Friday, December 02, 2005

Rapat BKPJM

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Rapat BKPJM

HAYYU THAMIN 1 Ogos 2004- Majoriti ahli mendesak Badan Anak Johor supaya persatuan ‘serpihan’ itu dibubarkan, dalam Mesyuarat Agung Khas, satu slot daripada program ' Rapat BKPJM ' di Dewan Ibn Sina, Rumah Johor, yang telah dirasmikan oleh Presiden PMRAM sesi 2004/2005, Tuan Haji Tuan Haron bin Tuan Cob. Suasana majlis menjadi hangat dengan asakan bertubi-tubi daripada ahli kerana badan tersebut dilihat memberikan impak kepada perpecahan di kalangan ahli.

Program yang merupakan gabungan 3 program mega, iaitu Sesi Dialog bersama Pengarah JPMK, Hiwar BKPJM dan Mesyuarat Agung Khas, turut menyaksikan kehadiran Tuan Pengarah JPMK sendiri, Tuan Haji Wan Bakar bin Wan Dagang, serta beberapa Badan Pengurus PMRAM. Antaranya Presiden PMRAM sendiri, Tuan Haji Tuan Haron bin Tuan Cob, Timbalan Presiden 1, Ustaz Khairul Nizam Mat Hussin, Bendahari Kehormat, Faizul Hakim bin Ahmad, dan Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma, Ustaz Hafiz Mansur.

Kesemua AJKT dan HEWI hadir kecuali Ustaz Lokmanul Hakim Abdul Rahman, Ustaz Hairi Hamzah dan Ustazah Azwina Zainol Abidin yang pulang ke Malaysia, namun majlis tetap hangat dan meriah. Kehadiran ahli amat menggalakkan sehingga melebihi sasaran dua pertiga yang ditetapkan, dengan 141 orang, membolehkan keputusan pengundian semasa Mesyuarat Agung Khas untuk diluluskan.

Mantan BPP PMRAM, Ustaz Rosdi Ramli mempengerusikan majlis dengan agenda yang pertama, iaitu Majlis Perasmian pada pukul 10.15 pagi, setelah pendaftaran mula dibuka sejak 9.30 pagi. Program bermula dengan ucapan daripada Pengarah Program, Ustaz Abdul Halim Hafiz, disambung pula dengan ucapan daripada Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Khalid bin Salikan sebelum memberi ruang kepada Presiden PMRAM menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan program tersebut.

Kedatangan Pengarah JPMK pada jam 10.50 pagi menyaksikan bahawa agenda kedua sudah hampir bermula. Majlis diteruskan dengan Tuan YDP BKPJM sendiri telah menjadi pengerusi dalam majlis Dialog Bersama Pengarah JPMK. Sesi Dialog dimulakan dengan penerangan ringkas oleh Tuan Pengarah sendiri tentang rasional berdaftar dengan Kedutaan, disamping membentangkan kronologi arahan berdaftar daripada pihak Kedutaan. Setelah sesi dialog dibuka, banyak persoalan yang menarik dapat dilihat telah dilontarkan oleh ahli kepada pihak Jabatan Penuntut. Antaranya isu penaung, isu niqab, isu BAJ, isu pendaftaran dengan syuun ijtimaie, isu zakat dan pinjaman, isu bernaung di bawah PMRAM, dan isu rumah negeri.

Setelah selesai solat Zuhur dan makan tengahari, agenda ketiga, iaitu Hiwar bersama Exco BKPJM diadakan sehingga menjelang waktu asar. Sambutan ahli agak hambar, walaupun terdapat banyak persoalan yang ditimbulkan. Antaranya, persoalan tentang BCC , PMHK, bowling, ikhtilat daripada interkom, SUKEJ yang kurang aktif, syarat menjadi penulis SUKEJ, dan gelanggang takraw. Ahli turut mempersoalkan sumber kewangan Badan, sumber kewangan tabung derma, siapa penerima, masalah syiah, akhawat balik lewat, ‘mandi minyak wangi’, lewat maklum pelaksanaan program, dan banyak lagi isu yang ditimbulkan.

Agenda kemuncak iaitu Mesyuarat Agung Khas dimulakan tepat jam 5.45 petang, membincangkan satu usul yang dibawa oleh AJKT BKPJM, iaitu Pendaftaran BKPJM kepada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang membawa kepada penambahan penaung. Suasana kembali rancak dan panas dengan hujah menyokong hanya melebihi satu cadangan berbanding hujah menentang.

Antara hujah-hujah yang menyokong ialah menjaga kebajikan ahli, sekatan zakat dapat dilepaskan, negeri-negeri yang telah berdaftar tiada bermasalah dan dapat mempertahankan rumah Johor. Namun penghujah meletakkan beberapa syarat jaminan sebelum BKPJM didaftarkan, antaranya desakan agar BAJ dibubarkan. Hujah-hujah menentang pula antaranya sejarah terdahulu menjadi bukti, sifat maddiyah, kewajipan hanya mendaftarkan individu bukan persatuan, ikhtilat, dan tiadanya kuasa Kedutaan melepaskan mereka yang ditangkap Amin Daulah.

Hasil pengundian menyaksikan terdapat dua undi rosak dengan 1.75 peratus, 39 menentang pendaftaran dengan 34.21 peratus, dan 73 menyokong pendaftaran dengan 64.03 peratus. Semua ahli yang hadir telah mengundi kecuali AJKT dan HEWI BKPJM. Dengan itu, majoriti ahli telah bersetuju untuk berdaftar, dan usaha seterusnya akan diteruskan oleh kepimpinan BKPJM.

No comments: