sama-sama memikirkan; siapakah ketua yang wajar kita lantik kali ini? Tetapi, adakah kita bersama memikirkannya?

Kita ilmuan yang sedar bahawa sesungguhnya, memilih ketua bukan suatu perkara enteng yang harus dibiarkan tanpa peduli. Kita ilmuan yang tahu bahawa, kepimpinan adalah suatu perkara yang sangat penting, bukan hanya dan semata-mata untuk mencalonkan diri menjadi kepimpinan atau dicalonkan, tetapi turun gelanggang, menceburkan diri, turut sama memikirkan, apakah sifat ketua yang kita harapkan, dan siapakah dia?

Malangnya, berlepas tangan dan mengambil sikap tidak peduli terus-menerus subur dalam diri kita. Tahun lepas, tahun ini dan tidak mustahil tahun akan datang, kita akan terus tidak peduli. Memang, bertindak untuk tidak bertanding kerana tidak berkelayakan adalah satu tindak balas biasa yang normal, namun menguburkan sifat ingin tahu dan ingin memilih adalah satu penyakit kerana bertentangan dengan kewajaran pula.( Berdalilkan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah, mukminin berkumpul walaupun sebahagiannya sibuk menguruskan jenazah Rasulullah S.A.W)

Fikiran ‘tidak mahu menjadi ketua’ bukanlah semata-mata salah, dan ia bukan suatu yang semata-mata cela. Keadaan satu : Sekiranya kita tahu si fulan lebih layak, dan kekosongan itu telah diisi, tindakan mengundur diri dan mempersilakan yang lebih layak adalah tepat. Perhatikan pengajaran mengenai pemilihan ketua dalam suatu tarbiah Tuhan ketika solat; orang yang lebih baik bacaannya adalah lebih afdhal menjadi Imam daripada mereka yang lemah bacaan. Suatu pengajaran yang jelas tetapi tersembunyi, mengisahkan kelayakan seorang ketua.

Keadaan dua : Sekiranya ketiadaan ketua yang sesuai pada satu ketika, dan umat Islam memerlukan seorang ketua ketika itu juga, maka seorang ketua perlu dipilih bagi mengelakkan mafsadah yang mungkin berlaku. Renungi keadaan Imam yang tiba lewat sedangkan Iqamah sudah dilaungkan, maka seorang yang pada hakikatnya ‘biasa’ perlu tampil mengetuai jamaah. Juga ambillah iktibar daripada peristiwa Khaled Al-Waled yang tampil menjadi panglima memimpin tentera setelah syahidnya 3 panglima dalam perang Mu’tah ( Zaid bin Harisah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah )

Patutkah kita ( walaupun dalam situasi wujudnya mereka yang layak ) mengambil sikap tidak peduli siapakah pemimpin kita kali ini? Patutkah kita ( yang mungkin pada pendapat sendiri menyatakan bahawa kita tidak layak ) mengambil jalan ‘tutup mata’ dan ‘tutup telinga’? Jadi di mana izzahnya kita? Kita menyedari bahawa setelah kewafatan Baginda Rasulullah yang tercinta, muslimin telah berkumpul untuk memilih ketua, dan mereka yang berhimpun ini bukanlah semata-mata orang yang dikira layak menjadi ketua, akan tetapi turut dihadiri oleh mereka yang kurang kelayakan.

Dalilnya cuma satu, ihtimam siapa pemimpin kita adalah pokok segala cerita. Ihtimamlah walaupun kita merasakan diri kita tidak layak, kerana itulah yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Baginda yang dimuliakan. ( Maksud saya: ada sahabat yang lebih layak.) Zahirkanlah keprihatinan kita dan kesungguhan kita tentang pentingnya turut serta memikirkan persoalan ini. Tidak terlambat untuk kita mengambil iktibar sekali lagi daripada nasihat Rasulullah kepada 3 orang muslim yang bermusafir untuk memilih seorang ketua di kalangan mereka.

Ertinya cuma satu. Kita adalah musafirun yang disebut Rasulullah, malah lebih daripada bilangan 3, menjejak hingga ke angka ribu. Apakah kita patut menafikan kepentingan perlantikan seorang ketua, dan patutkah kita dalam masa yang sama mengabaikan sifat ‘ambil tahu’ dan ‘ambil berat’? Sesungguhnya orang mukmin itu di sisi mukmin yang lainnya adalah seperti satu bangunan, di mana sebahagian mereka memberi kekuatan kepada sebahagian yang lain.

Tidak mahu jadi ketua.
Wallahu A’lam.

No comments: