Saturday, December 17, 2005

Agenda Boikot, Membentuk Fikrah Selari Matlamat

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Ogos 2005
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : Ogos 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Agenda Boikot, Membentuk Fikrah Selari Matlamat.
Oleh : al_jantanie

Seorang kawan datang bertamu soalan; mengapa kita memboikot Yahudi sedangkan dahulu Rasulullah juga berurusan dengan Yahudi?Sekali imbas, boikot yang cuba kita laksanakan bertentangan amat dengan pembawaan Rasulullah (berdasarkan kenyataan itu). Bahkan saya sendiri terpinga beberapa ketika mencari jawapan sebenar; mengapa kita boikot Yahudi sedangkan Rasulullah sendiri pernah berurusan dengan kaum yang derhaka itu?

Barangkali, boikot yang kerap diuar-uarkan salah fokus atau lari tumpuan, kerana kita memboikot Yahudi bukan kerana agamanya. Kita memboikot Yahudi bukan kerana kaum itu engkar Islam, tetapi kerana boikot sendiri membawa satu makna lebih dalam daripada sekadar meliputi aspek ekonomi dan sekitarnya.

Jika boikot yang kita pegang adalah kerana perbezaan agama, pasti Buddha, Kristian dan segala agama yang berbeza (daripada agama kita-Islam) akan kita boikot. Adakah kita tidak sedar tujuan sebenar boikot ini?

Lagipula, andai boikot bermotif memulaukan barangan daripada bukan Islam, dengan tujuan agama, mengapa Amerika (yang bukan agama, tetapi negara) turut diboikot sama? Sekali lagi, adakah hanya Amerika sahaja negara bukan Islam di dunia ini?

Pemahaman boikot yang berpecah harus disusun menjadi satu titik yang menumpu. Boikot bukan kerana agama berbeza, bukan kerana faktor ekonomi, bukan kerana mereka bukan Islam; tetapi boikot adalah peperangan. Boikot adalah peperangan dengan bersenjatakan ekonomi.

Boikot adalah perang. Boikot bermula sejak kezaliman tentera Israel dan Yahudi terhadap Palestin. Boikot melebar kepada Amerika sejak negara itu menyokong dari belakang. Bahkan boikot diperinci hingga kepada bukan agama, bukan negara, tetapi syarikat-syarikat mahupun pertubuhan di mana sahaja; kerana mereka membantu Yahudi, Israel dan Amerika dalam kezaliman terhadap Palestin.

Hatta jika barangan sekecil makanan ringan di bumi Anbia' ini menyumbang dana kepada tujuan itu, mereka akan menjadi setahap Amerika, Yahudi dan Israel.

Bertitik tolak daripada itu, kita memboikot. Kita memerangi mereka kerana mereka memerangi saudara kita. Umat Islam yang diperangi harus dibantu, tetapi kewujudan negara Arab yang berpecah menatijahkan sikap lupa 'membuka mata' kerana 'mata hati sudah tertutup rapat'. Umat Islam Pelstin yang diperangi Yahudi dan Israel perlu ditentang dengan jihad. Bukankah mempertahankan agama itu wajib, sekalipun dengan nyawa?

Kita sedar apabila negara-negara Arab enggan membantu mempertahankan Palestin (tidak kira apa jua alasan mereka) bahkan sesetengah mereka makin membantu membuka jalan, kita cendekiawan patut lebih celik daripada mentari – mengapa peperangan ekonomi jadi galang ganti. Ini kerana nyawa dan kehormatan diri juga agama diceroboh dan tidak dipertahan, negara jiran memperhati dan membiarkan sedang kita juga, bukan tentera yang memperjuangkan negara Paletin; semua ini sebab mengapa jihad ekonomi dilancarkan.

Memahami perkara ini dengan baik boleh menjelas mafhum muwafaqah – andai negara kita Malaysia turut sama menyumbang kepada Yahudi dan sekutunya; jelas sekali bahawa, kita akan turut sama memboikot barangan kita sendiri. Atau sedarkan kerajaan dan minta mereka menukar pendirian.

Kerana itulah, kita (setakat ini) tidak memboikot barangan China, India, atau barangan Budhha juga sebaliknya tetapi memboikot (baca:memerangi) mereka yang memerangi saudara kita di Palestin. Betulkan pemahaman dan teruskan boikot.

Seorang kawan lagi datang menjadi matahari menghalau gelita salah faham (memperjelas keadaan); Yahudi zaman Rasulullah tidak sama Yahudi zaman sekarang. Yahudi zaman sekarang memperguna harta kita untuk menindas kita. Jadi mana layaknya kita menyumbang sesuatu membantu mereka?

Tulisan ini bertujuan menyatukan fikrah selari matlamat – Boikot terus boikot.

No comments: