Sunday, December 18, 2005

Bersyukurlah walaupun...

Majalah : SUKEJ
Edisi : 103
Kolum : Meriam Buluh
Jenis : Artikel
Terbitan : 2003
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Meriam Buluh : Bersyukurlah walaupun...
Oleh : al_jantanie

Sidang azhariyin pembaca sekelian, jadilah kita orang yang bersyukur, walaupun terkadang kita dilanda pelbagai kesulitan hingga kita asyik terfikir akan hikmah disebaliknya. Diperhati dan diteliti, bagaikan tiada hikmah yang dapat kita fahami. Bagaikan ada rahsia Maha Pencipta berselindung disebaliknya. Dengan limpah rahmatNya, siapa tahu, mungkin apa yang kita benci lebih baik daripada apa yang kita suka.

Mungkin ada baiknya kita perhatikan sebuah cerita yang terputus sanadnya. Barangkali ada istifadat berguna untuk kita semua. Iaitu satu kisah seorang lelaki yang sedang menuruni anak tangga di sebuah bangunan bersama rakannya, lalu tiba-tiba dia jatuh tangga hingga luka dan bengkak kakinya, lalu diketawakan oleh rakannya. Namun si jatuh ini tetap mengucapkan syukur atas ketentuan itu dan redha akan bahagiannya. Bersyukur dengan segala pemberian tuhan, baik dan buruknya.

Hendak dijadikan cerita, si jatuh ini dan rakannya kemudiannya melintasi sebuah jalan. Adat orang yang sakit kakinya tentulah akan terdengkut-dengkut, sedang rakannya melintas dengan pantas. Tanpa disedari, pada waktu yang sama, sebuah lori melalui jalan itu lalu melanggar rakannya itu. Atas takdir Allah, maka matilah dia. Alangkah terkejutnya si jatuh tadi apabila hikmah disebalik jatuhnya dia tertayang didepan mata. Musibah jatuhnya tangga, luka bengkak dan jalan terdengkut-dengkut, adalah lebih kecil daripada musibah hilangnya nyawa.

Kadang-kadang tidak disingkapkan hikmah lebih baik daripada kita mengetahuinya. Mana pilihan kita? Mungkin lebih baik kita redha dengan hikmah yang tidak kita ketahui daripada tidak sanggup menerima apa yang ingin kita ketahui. Atau kita lebih tabah tidak kira apa jua yang Allah takdirkan?

Atas sebab apapun, jadilah kita orang yang bersyukur, dengan nikmatNya sudahlah tentu, dengan ujianNya juga adalah perlu. Mungkin ada baiknya saya bawakan sebuah cerita lagi, mungkin antara kita ada yang pernah mendengar cerita ini yang bermula di suatu tempat yang bukan tempat kita, begini ceritanya...

Suatu hari, seorang raja keluar berburu bersama penasihat diraja di dalam sebuah hutan yang belum pernah mereka jejaki. Ditakdirkan tuhan, kaki raja terkena jerat lalu patah sebelah kakinya. Lalu berkata penasihatnya, “Alhamdulillah” segala puji bagi Allah yang berkuasa mentakdirkan segala sesuatu. Apa lagi, marahlah si raja, maka setelah pulang dan berubat, dipenjarakan penasihatnya itu, kerana baginda terasa bagai dihina layaknya.

Setelah sembuh, dengan kaki palsu beliau keluar berburu sekali lagi bersama hulubalang yang lain. Malang sekali lagi, dengan takdir Allah, baginda telah sesat lalu ditangkap oleh sekumpulan orang Asli Cannibal pemakan daging manusia. Raja diikat diarak mengelilingi perkampungan tersebut, hingga baginda sendiri merasakan disitulah kesudahan baginda. Namun atas kehendak Allah yang menguasai langit dan bumi, andai Dia kehendaki sesuatu, maka tiada yang dapat menghalangnya. Raja terlepas daripada dimakan kerana kakinya cacat, kebetulan orang asli itu tidak memakan orang yang cacat.

Maka kembalilah raja berjumpa dengan penasihatnya, mengadukan ceritanya. Berkata penasihatnya sekali lagi, “ Alhamdulillah” dan berterima kasih kepada raja kerana memenjarakannya. Hairanlah raja lalu bertanya sebab apa penasihat berterima kasih, lalu dijawab, sekiranya tidak dipenjara, mungkin dia yang akan dimakan kerana dia tidak cacat.

Sekarang bagaimana?.

Azhariyin sekelian, dua cerita yang dibawakan ini membawa pelbagai pengajaran untuk kita semua, yang dipetik daripada ribuan cerita, mungkin ada yang pernah berlaku di depan mata kita, disingkap rahsia hikmah disebalik kejadiannya, dan mungkin banyak lagi yang Allah sembunyikan, untuk menduga sejauh mana syukurnya kita. Moga-moga dengan satu ujian yang Allah timpakan menjadikan kita semakin rapat dengan tuhan, malah ujian itu sebagai penebus dosa daripada di azab di akhirat kelak.Ujian itu adalah bukti kebijaksanaan Allah dan tanda daripada tanda-tanda kekuasaannya, sebagaimana kita tahu, tidaklah Allah jadikan sesuatu perkara itu sia-sia, bertepatan dengan firmanNya dalam surah Ali Imran, ayat 191 yang bermaksud:“

(Yaitu) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka memikirkan kejadia langit dan bumi (sambil berkata): Ya tuhan kami, bukanlah engkau jadikan (perkara) ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilainya. Bersyukurlah walaupun...

No comments: