Monday, December 12, 2005

Temuramah Presiden PMRAM 2003

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Julai 2004
Kolum : Temuramah
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Julai 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

KREW WARTA (KW) : Assalamualaikum, ustaz.

PRESIDEN (PRES) : Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh

(KW) : Terima kasih kepada ustaz kerana sudi ditemuramah pada malam ini, walaupun sibuk dengan tugas seharian, tetapi masih sempat meluangkan sedikit masa untuk WARTA. Semoga temuramah pada malam ini membawa sesuatu yang bermanfaat bagi kita bersama. Temuramah pada malam ini lebih tertumpu kepada pembawakan PMRAM dengan mottonya "Menggilap Tajdid Mendepani Massa". Mungkin ahli sebelum ini tertanya-tanya apa maksud tajdid itu. Bolehkah Ustaz terangkan secara umum?

(PRES) : Perlu kita fahami bahawa tema yang dibawa oleh kepimpinan PMRAM untuk sesi 2003, satu tema yang begitu besar matlamatnya, berbunyi "Menggilap Tajdid Mendepani Massa". Jadi menjawab persoalan mengenai tajdid ini, Ia adalah satu agenda yang cukup besar yang kita hendak bawa ke dalam PMRAM, yang sudah pastinya dapat dijelaskan dengan melihat kembali kepada sejarah PMRAM yang sudah lama berada di bumi Mesir ini, hampir tujuh puluh tahun lebih. Jadi sekiranya kita melihat kepada sejarah PMRAM itu, kita akan melihat ada waktu-waktu kegemilangan, ada waktu-waktu yang ada sedikit masalah, waktu keizzahan PMRAM dan sebagainya. Walaupun begitu, merujuk kepada perbincangan kepimpinan terdahulu sebelum sesi ana, mereka melihat ada satu perkara yang perlu diketengahkan dalam PMRAM, iaitu mentajdid, menggilap tajdid mendepani massa. Secara umumnya, tajdid bukanlah satu benda yang baru yang kita hendak bawa, bukan semata-mata bersifatkan pembaharuan, tetapi mungkin kita boleh terjemahkan sebagai perkara yang telah kita laksanakan dahulu, kita hendak laksanakan kembali. Itu yang lebih tepat tentang apa yang kita hendak maksudkan. Bukan bermakna perlu ada banyak pembaharuan dalam PMRAM. Tidak, bukan itu sahaja maksudnya, tetapi yang lebih penting ialah kita hendak kembalikan kegemilangan PMRAM ini. Contohnya, kalau kita pernah mendengar tentang mujaddid, di setiap kurun nabi kata ada mujaddid. Bukan bermakna orang yang dipilih Allah SWT menjadi mujaddid itu membawa perkara yang baru. Tidak, mereka membawa perkara yang sama sebagaimana yang Rasulullah SAW bawa. Bagaimana yang diperjuangkan oleh Nabi-nabi yang terdahulu, begitu jugalah mujaddid cuba mengembalikannya semula, mengembalikan kegemilangan yang islam bawa ketika zaman Rasulullah SAW, dan ketika zaman Khulafa Arrasyidin dan sebagainya. Inilah yang kita hendak kembalikan. Walaupun mungkin di sana ada sedikit kelemahan di peringkat kepimpinan, ataupun ada sedikit kelemahan di peringkat ahli, dari sudut keutuhan PMRAM, dari sudut komitmen ahli-ahli kepada PMRAM dan kesatuan dikalangan ahli. Sebab itulah kepimpinan sebelum saya telah berbincang kerana melihat adanya unsur-unsur perpecahan di kalangan ahli yang dibawa oleh pihak-pihak luar. Maka tajdid ini satu agenda yang cukup besar yang perlu dibawa oleh kepimpinan di zaman saya, untuk mengembalikan kegemilangan kesatuan yang pernah dicapai dulu, Kegemilangan di mana semua anak-anak Melayu yang berada dibumi Mesir ini bersatu di bawah Persatuan Melayu Republik Arab Mesir, PMRAM, bersama-sama bantu-membantu, tolong menolong, masing-masing memainkan peranan untuk menjayakan matlamat yang digariskan. Kalau masing-masing membawa diri, masing-masing ada fikrah masing-masing, matlamat yang kita hendak bawa ini akan gagal dicapai.

(KW) : Seterusnya berkaitan dengan tajdid ini, adakah tajdid ini adalah satu inspirasi baru yang dibawa oleh PMRAM atau ataupun telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi? Apakah contoh-contoh sejarah tentang tajdid ini?

(PRES) : Sebagaimana yang telah dijelaskan tadi bahawa, apabila kita berbincang tentang tajdid yang dibawa oleh PMRAM ini, ia bukanlah satu perkara yang baru yang hendak diperkenalkan, contohnya kita lihat kepada perbahasan pada hari ini, PMRAM membawa dasar Al-Quran dan As-Sunnah, di mana kita hendak kembali semula sebagaimana yang telah di capai satu ketika dahulu di zaman Rasulullah SAW lagi, manusia yang beriman kepada Allah Taala, muslim, mengamalkan Al-Quran dan mengamalkan As-Sunnah S.A.W. Ini bukan sahaja berlaku di zaman Rasulullah S.A.W, bahkan di zaman sahabat. Para sahabat juga bukan membawa perkara yang baru, tetapi membawa apa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W, berterusan di zaman pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin, sehingga jatuhnya Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924. Tajdid bukan satu benda yang baru, mungkin dari sudut pelaksanaan strategi sahaja yang berbeza mengikut keadaan semasa.

(KW) : Setelah kita melihat kepada maksud tajdid ini, apakah antara usaha yang PMRAM laksanakan dalam agenda tajdid ni?.

(PRES) : Melihat kepada tanggungjawab yang cukup besar, untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan juga kegemilangan PMRAM, keizzahan PMRAM dan sebagainya ini, antara usaha-usaha yang kita buat ialah menyatukan ahli melalui program-program, terdapat pelbagai program yang telah kita buat, kalau nak dibahaskan satu persatu akan masa yang panjang. Cuma yang hendak diberitahu di sini, usaha yang dijalankan adalah melalui program, seterusnya yang lebih penting lagi, kita minta seluruh peringkat yang ada di dalam PMRAM, melalui bakan dan dpm, kita perjelaskan kepada mereka hasrat kita ini, keinginan kita untuk mengembalikan perpaduan dikalangan ahli PMRAM, kita masuk melalui bakan, kita beri penerangan melalui bakan, dan juga kita 'round' seluruh muhafazah untuk menerangkan perkara ini, kita giatkan melalui program, ceramah dan penerangan, talk show dan sebagainya, kita minta semua peringkat memperbahaskan perkara ini supaya ia bukan dilaung-laungkan di peringkat kepimpinan tertinggi PMRAM sahaja, tetapi di semua peringkat, agar ia sampai kepada setiap ahli PMRAM. Mana-mana saluran yang boleh dijana, kita guna semua, segala sumber yang ada digunakan sebaiknya.

(KW) : Sejauhmana usaha dan matlamat ini dapat di capai?

(PRES) : Hendak membincangkan keberkesanan ini mungkin agak sukar untuk saya membuat kesimpulan dan keputusan, tetapi secara umumnya saya sebut Alhamdulillah, usaha kita ini mendapat sambutan yang baik, maknanya, ada kesan dari sudut kesedaran di kalangan ahli, berkaitan dengan kesatuan. Walaubagaimanapun kita tidak boleh menafikan bahawa di sana ada juga berlaku kelemahan, ada berlaku juga perpecahan dikalangan ahli yang masih lagi kita tidak dapat atasi seratus peratus, Tetapi kejayaannya sudah ada, kejayaan dari sudut kita dapat menarik mereka ini melalui pendedahan dan sebagainya. Yang lebih penting ialah usaha telah kita lakukan sedaya upaya mungkin. Kita juga mendapat sambutan di setiap peringkat kepimpinan untuk kita jayakan tajdid ini Insya Allah, perkara ini perkara yang besar dan boleh diteruskan untuk masa-masa akan datang.

(KW) : Maknanya perkara ini ada, tetapi untuk mencapai seratus peratus itu mustahil?

(PRES) : Tidak mustahil tetapi cukup sukar kerana ia memakan masa yang panjang.

(KW) : Mengapa tajdid perlu diteruskan?

(PRES) : Bagi pandangan saya, usaha tajdid ini perlu diteruskan di masa-masa akan datang, di sesi yang akan datang, walaupun ia tidak berbentuk tema seperti tema yang telah kita pilih bagi sesi kali ini. Pihak kepimpinan akandatang akan menukar tema yang baru, tetapi tema itu menjurus kepada menjayakan tema yang lepas, ia ada kaitan dan kesinambungan secara tersirat. Walaupun kita tidak ketengahkan dalam bentuk slogan seperti tema yang lepas, menggilap tajdid mendepani massa, tetapi tema yang baru lebih menjurus ke arah itu, supaya dapat membawa ahli kepada kesedaran kesatuan dan sebagainya. Sebab mengapa ia perlu diteruskan cukup jelas, tambahan pula perkara ini bukan perkara yang mudah, dan ia memerlukan kepada usaha yang cukup gigih malah memakan masa yang panjang, untuk kita kembalikan semula tajdid ini, disamping kita terus menggarapkan usaha, membanyakkan lagi usaha ke arah menjayakan matlamat ini.

(KW) : Apakah kesan yang kita boleh lihat dan boleh kita ambil daripada usaha pentajdidan ini?

(PRES) : Kalau kita hendak berbincang tentang kesan, mungkin kita boleh merujuk kepada masalah-masalah yang berlaku di dalam PMRAM ini untuk kita untuk kita baiki, untuk kita tajdid, supaya ia kembali kepada asal di kedudukan yang kita pernah capai dahulu. Saya sebutkan beberapa contoh. Yang pertama, masalah yang saya sebut tadi berkenaan kesatuan, masalah perpecahan di kalangan ahli, kelihatan ada bibit ke arah itu. Dengan usaha tajdid ini, kita dapat lihat ada kesedaran, dikalangan mereka untuk terus bersama-sama PMRAM, bersatu di bawah PMRAM, itu yang pertama. Yang kedua, mungkin saya boleh sebut di sini berkenaan dengan masalah yang kita hadapi berkaitan tenaga-tenaga pelapis mahupun mereka yang boleh menyumbang tenaga secara terus untuk PMRAM. Masalah ini berlaku di kalangan kita, jadi kita cuba dan berusaha memberi penerangan, memberikan penjelasan, menarik ahli kita untuk menyumbangkan tenaga, menjadi ajk kepada badan-badan ataupun lajnah-lajnah yang ada dalam PMRAM, untuk mereka sama-sama bersatu, sama-sama menjayakan matlamat ini. Tidak cukup sekadar ada pihak kepimpinan tetapi perlunya mereka yang mendokong, membantu, menjadi ajk dan sebagainya. Dan Alhamdulillah, kesannya cukup baik. Apabila kita cuba bincangkan masalah kekurangan tenaga di dalam PMRAM ini, dalam perjumpaan dengan seluruh kepimpinan bakan dan dpm, kita kemukakan masalah ini kepada mereka, mencari bagaimanakah cara mengatasinya. Jadi Alhamdulillah sekali lagi, mereka memberikan respon yang baik, memberikan tindakan yang baik, dan cuba mengesan mereka yang ada potensi untuk diketengahkan, sebagai tenaga penggerak PMRAM.

(KW) : Dalam usaha mentajdid ini, pastinya di situ berlaku beberapa masalah. Bolehkah ustaz terangkan contoh-contoh masalah yang dihadapi oleh PMRAM dalam usaha mentajdid ini. Silakan ustaz.

(PRES) : Matlamat yang kita inginkan ini cukup besar, jadi di sana memang terdapat beberapa perkara yang menjadi penghalang, ataupun melambatkan kita mencapai usaha dan matlamat kita ini. Antaranya ialah dari sudut sumber PMRAM itu terlalu terhad. Kadang-kadang di sana ada keperluan untuk kita menggunakan kewangan yang banyak, perancangannya cukup hebat, tetapi dari sudut pelaksanaan tergendala, disebabkan masalah kewangan. Tetapi kita tidak mengabaikannya, kita terus melakukan usaha-usaha walaupun ia kecil, program-program yang kalau diperingkat PMRAM kita tidak boleh buat, kita akan minta di peringkat bakan buat, peringkat dpm buat. Program-program terlalu rancak, kalau kita melihat kepada takwim PMRAM dan bakan, cukup banyak program yang kita ketengahkan kepada ahli supaya ia terus berjalan. Tetapi secara umumnya, diperingkat PMRAM, inilah halangan yang paling utama yang kita hadapi.

(KW) : Dalam ustaz menjalani kehidupan sebagai presiden daripada awal pelanikan sehingga ke hari ini, pastinya di situ terdapat pelbagai pengalaman dan kenangan. Mungkin soalan ini terkeluar sedikit daripada tajdid ini, apakah kenangan yang paling manis ketika ustaz menerajui PMRAM sebagai seorang presiden?

(PRES) : Alhamdulillah, kenangan yang paling manis… Pertama sekali adalah ukhuwah yang terjalin dikalangan kepimpinan itu sendiri. Di peringkat kepimpinan, kita tahu bahawa peranan dan tanggungjawab ini cukup besar, yang menaungi seluruh rakyat Malaysia yang berada di sini, pelajar-pelajar khususnya, melaksanakan program-program untuk mereka, memberikan khidmat yang terbaik kepada mereka. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah kerjasama yang sangat baik, masing-masing mengetahui tanggungjawab masing-masing, masing-masing mengetahui kepentingan ikatan ukhuwah, di sanalah kita akan dapat melihat bahawa banyak benda yang kita rasa tidak boleh buat, tetapi oleh kerana kerjasama yang diberikan, bantuan yang diberikan, pengorbanan yang diberikan oleh sahabat-sahabat dalam kepimpinan ini, akhirnya dapat kita jayakan. Dan mungkin kita dapat sebut, itu adalah pengalaman manis berbentuk dalaman. Pengalaman manis dari sudut luarannya ialah pergaulan meluas. Saya mempunyai peluang pergaulan yang meluas, bukan sekadar dengan masyarakat arab, tetapi terus kepada keselamatan Mesir. Ini satu pengalaman yang bukan semua orang dapat, bermakna saya sendiri sebagai seorang presiden mempunyai hubungan terus dengan pihak keselamatan Mesir. Pengalaman berurusan dengan arab, muamalah dan sebagainya, adalah satu pengalaman yang saya rasa bagi mereka yang menjadi kepimpinan sahaja dapat merasainya.

(KW) : Seterusnya, ketika ustaz berhadapan dengan masalah, atau pun berhadapan dengan situasi tegang, bagaimana ustaz menghadapi masalah tersebut?

(PRES) : Di mana-mana sahaja kita berada, kita tidak dapat lari daripada masalah. Yang penting ialah kita berhadapan dengan masalah itu. Tidak boleh lari dari masalah. Kita lari, pasti ada masalah lain pula. Yang penting kita bincang bagaimana mengatasi masalah itu. Begitu juga dengan PMRAM, kita tidak boleh lari daripada masalah. Dan semua masalah ini tidak dapat kita hadapi sekiranya kita merasakan bahawa kita sendirian sahaja berhadapan dengan masalah ini. Jadi, cara yang kita buat ialah dengan mengetengahkannya disemua peringkat, saya kemukakan kepada pihak kepimpinan, minta pandangan mereka, bersama-sama memahami bahawa masalah ini bukan masalah yang dihadapi oleh saya sahaja sebagai presiden, tetapi ajk, exco-exco, badan pengurus yang lain juga mesti merasakan bahawa ini adalah masalah bersama. Bukan sekadar itu, diperingkat bakan-bakan dan dpm-dpm juga kita kemukakan. Ini masalah bersama, dan perlu diselesaikan bersama. Alhamdulillah, setakat ini semua peringkat kepimpinan dapat memberikan kerjasama dengan baik, kita dapat menyelesaikan masalah itu dengan cara yang terbaik. Ada ketikanya kita tidak dapat mengatasi masalah itu, tetapi kita berasa cukup puas dengan usaha yang kita lakukan. Kita cukup berbangga dengan respon yang diberikan oleh semua kawan-kawan kita di semua peringkat kepimpinan. Apa-apa masalah datang, kita cuba selesaikan bersama-sama, di sana akan ada pandangan daripada kawan-kawan kita, mungkin kita tidak pernah terfikir cara ini yang boleh menyelesaikan masalah. Jangan pendam seorang diri, nanti meletup susah.

(KW) : Ustaz sebagai seorang presiden, dan dalam masa yang sama ustaz adalah 'presiden' dalam rumah tangga, di situ secara zahirnya seolah-olah berlaku satu pertembungan, sibuk sebagai presiden dan sibuk dengan keluarga. Jadi bagaimana ustaz membahagikan masa antara keluarga dan kerja.

(PRES) : Pertama sekali ialah cara bagaimana hendak membahagikan masa. Sebelum itu saya hendak sebutkan faktor yang selama ini telah berjaya dengan bantuan Alah SWT, berjaya membahagikan masa di antara tanggungjawab rumah tangga dan juga tanggungjawab kepimpinan dalam PMRAM, ialah faktor kefahaman yang ada pada diri saya sendiri, dan juga pada isteri saya. Maknanya kalaulah hendak mencari orang tu, carilah yang faham (ketawa). Kalau yang tidak faham, apabila kita tiada, kita banyak urusan, balik membebel, meleter. Ini satu faktor yang memudahkan usaha kita untuk membahagikan masa. Dan kadang-kadang apabila kita faham perkara ini, tanggungjawab yang kadangkala terlalu banyak, menyebabkan kita tidak sempat untuk bersama-sama dengan keluarga. Dalam satu hari itu kadang-kadang balik lewat dan sebagainya, sekiranya isteri tidak faham, maka akan ada masalah. Tetapi oleh kerana dia memahami tugas kita, kita juga memahami tugas dia, tambahan pula isteri saya juga adalah seorang setiausaha Hewi PMRAM, cukup sibuk sekali. Contohnya pada hari ini, saya belum jumpa lagi dia di rumah. Sejak keluar daripada pagi tadi, hingga malam ini, saya belum jumpa dia lagi. Jadi kalau perkara ini saya tidak faham, maka saya akan melatah, akan marah pada dia. Tetapi Alhamdulillah, dengan kefahaman yang diberikan, kita ada tanggungjawab, dia ada tanggungjawab, sama-sama menunaikan tanggungjawab itu. Lagipun kesibukan yang ada dalam kepimpinan ini bukannya bersifat berterusan, kerana kadang-kadang kerja-kerja kepimpinan ini dalam seminggu itu ia sibuk, kadang-kadang ia rehat, masa-masa itulah yang kita gunakan untuk menunaikan hak berkeluarga, bersama-sama dengan keluarga dan sebagainya. Maknanya yang paling penting adalah kefahaman antara suami dan isteri itu. Kalau cari yang tidak faham akan timbul masalah (ketawa)

(KW) : Akhirnya, apa harapan ustaz kepada kepimpinan baru akan datang, dan juga kepada ahli PMRAM seluruhnya.

(PRES) : Harapan saya kepada kepimpinan, pertamanya, agar meneruskan agenda PMRAM ini dalam memberikan kebajikan kepada ahli, dan yang lebih penting ialah memastikan segala aktiviti yang kita buat itu hendaklah berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kepada ahli PMRAM khususnya saya menasihatkan agar memahami tanggungjawab yang cukup berat ini, yang ditaklifkan oleh Allah SWT kepada kepimpinan, jangan biarkan kepimpinan itu berseorangan, ataupun membiarkan kepimpinan sahaja yang berusaha memikul tanggungjawab ini. Sama-samalah masing-masing memainkan peranan masing-masing, agar ia mudah untuk mencapai matlamat, dan Insya Allah, kita akan sama-sama mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

(KW) : Akhirnya, kami krew WARTA mengucapkan jutaan terima kasih kepada ustaz kerana sudi meluangkan masa, semoga usaha yang baik ini tuhan membalasnya dengan berlipat kali ganda, diberkati oleh Allah seterusnya.

No comments: