Saturday, December 10, 2005

Sillah Ukhuwwah Diranduk Bimbang

Majalah : SEGA
Edisi : 2004/2005
Kolum : Fokus
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Sillah Ukhuwwah Diranduk Bimbang
Oleh : al_jantanie

Al-Azhar memang satu medan dan ruang yang menghimpunkan pelbagai warna kulit cerdik pandai Islam. Kita (yang juga salah satu komuniti yang membentuk satu kelainan warna kulit itu) turut sama berhimpun atas tujuan yang dasarnya masih sama – menggali seberapa dalam ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang; agama, bahasa, aqidah, dakwah, thaqafah; dan dalam masa yang sama menyibukkan diri menimba ilmu-ilmu bantu guna memperkemas diri.

Al-Azhar tidak bersalah ketika penulis membangkitkan hal ini, tentunya apabila medannya jadi fitnah perpecahan sebahagian kita. Perpecahan ( yang kalau tidak banyak sekalipun ) menghilangkan satu nilai mesra yang seharusnya tumbuh segar dalam jiwa yang merimbun ilmu agama – nilai ukhuwwah Islamiah yang bererti dan berharga. Meskipun ia menjadi persoalan dalam benak yang penuh tanda tanya; mengapa, siapa, dan sebagainya, jalan keluar masih dan sememangnya perlu diteroka.

Surah Ali Imran ayat 103 ada merakamkan : Dan berpeganglah kamu sekalian kepada tali ( agama ) Allah dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan nikmat Allah ( yang diberikannya ) kepadamu ketika kamu telah bermusuh-musuhan, lalu dipersatukanNya hatimu, sehingga kamu jadi bersaudara dengan nikmatNya, dan adalah kamu di atas pinggir lubang neraka, lalu Allah melepaskan kamu daripadanya, mudah-mudahan kamu menerima petunjuk.

Perbezaan pendapat tidak sepatutnya menjadi asbab perpecahan, walaupun ia berpunca daripada perbezaan ilmu. Imam Syafie dan Imam Hanbali contohnya merupakan guru dan murid yang menubuhkan mazhab masing-masing kerana berbeza pendapat dalam bidang feqh, namun masih saling hormat menghormati tanpa sedikit mengangkat dada dan meninggi diri hingga memusnahkan persaudaraan suci. Adapun sebahagian kita yang menghujahi dirinya betul dan benar pula bertindak sebaliknya. Di manakah kesan daripada ilmu yang dipelajari?

Renungi firman Tuhan yang mencela sifat orang-orang fasik kerana memutuskan hubungan dan menodai ukhuwwah dalam kalamNya daripada surah Al-Baqarah ayat 27 : Iaitu orang-orang yang melanggar janji Allah (perintahNya) setelah teguhnya dan mereka itu memutuskan (silaturahim) yang disuruh Allah memperhubungkannya, lagi mereka itu berbuat bencana di muka bumi.

Tentunya ukhuwwah yang bermasalah ini bermula daripada punca, dan tudingan jari harus bermula kepada diri. Menyemak diri sendiri dalam erti kata tidak mengabaikan punca-punca lain. Kita menyedari masalah ukhuwwah bukanlah satu kerumitan baru, tetapi ia sudah dan telah lama menunjangi diri kita. Saat apabila kita sudah menghilangkan senyum wajah dan sapaan salam sesama kita apabila berjumpa, masalah ini sudah mengakar rupanya.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a sebagai berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Hak seorang muslim terhadap yang lainnya ada lima: menyebarkan salam, menziarahi pesakit, mengikuti jenazah, menyahut seruan dan mengucapkan yarhamukallah kepada orang yang bersin.

Ukhuwwah telah dijadikan antara asas pembangunan insan atas manhaj Nabawi, tatkala Baginda mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Satu persaudaraan yang menuntut hati yang terbuka; belajar untuk memberi dan menggembirakan saudara. Ini adalah satu jalan ajaran Islam. Tetapi ukhuwwah amalan kita disempadani jurang yang membikin tembok pemisahan.

Terus-terang kita harus mengagumi mahasiswa kita di Damanhur yang diminta setiap tahun ( penulis tidak pasti adakah hanya Damanhur atau masih adakah muhafazah yang lain ) membantu mengangkat beg dan kotak milik siswi-siswi baru Iskandariah, mereka beramai-ramai mencari erti ukhuwwah daripada titisan peluh dan keringat. Atau seharusnya mengagumi mahasiswa kita di Mansurah yang berpenat lelah sepanjang proses agihan beg ke rumah sewa; bermula daripada detik ketibaan mahasiswa-mahasiswi baru hingga menjejak ke azan subuh. Bayangkan apabila beg seberat berbelas kilo diangkat ke imarah setinggi beberapa tingkat dalam kesejukan 3 pagi, dan loceng ditekan berpuluh kali mengejutkan sahabat yang tertidur dalam proses menunggu ketibaan barang.

Barangkali kita tidak boleh mengabaikan sahabat yang menerima taklifan dalam sambutan mahasiswa baru; mengambil beg dan kotak di lapangan terbang dan memunggahnya kembali ke rumah berkenaan. Semua ini adalah satu proses latihan membina ukhuwwah; belajar memberi dan menggembirakan saudara. Namun, sejauh mana ia tetap diteruskan.

Tidak sunyi manusia melakukan kesilapan, saat apabila terkadang silap kata dan gerak perlakuan, tidak dinafikan kemungkinan ada hati yang terguris. Saat yang berhajat ( tidak boleh tidak) belajar melapangkan dada menerima keadaan dan suasana. Belajar untuk mengenali saudara.

Tekuni firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: Maka dengan rahmat Allah, menjadi lunaklah hati engkau ( Wahai Muhammad ) terhadap mereka. Kalau sekiranya engkau berbudi jahat, berhati kasar, nescaya bercerai-berailah mereka menjauhi engkau; maka maafkanlah mereka dan minta ampunlah untuk mereka dan bermusyawarahlah engkau dengan mereka tentang urusan itu. Apabila engkau telah bercita-cita ( yang tetap ), maka bertawakallah engkau kepada Allah. Sungguh Allah mengasihi orang-orang yang tawakal.

Kalaupun berlaku permusuhan dalam rukun damai Al-Azhar ini, belajarlah menghayati firman Tuhan yang mengakhiri tulisan ini, daripada surah Al-Hujurat ayat 10 : Orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, disebab itu perdamaikanlah antara dua orang saudaramu, dan takutlah kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.

Rujukan :
Terjemahan Al-Quran Al-Karim.
Dalil Mufehris li-Alfaz Al-Quran Al-Karim
Fathul Bari, syarah Sahih Bukhari.

No comments: