Sunday, December 11, 2005

Temuramah Bakal Presiden PMRAM 2004

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Julai 2004
Kolum : Temuramah
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Julai 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Latar belakang: Nama Tuan Haron Tuan Cob, berasal daripada Terengganu, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Bahagia Bintang, kemudian melanjutkan pelajaran ke Madrasah Darul Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan selama tujuh tahun. Dengan Sijil Tinggi Ugama (stu) di sana berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam jurusan Bahasa Arab. Merupakan anak kelima daripada lima orang adik beradik. Dicalonkan sebagai bakal Presiden PMRAM sesi 2004/2005.

KREW WARTA (KW) : Bismillahirrahmanirrahim, kami wakil daripada WARTA mengucapkan terima kasih kepada ustaz kerana sudi ditemuramah pada kali ini. Assalamualaikum.

BAKAL PRESIDEN (B_PRES) :Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Pertama sekali ana ucapkan terima kasih pada krew WARTA, kerana sudi menemuramah ana, untuk bertanya beberapa perkara yang berkait dengan PMRAM khususnya.

(KW) : Bagaimanakah rancangan ustaz berkenaan pembawakan PMRAM pada sesi akan datang ini?

(B_PRES) : Berkenaan dengan pembawakan PMRAM untuk sesi akan datang, pertama sekali kita kena faham, bahawa setiap kepimpinan yang baru itu bukanlah merubah semua corak kepimpinan yang dibawa oleh orang lama, bahkan ia lebih bersifat meneruskan apa yang telah diasaskan oleh orang-orang terdahulu, dan perubahan mungkin berlaku dari sudut teknikal, dan juga dari sudut kesesuaian berdasarkan pendekatan sesuatu masa. Adapun hadaf utama yang menjadi dasar kita, tetap ada persamaan, umpamanya antara hadaf kita adalah untuk mentatbikkan kehidupan secara Islam dikalangan masyarakat Azhari di sini, dan ini menjadi satu tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat Malaysia, pelajar-pelajar Al-Azhar ini hidup dalam keadaan yang bertepatan dengan apa yang mereka belajar. Ini tugas kita, dan Insya Allah, perkara ini akan kita teruskan, sama ada pendekatannya sama atau berbeza. Berkaitan dengan kepimpinan pula, Insya Allah pada sesi yang akan datang ini kita akan mengekalkan hadaf kita dari sudut pengajian ilmu dan juga thaqafah. Sebab apa?. Sebab kalau kita bertanya kepada semua pelajar yang datang ke Mesir ini, nescaya mereka akan menjawab, bahawa mereka datang ke sini untuk menuntut ilmu. Jadi apabila kita bercakap tentang ilmu, maka sudah pasti ilmu itu sama ada di kuliah atau di luar kuliah, di dalam kitab atau di luar kitab. Kalau ilmu di dalam kitab itu banyak, ilmu yang di luar kitab juga banyak. Bermakna, kita perlu mencari ilmu, ilmu yang ada di dalam kitab kita kena baca dan seumpamanya, manakala ilmu yang di luar kitab, yang kita boleh katakan sebagai ilmu kemasyarakatan, juga kita perlu timba. Jadi bergiat dalam organisasi berpersatuan di sini boleh kita katakan bahawa keterlibatan kita itu adalah usaha untuk menimba ilmu dan juga pengalaman berkaitan kemasyarakatan. Walaubagaimanapun, kita akan cuba tekankan di dalam banyak program kita, mengenai pengajian ilmu dan thaqafah, kita akan laksanakan kelas-kelas tafaqquh di peringkat PMRAM juga diperingkat bakan dan dpm, ditambah dengan diskusi-diskusi kitab yang boleh menambahkan thaqafah dan maklumat, terutamanya kitab-kitab yang perlu diketahui oleh seorang pelajar Azhari. Umpamanya dalam fatrah sekarang ini, adalah kitab-kitab yang berkaitan dengan haraki, ataupun yang berkaitan dengan kerja amal ijtima'ie. Ini suatu perkara yang penting, dan perlu difahami oleh masyarakat pelajar, kerana tugas mereka bukan sahaja belajar sehingga mati akan tetapi mereka mempunyai satu tanggungjawab selepas daripada mereka belajar. Mereka perlu menyedari bahawa merekalah orang yang perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut, kerana ilmu yang kita miliki itu, akan bermanfaat sekiranya dapat membantu membangunkan ummah itu sendiri. Sebagaimana Ustaz Mustafha Masyhur menyebut, maknanya, tidak ada nilai, tidak ada keuntungan bagi sesuatu kaum itu sekiranya tidak ada ilmu, dan tidak ada nilai ilmu itu sekiranya tidak mampu mengangkat martabat ummah. Oleh sebab itulah, ilmu dan amal itu merupakan satu perkara yang penting, selama mana kita belajar di sini, timbalah sebanyak mungkin ilmu di sini, serta belajar cara bagaimana untuk menceburkan diri dalam amal ijtima'ie ataupun amal islami. Kita akan cuba merangka perkara ini, supaya disamping kita belajar di sini, kita juga belajar bagaimana menceburkan diri dan mencari pengalaman dalam gerak kerja Islam.

(KW) : Bagaimanakah rancangan ini dapat direalisasikan, dan siapakah yang berperanan besar dalam hal ini?

(B_PRES) : Kita sekarang ini berada dalam sebuah jam'ieyah, sebuah persatuan, yang mempunyai rangkaian kepimpinan, bermula daripada peringkat kepimpinan atasan, sehinggalah organisasi-organisasi di bawahnya. Umpamanya bakan dan dpm, saluran utama kita, dan saluran yang ada ini Insya Allah akan digunakan bagi merealisasikan rancangan ini. Program mega, kelas tafaqqquh, di mana merangkumi semua pelajar Insya Allah akan dilaksanakan di peringkat PMRAM, manakala kelas-kelas bimbingan pula akan dilaksanakan diperingkat bakan dan dpm. Mereka akan mencari guru-guru untuk membimbing pelajar-pelajar kita mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Itu berkaitan kelas bimbingan, manakala kelas-kelas secara umumnya kita akan laksanakan diperingkat PMRAM, tambahan pula jam'ieyah kita ini ada mempunyai beberapa lajnah, antaranya lajnah pendidikan, lajnah pengetahuan, dan juga bahasa arab, memudahkan tugas kita dengan menggunakan saluran yang kita ada ini, untuk merealisasikan hadaf yang kita ingin capai.

(KW) : Apakah cabaran-cabaran yang ustaz dapat lihat sedang melanda oleh PMRAM ketika ini?

(B_PRES) : Berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh PMRAM, secara umumnya ana boleh sebutkan bahawa cabaran ini terbahagi kepada dua, pertamanya cabaran dalaman dan keduanya cabaran luaran. Cabaran dalaman berkaitan dengan kepimpinan dan ahli, oleh itu pihak kepimpinan mesti mempunyai satu kefahaman yang jelas terhadap tanggungjawab yang mereka akan bawa. Manakala cabaran di peringkat ahli memerlukan ahli untuk bersama-sama dan bersedia, bersama dengan kepimpinan mengharungi cabaran-cabaran yang melanda jam'ieyah ini, kesatuan kita, dan dalam masa yang sama kita ingin mewujudkan kepimpinan-kepimpinan yang berkarisma dan beridealisma, memerlukan kepada pendokong yang sama-sama mengharungi cabaran suka duka perjuangan ini. Bermakna, kita akan harungi cabaran ini bersama, kita perlu kepada kepimpinan yang kuat, dan kita juga perlu kepada pendokong-pendokong yang setia. Inilah perkara yang akan kita garapkan Insya Allah. Manakala cabaran luaran pula, kita menghadapi beberapa cabaran, antaranya, cubaan pihak-pihak tertentu, dikalangan pelajar-pelajar Malaysia di sini yang ingin menubuhkan satu persatuan lain, dengan tujuan untuk memecahbelahkan kita. PMRAM yang selama ini dapat menaungi pelajar-pelajar Al-Azhar yang belajar di Mesir, dapat menjaga kebajikan mereka dan seumpamanya, tetapi menjadi persoalan, mengapakah perlu untuk mereka menubuhkan satu persatuan yang lain yang sudah jelas akan memecahbelahkan kesatuanyang ada ini. Hadaf kita dalam jam'ieyah ini sudah jelas, bahawa kita hendak tatbikkan ajaran islam sebagaimana yang kita belajar, dengan mengambil al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar, kita cuba tatbikkan ajaran Islam dalam masyarakat Azhari, masyarakat pelajar kita yang ada di sini. Cabaran yang kita hadapi daripada kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba memecahbelahkan kita ini, akan kita hadapi dengan sebaik yang mungkin, Insya Allah. Terdapat juga cabaran lain yang kita hadapi, mungkin daripada pihak atasan yang kadang-kadang memandang kita dengan pandangan yang serong, hasil daripada maklumat yang salah. Walaubagaimana sekali pun, kita akan cuba mengambil mauqif yang terbaik, Insya Allah, dan kita akan cuba membersihkan imej kita dalam kaca mata kepimpinan negara, supaya mereka dapat menerima kita. Ini adalah kerana kita merupakan satu persatuan kebajikan yang mampu untuk menjaga kebajikan ahli, dan pada masa yang sama, bersama-sama mereka untuk mencari ilmu di bumi Al-Azhar ini.

(KW) : Bagaimanakah ustaz melihat masa depan PMRAM akan datang?

(B_PRES) : Berkaitan dengan masa depan PMRAM, oleh kerana perjuangan PMRAM itu berlandaskan kepada perjuangan Islam, maka Insya Allah masa depan PMRAM itu sangat cerah, kerana sekiranya kita melihat mana-mana perjuangan yang berlandaskan Islam, walaubagaimana getir sekalipun cabaran yang dihadapi, mereka itu tetap berjaya akhirnya. Akan tetapi, sekiranya perjuangan itu tidak berasaskan kepada Islam, apabila mereka menghadapi ujian yang getir, mereka akan kalah, rebah, hancur dan sebagainya. Tetapi, selagi mana perjuangan itu berasaskan Islam, Insya Allah perjuangan itu mempunyai masa depan yang cerah, kerana janji Allah Subahanahu Wa Ta'ala kepada golongan yang memperjuangankan agama Allah akan diberi pertolongan olehNya. Oleh itu, selagi mana jam'ieyah yang ada ini berjalan selaras, selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, selaras dengan ajaran Islam, Insya Allah, masa depan yang cukup gemilang akan dicapai oleh PMRAM itu sendiri.

(KW) : Seterusnya, berkenaan dengan pejabat PMRAM di ARMA, bagaimanakah pandangan ustaz berkenaan hal ini?. Adakah ustaz akan cuba mendapatkan semula pejabat PMRAM di sana?.

(B_PRES) : Berkaitan dengan pejabat PMRAM di ARMA, sejak kita keluar dari ARMA dahulu, kita memang sudah berusaha untuk masuk semula ke situ, kerana pejabat itu merupakan pejabat kita yang sah. Usaha mendapatkan kembali ini akan kita teruskan Insya Allah dalam waktu selepas daripada ini. Walaubagaimanapun usaha ini menghadapi sedikit cabaran dan kesulitan kerana keadaan yang sekarang ini seolah-olah menunjukkan pihak kedutaan sendiri menafikan langsung hak kita di sana, dan mereka seolah-olah mahu menghalau kita daripada sana. Dalam masalah ini, kita akan cuba dapatkan semula pejabat kita itu, kita akan berunding secara baik dengan mereka, dan Insya Allah, selagi mana mereka itu boleh berbincang, kita akan berunding demi kebaikan kita bersama, kerana kita dan kedutaan bukanlah musuh. Satu perkara yang perlu diingat, kerana kita merupakan pelajar dan kedutaan merupakan wakil negara kita di sini. Kita berurusan dengan mereka, boleh jadi sebelum ini ada silap faham pihak kedutaan terhadap kita, oleh sebab itu, mereka tidak mengizinkan kita masuk. Boleh jadi selepas daripada ini, apabila perbincangan berlaku, dan mereka dapat melihat kita dengan keadaan yang sebenarnya, mengetahui hakikat kita, kemungkinan mereka akan mengizinkan kita masuk. Walaubagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan. Kita tidak pasti bilakah kita boleh masuk. Namun kita akan merancang secara berterusan, Insya Allah.

(KW) : Bagaimanakah ustaz melihat sikap Azhari dan Azhariah yang kelihatan cuba mengelak daripada menerima taklifan sebagai kepimpinan, dan apakah pendapat ustaz sendiri terhadap hal ini.

(B_PRES) : Pendapat ana berkaitan dengan sesetengah pihak yang cuba lari daripada tanggungjawab kepimpinan ini, ana boleh sebut sebagai satu masalah ummah itu sendiri. Masalah ini bukan sahaja berlaku dalam kepimpinan PMRAM, bahkan kita boleh katakan bahawa masalah ini berlaku di seluruh tempat di seluruh dunia, di mana ia yang melanda umat islam itu sendiri. Kita dapat lihat umat islam itu suka untuk berpeluk tubuh, bersenang-senang untuk diri sendiri, tidak memikirkan nasib orang lain, tidak memikirkan permasalahan umah dan seumpamanya. Kerana apa?. Apabila mereka tidak memikirkan nasib ummah, mereka tidak mahu menerima tanggung jawab. Jadi ini adalah salah satu musykilah yang melanda ummah islam itu sendiri. Manakala PMram sememangnya tidak dapat dinafikan perkara ini memang berlaku, dan dalam masalah ini, kita amat-amat mengharapkan kepada pelajar-pelajar yang belajar agama ini agar memahami bahawa, apabila digelar sebagai orang yang belajar agama, tuntutan kepada mereka adalah beramal dengan apa yang mereka belajar. Dan dalam situasi sekarang ini, kita lihat dunia umat islam seluruhnya ditekan, masa sekarang inilah masa yang amat penting kepada umat islam untuk bangun bekerja mengembalikan keizzahan Islam itu sendiri. Dan sekiranya kita melihat keadaan sekarang ini, tekanan yang berlaku kepada umat Islam disebabkan umat Islam lari daripada tanggungjawab, lari daripada tugas. Begitu juga keadaan kita pada hari ini sekiranya kita cuba lari daripada tugas yang diberikan itu, siapakah yang akan melaksanakan tugas-tugas dakwah, tugas-tugas membina kekuatan ummat Islam itu sendiri. Di peringkat jam'ieyah, sekiranya tugas-tugas jam'ieyah dalam usaha untuk menguatkan kesatuan, sekiranya kita meminta tenaga-tenaga daripada individu-individu tertentu sedangkan mereka tidak bersedia menyumbang tenaga, bagaimana kita hendak membina kekuatan. Oleh sebab itulah, kita mengharapkan perlu sikap menerima tanggungjawab ini, kerana kita sebagai pelajar agama kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap agama Allah Subhanahu Wa Ta'ala, mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, tanggungjawab kepada kaum muslimin yang lainnya. Kita perlu memahami bahawa kita bukan bertanggungjawab kepada diri kita sahaja, bahkan kita bertanggungjawab kepada masyarakat islam dan kepada agama Allah itu sendiri. Itulah yang lebih penting.

(KW) : Ustaz telah dicalonkan sebagai presiden PMRAM akan datang, bagaimanakah pandangan ustaz berkenaan hal ini?

(B_PRES) : Setelah dicalonkan sebagai calon presiden untuk memimpin PMRAM bagi sesi akan datang, ana cukup terasa ini adalah satu tanggungjawab yang berat, yang sememangnya perlu dilaksanakan, kerana sekiranya hendak dikira dari sudut kelayakan, boleh jadi ada orang lain yang lebih baik daripada ana untuk memimpin PMRAM ini, akan tetapi, oleh kerana ini adalah satu pilihan, satu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, ana menerimanya. Walaupun tanggungjawab ini tanggungjawab yang berat, namun kerana kita mempunyai tempat bergantung iaitu Allah S.W.T, maka Insya Allah, tugas ini akan kita laksanakan, tambahan pula kepimpinan-kepimpinan yang ada sekarang ini Insya Allah adalah kepimpinan yang mampu membawa PMRAM kea rah kecemerlangan, jadi apabila kita bersama-sama berbincang dalam satu masalah, kita akan mampu membawa PMRAM ke arah yang lebih cemerlang lagi, Insya Allah. Dan ini sememangnya merupakan tanggungjawab yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja apabila mereka itu dipilih oleh ahli. Kerana apa? Mungkin mereka memilih kita untuk memimpin pada waktu ini, dan sebelum ini persatuan dipimpin oleh orang lain, dan pada masa akandatang, orang lain pula akan memimpinnya. Sekarang ini masa untuk kita, jadi kita tidak boleh lari daripada perkara tersebut, walaubagaimana kita cuba harungi dengan sebaik yang mungkin, dengan kekuatan yang ada, kita akan cuba membawa PMRAM ke arah kejayaan, Insya Allah.

(KW) : Akhirnya, apakah harapan ustaz kepada PMRAM, kepada kepimpinan dan kepada ahli sendiri?.

(B_PRES) : Harapan kepada kepimpinan PMRAM dan juga kepada ahli, pertamanya, disamping kita bertanggungjawab menuntut ilmu dan menimba pengetahuan di perantauan ini, kita juga mesti membina syahsiah kita sebagai seorang kepimpinan. Kerana apa? Kerana di sinilah tempat kita belajar ilmu, dan di sinilah sepatutnya tempat untuk kita membina syahsiah kita, apabila kita pulang ke tanahair nanti, waktu itu orang melihat kita sebagai seorang yang mempunyai pengajian yang tinggi, mereka akan meletakkan kita sebagai kepimpinan mereka. Bagaimana kita hendak memimpin mereka sekiranya kita tidak tahu cara untuk memimpin mereka?. Maka, oleh sebab itulah, ana mengharapkan kepada orang-orang yang dipih menjadi kepimpinan, walaupun mereka sibuk, jadikanlah sibuk mereka itu sebagai pengalaman yang amat berharga kepada mereka, ilmu kepada mereka, sebagai bekalan untuk mereka balik ke tanahair nanti. Mereka mesti membina syahsiah kepimpinan di sini. Dan harapan ana kepada ahli PMRAM, berilah sokong kepada kepimpinan yang ada ini, semoga dengan sokongan yang diberikan oleh seluruh ahli, apa jua masalah dan cabaran yang menimpa jam'ieyah kita ini, akan dapat kita hadapi dengan sebaik mungkin. Janganlah apabila kita berhadapan dengan masalah, kita lari daripada tanggungjawab, inilah harapan ana kepada semua ahli PMRAM, supaya sama-sama menjaga persatuan kita ini, selagi mana persatuan kita ini cuba menjaga agama Allah S.W.T.

No comments: