Sunday, December 04, 2005

Kosmopolitan

Majalah : SEGA
Edisi : 2003/2004
Kolum : Temuramah
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Wartawan SEGA 04 (WS'04) : Assalamualaikum ustaz.
Presiden (PRES) : Waalaikumusssalam warahmatullahi wabarakatuh.
WS'04 : Kami wakil daripada SEGA'04 mengucapkan terima kasih kepada ustaz kerana sudi ditemuramah pada kali ini. Kami amat berbesar hati dengan kerjasama yang ustaz berikan. Moga Allah memberkati usaha ini dan merahmati kita semua. Terlebih dahulu, kami ingin mengucapkan tahniah atas perkahwinan ustaz baru-baru ini.
PRES : Sama-sama. Pertamanya, terima kasih kepada krew SEGA' 04, setinggi-tinggi penghargaan daripada saya kerana memberikan peluang kepada saya dalam ruangan ini, dan insya allah, beberapa perkara yang akan dinyatakan di sini memberikan manfaat kepada kita bersama.
WS'04 : Jadi sebelum saya bertolak kepada soalan-soalan seterusnya, boleh ustaz perkenalkan terlebih dahulu sedikit latar belakang diri ustaz.
PRES : Berkenaan dengan latar belakang saya, saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Teluk Pasu kerana saya berasal daripada kampung tersebut. Saya melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jering. Seterusnya menyambung ke peringkat yang lebih tinggi iaitu di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, (KUSZA). Dengan sijil yang dikeluarkan oleh kolej tersebut itu, saya layak untuk datang ke Mesir bagi menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar. Alhamdulillah, sekarang ini berada di tahun akhir dan sedang menunggu natijah. Doakan kejayaan saya, moga najah, Insya Allah.
WS'04 : Bila ustaz dijangka pulang ke Malaysia ?
PRES : Itu bergantung kepada perbincangan dengan keluarga, lebih-lebih lagi saya mempunyai cita-cita untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, ia bergantung kepada perbincangan dengan keluarga, meminta pandangan mereka, serta meninjau kekuatan ekonomi dan sebagainya, beberapa faktor penting sebelum membolehkan saya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat Master Insya Allah.
WS'04 : Amin. Semoga tercapai. Sebenarnya pada malam ini kita akan membincangkan satu tajuk tentang "Kosmopolitan dan PMRAM". Bolehkah ustaz terangkan terlebih dahulu serba sedikit tentang kosmopolitan secara umum.
PRES : Ya. Kalau kita melihat kepada pengertian kosmopolitan secara umum, ia sebenarnya merangkumi semua aspek kehidupan yang lebih menyeluruh. Maknanya, kita perlulah mempunyai pengalaman dan pandangan yang universal serta menyeluruh, bukan sekadar setempat, atau tertentu sahaja pada beberapa perkara sahaja, tetapi ia merangkumi semua. Malah ia tidak bergantung semata-mata kepada perkara-perkara yang berlaku di sekitar sahaja, bahkan ia melihat sesuatu perkara dengan menjangkau jauh, dan pandangan-pandangan yang dikeluarkan bernas. Kalau kita katakan seorang itu mempunyai sifat kosmopolitan, maka kita dapat lihat pandangannya tidak tertakluk kepada ruang lingkup sekitarnya sahaja, sebaliknya ia akan melangkau jauh kehadapan, kerana pandangannya yang matang. Itulah serba sedikit makna kosmopolitan pada pandangan saya.
WS'04 : Seterusnya, pada pendapat ustaz bagaimanakah kosmopolitan yang dibenarkan mengikut konsep islam?
PRES : Bila kita telah memahami tentang konsep kosmopolitan yang bersifat universal, tidak hanya tertumpu semata-mata pada satu tempat, maka di sana kita kena memahami bahawa sebagai seorang muslim, kita perlu menyelidik, mengambil apa-apa jua dasar yang tidak bertentangan dengan kehendak islam. Sebagaimana yang Rasulullah S.A.W ada menyebut "alhikmatu dollatun minal mukminin". Hikmat itu merupakan suatu yang hilang daripada umat islam, maka " anna wajadaha fahua ahakku biha", maka apabila kamu mendapatinya, maka orang Islam inilah yang sepatutnya yang lebih berhak untuk mendapatkannya. Begitulah kita melihat konsep kosmopolitan ini, selagi mana ia tidak bercanggah dengan islam, ia boleh digunakan. Apabila kita berada dalam ruang lingkup yang begitu luas ini, kita hendaklah membataskan kepada perkara-perkara yang tidak melanggar prinsip-prinsip Islam, tidak melanggar dasar-dasar Islam. Contoh yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W, adalah ketika berlakunya peperangan Khandak. Kita dapat saksikan bagaimana Salman Al-Farisi mengemukakan satu cadangan kepada Rasulullah, dalam usaha menghadapi golongan kuffar ketika itu, beliau mencadangkan supaya umat islam sama-sama membuat khandak, iaitu parit. Jadi Rasulullah S.A.W melihat ini satu perkara yang baik walaupun ia datang daripada pandangan seorang Farsi, dan ini merupakan strategi yang dibuat oleh tentera Farsi. Walaupun sedemikian halnya, namun tidak menjadi masalah kerana dasarnya tidak bercanggah dengan Islam, malah ia memberikan keuntungan kepada islam, maka ia boleh diambil dan digunakan. Begitu juga konsep kosmopolitan ini, saya melihat ia tidak menjadi satu masalah untuk kita laksanakan dalam kehidupan kita. Tambahan pula kita melihat ia merupakan satu perkara yang lebih ke hadapan, lebih advanse untuk kita kemukakan kepada ahli-ahli pmram khususnya. Kita tidak sepatutnya menjadi orang yang dikatakan seperti katak di bawah tempurung, hanya di tempatnya sahaja, takut dan tidak keluar, maka anjakan paradigma itu tidak ada. Seharus dan selayaknya pemikiran kita mestilah menjangkau keluar, dan tidak hanya setempat, selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran islam.
WS'04 : Siapakah berperanan untuk merealisasikan kosmopolitan ini dan bagaimanakah cara untuk merealisasikannya?
PRES : Pertama sekali, kita melihat dari konsep keberadaan kita di Mesir, di mana kita mempunyai sebuah kesatuan yang menaungi seluruh anak-anak Melayu, persatuan induk yang bernama, 'Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir' , (PMRAM), yang mempunyai kepimpinan dan juga ahli. Maka sekiranya kita ingin melihat perkara ini tercapai dengan menghasilkan ahli-ahli pmram yang berfikiran terbuka, namun bukan bebas sebebas-bebasnya, masih berlandaskan kepada ajaran islam dan bertepatan dengan syarak, maka ia perlu di tanggung dan ia perlu di laksanakan dengan dipundakkan ke atas semua ahli, dan bukannya terhad kepada kepimpinan sahaja. Tidaklah dinafikan bahawa kepimpinann itu bertanggungjawab dalam melaksanakan perkara ini, akan tetapi ahli merupakan faktor utama kepada kejayaan yang kita ingin capai hari ini. Kita ingin supaya ahli lebih ke depan, lebih bersifat universal dan global, maka sekiranya kita menggariskan sesuatu matlamat yang tertentu dalam bentuk program dan sebagainya, maka program-program itu tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya tidak ada sokongan daripada ahli. Yang penting, kita tidak hanya mewarwarkannya sahaja, tetapi dari sudut perlaksaanaan kita tidak berjaya.
Maknanya,kita cuba terapkan konsep kosmopolitan di dalam pmram melalui program-proram yang kita salurkan kepada ahli. Sebagai contoh, kita pernah mengadakan satu program pmram yang melibatkan pelajar-pelajar dari luarnegara,dan kita juga pernah kita menghantar wakil pmram sendiri kepada program yang dianjurkan oleh badan-badan yang lain di mesir ini. Contohnya pertubuhan World Association of Muslim Youth, 'WAMI', satu pertubuhan besar dunia, merangkumi lebih daripada 50 negara yang menyertai program tersebut. Jelas di sana akan terhasilnya ideologi kosmopolitan, yang akan memberi sesuatu kesan positif kepada ahli kita supaya berfikiran lebih luas. Bukan sekadar pergaulan dikalangan ahli pmram dan orang melayu sahaja, akan tetapi dengan penyertaan ini dia akan memerhatikan perkara-perkara yang berlaku di negara lain untuk diambil manfaat dan digunakan bagi kepentingan negara khususnya apabila pulang kelak, atau untuk kepentingan pmram itu sendiri. Kesimpulannya, kita cuba melaksanakan kosmopolitan ini melalui pelaksanaan program, selain cuba mendedahkannya kepada ahli dari sudut ilmu, apakah keperluan-keperluan yang perlu ada, sifat-sifat kosmopolitan yang sewajarnya dipraktikkan.
WS'04 : Benarkan dakwaan yang mengatakan perpecahan dikalangan siswa siswi pelajar azhari di sini, dengan kata lain 'taaddud jamaie' , berpunca daripada pmram itu sendiri yang tidak kompleks dan tidak bersifat kosmopolitan?
PRES : Ini satu dakwaan yang batil, tidak berasas, kerana kita melihat pmram sebenarnya mementingkan semangat perpaduan, mementingkan kesatuan dikalangan ahlinya sendiri. Oleh kerana itu, kita menyeru kepada mana-mana pelajar yang berada di sini, mana-mana rakyat Malaysia, mereka semua boleh menjadi ahli pmram, bersama-sama dengan pmram mendokong wadah yang sama, tujuan yang sama. Adapun dari sudut perlaksaaan bagaimana kita berusaha mempelbagaikan aktiviti cuma merupakan satu strategi sahaja, maka kita melihat tidak perlu untuk kita wujudkan satu pertubuhan yang lain, yang mana boleh membawa kepada perpecahan dikalangan kita. Pmram sendiri tidak bersetuju dengan taaddud jamaie yang boleh membawa kepada perpecahan dikalangan kita, di mana ia menyaksikan berlakunya berlainan pucuk pimpinan, menyumbang kepada berlakunya pertelingkahan, sepertimana yang kita lihat kesannya pada hari ini. Begitu juga kita melihat dikalangan ahli ini, terdapat mereka yang mempunyai ideologi dan fahaman masing-masing, seperti wujudnya fahaman politik dan sebagainya. Contoh ini menjadi bukti yang menunjukkan bahawa kita tidak menjadi faktor kepada perpecahan, kerana kita tidak menggalakkan mana-mana individu atau kumpulan untuk menubuhkan satu pertubuhan yang lain daripada pmram, di mana bersifat kepada perjuangan pertubuhan mereka masing-masing. Ini membawa kepada perpecahan, dan ini telah menjadi suatu perkara yang makruf dikalangan ahli. Sekali lagi, dakwaan yang mengatakan bahawa pmram adalah sebuah pertubuhan yang membawa kepada perpecahan, merupakan satu dakwaan yang tidak boleh diterima sama sekali, kerana kita menyeru kepada kesatuan di bawah satu wadah. Apa-apa jua fahaman dan ideologi mereka, biarlah tersimpan di dalam diri masing-masing, tanpa diluahkan dan dizahirkan. Akan tetapi mereka seharusnya sama-sama kita berada di bawah pmram, untuk kita sama-sama bersatu dengan tujuan yang sama, melaksanakan matlamat kita yang lebih besar, melaksanakan tugas sebagai khalifah, melaksanakan tugas kita sebagai pelajar. Politik ini kita tolak ke tepi, kerana sekiranya masing-msaing ingin menubuhkan kumpulan masing-masing atas fahaman politik, maka akan berlakulah halnya seperti Malaysia. Kita tidak menafikan kebebasan individu hingga tidak membenarkan ahli mempunyai fahaman politik masing-masing, akan tetapi jangan dizahirkan di sini. Apabila balik ke Malaysia nanti, masing-masing bebas berpolitik, tetapi di mesir ini kita tegaskan bahawa jangan kita berpecah, dan terus berada di dalam pmram, insya Allah
WS'04 : Bilakan target pmram untuk mencapai matlamat 'pmram ke arah kosmopolitan?
PRES : Setelah kita membahaskan tentang kosmopolitan ini, kita dapat melihat ia sebenarnya satu konsep yang baik, boleh memberikan manfaat kepada pmram dan kepada ahlinya sendiri. Untuk memperkatakan berkenaan target, sekiranya kita melihat kepada wakiq kita di mesir ini, pelajar-pelajar kita tidak berterusan berada di sini. Paling lama berada sekitar empat tahun, mereka datang pada tahun pertama dan menamatkan pengajian pada tahun 4. Lebih-lebih lagi sekarang ini terdapat pelajar yang datang terus ke tahun tiga dan tahun empat, maka cukup sukar untuk kita katakan target yang tetap, kerana orang sentiasa bertukar ganti, malah kepimpinan juga sentiasa bertukar. Walaubagaimanapun, kita melihat kosmopolitan ini suatu perkara yang baik, dan boleh diletakkan sebagai suatu dasar untuk kita capai, menjadi satu mata rantai kepada target pmram sebagai kesatuan yang bersifat kosmopolitan, di mana pmram cuba memberi sumbangan kepada kejayaan usaha ini. Mungkin perkara ini boleh diteruskan untuk dilaksanakan di Malaysia bagi melahirkan golongan-golongan yang bersifat sedemikian, memberi sumbangan mereka kepada pmram sendiri dan kepada tanah air kita, Malaysia. Perkara ini adalah satu benda yang sukar, memerlukan kepada satu perjalanan yang jauh, tak semudah untuk kita capai dalam masa setahun dua. Akan tetapi walaubagaimana sekalipun, kita tidak mengabaikan perkara ini, kita terus membuat program dan sebagainya untuk mendedahkan kepada ahli tentang kepentingan perkara ini.
WS'04 : Jika begitu ustaz, sejauh manakah kesan kosmopiolitan terhadap pmram dan ahli pmram itu sendiri.
PRES : Alhamdulillah, apabila kita melihat kepada sejarah pmram itu sendiri, kita dapati ahli pmram tidak berfikiran sempit, pandangan dan tindakan mereka juga tidak terhad atau bersifat setempat. Kita dapat menyaksikan mereka memerhatikan perkara-perkara yang berlaku di dunia luar. Ini bermakna ahli pmram sudah ada sifat universal itu. Contoh sekarang ini, ahli pmram tidak ketinggalan dari sudut ict dan perkembangan sistem berkomputer. Ahli pmram sekarang ini mungkin lebih maju daripada apa yang kita dapat lihat sejak lima tahun kebelakangan ini. Ini membuktikan di sana sudah ada kesan daripada apa yang sentiasa kita war-warkan selama ini, supaya ahli kita tidak hanya berfikiran setempat semata-mata, tetapi perlu juga melihat perlunya bersifat universal dan mencari pengalaman-pengalaman yang banyak di tempat tempat lain dengan pelbagai program yang mereka sertai. Insya Allah pengalaman yang pelbagai itu memberikan manfaat untuk pmram itu sendiri juga kepada tanahair apabila mereka pulang.
WS'04 : Adakah pmram sudah merangka strategi untuk merealisasikan kosmopolitan ini?
PRES : Secara umumnya, pmram memang sentiasa bersedia ke arah itu. Sebagai contoh pada tahun ini kita telah meletakkan suatu target untuk "menggilap tajdid mendepani massa", meletakkan kosmopolitan sebagai bersifat semasa. Walaupun kita tidak meletakkan secara bulat-bulat tema kita ke arah kosmopolitan, namun perlaksanaan perjalanan aktiviti adalah ke arah itu, ia terkandung dalam tema secara tidak langsung, malah selari dengan tema pmram yang kita kemukakan kepada ahli dan juga kepada umumnya. Maka strategi untuk merealisasikan kosmopolitan itu telah terlaksana di dalam perancangan-perancangan yang telah kita buat.
WS'04 : Apakah resolusi ustaz sekiranya isu ini benar-benar hendak direalisasikan?
PRES : Secara umumnya, apabila perkara ini telah dilaksanakan, satu resolusi daripada saya bahawa perkara ini satu perkara yang amat baik dan bagus, malah perlu diteruskan supaya ahli-ahli kita lebih bersifat global, lebih terdedah kepada pandangan yang luas dan merangkumi semua aspek. Pengalaman-pengalaman ini terlalu banyak, boleh di ambil di mana sahaja mereka berada.
WS'04 : Akhir sekali, apakah harapan ustaz kepada pmram, dalam usaha ke arah mewujudkan pmram sebagai pertubuhan yang bersifat kosmopolitan ini?
PRES : Harapan saya kepada seluruh ahli, juga kepada kepimpinan itu sendiri, bertindaklah dan bukan sekadar melaung-laungkan slogan ini, tetapi perlu di atur satu langkah dan tindakan ke arah untuk mencapainya. Contohnya terdapat persiapan-persiapan yang perlu dilakukan untuk menjadi orang yang bersifat kosmopolitan, dinyatakan di sini, yang paling penting adalah ilmu, sama ada ilmu agama mahupun ilmu lain, semua ilmu yang dibenarkan oleh syarak mempelajarinya, maka ia menyumbang kepada pembangunan pmram itu kerana usaha ini bermula daripada pembangunan individu seterusnya kepada pmram itu sendiri, individu itu akan memberi sumbangan berharga kepada pmram, sebagai contoh dari sudut idea dan tenaga mereka ke arah mewujudkan pmram sebagai sebuah kesatuan yang bersifat kosmopolitan. Terdapat juga persiapan-persiapan yang lain yang perlu di ambil perhatian seperti kehendak dunia hari ini yang menilai kecemerlangan akademik. Saya mengharapkan kepada ahli-ahli pmram khususnya supaya tidak mengabaikan perkara ini, sebaliknya wujudkanlah dan usahakanlah supaya dapat mencapai suatu tahap kecemerlangan akademik yang baik, sehingga boleh mumtaz, jaid jiddan atau sekurang-kurangnya jaid, syahadah ataupun sijil ini boleh memberikan sumbangan, dokongan, dan sokongan kepada kita, supaya kita benar-benar bersifat kosmopolitan dan memberi manfaat dengan sifat yang kita ada. Sekalipun hari ini kita mempuyai sifat kosmopolitan, orang pada hari ini akan melihat sijil kita, samaada kita lulus baik ataupun tidak dan sebagainya, melihat siapa dia yang bercakap. Walaupun kita bercakap hebat, berpandangan jauh, bersifat universal, tapi hari ini orang akan melihat di sana siapakah dia?, dia belajar di peringkat mana?, Phd ke? Adakah dia doktor?. Ini suatu perkara yang cukup penting. Bukan saya bermaksud mengejar sijil semata-mata, tetapi sijil ini menjadi suatu batu loncatan untuk kita mencapai matlamat yang lebih besar, kerana orang memperkatakan perkara ini. Itulah harapan daripada saya, diharapkan bukan sekadar menyertai program-program yang kita anjurkan dan program-program yang dianjurkan oleh pihak-pihak lain, cukup penting untuk kita memperlengkap diri kita dari sudut kelengkapan akdemik, kejayaan dan kecemerlangan dalam akademik, kerana cukup penting juga kita benar-benar memberi manfaat pada masyarakat umumnya.
WS'04 : Sidang SEGA'04 dengan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada ustaz atas kejasama yang diberikan. Semoga usaha yang dijalankan ini mendapat keberkatan dan limpah rahmat kasih sayang Allah, terima kasih sekali lagi kepada ustaz.
PRES : Sama-sama.

No comments: