Sunday, December 25, 2005

Memasukkan Ilmu Bantu

Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Memasukkan Ilmu Bantu
al_jantanie

Menulis bukan sekadar peluahan perasaan tetapi ilmu. Barangkali itulah luahan tersirat yang boleh kita fahami setelah mengicipi karya Saudara A. Ubaidllah Alias dengan mauduk ‘ Lelaki Tiong Hua’. Menulis hatta sebuah cerpen bermatlamat menyampai sesuatu yang bermanfaat, perlu kepada garapan yang kaya nilai ilmu. Cerpen ini satu contoh yang baik bagi peminat sastera dan penulis untuk diteladani kerana mempersembahkan satu contoh yang jelas dalam proses – memasukkan ilmu bantu ke dalam karya.

Bertolak masuk ke alam karya penulis, bukakan mata dengan akal yang meneliti.

‘Lelaki Tiong Hua’ karya Saudara A. Ubaidillah Alias adalah sebuah karya yang mengupas persoalan komunisme dan pembawakan mereka. Penulis menggarap cerita secara aplikasi terhadap ilmu. Aplikasi dengan maksud, mencontohkan ilmu kepada sesuatu objek, supaya objek ini mempraktikkan ilmu tersebut. Karya ini kaya dengan ilmu bantu, dan dilakarkan atas dasar ilmu.

Nyata penulis membuat satu kajian yang menjelaskan kedudukan dan cara hidup komunis serta pemikiran mereka. Setelah bahan daripada kajian ini terkumpul (bahan berbentuk prinsip-prinsip komunis dan kesan kepada institusi kekeluargaan), penulis merangka watak yang dirasakan sesuai demi melakonkan ilmu yang tersedia. Bermula daripada itu, watak May diletakkan dalam kondisi anak ‘komunis’ dan beberapa teori komunis dan kesan cara hidup mereka di persembahkan kepada pembaca.( “Ibubapa May adalah komunis”)

Pembaca diajak meletakkan satu tanggapan umum mengenai komunis dalam pembacaan, sekaligus memberikan tanggapan pertama terhadap golongan ini(“Komunis menolak kewujudan tuhan dan menceraikan hubungan antara anak dan ibubapa.)

Penulis sekali lagi berusaha memalingkan perhatian pembaca kepada tanggapan kedua yang dirasakan sebagai ‘pandangan yang sewajarnya’ terhadap May, kerana May berbeza dengan ciri seorang komunis. (“May tidak mengambil pakai semua prinsip itu. Dia ada agama dan dia seorang yang punya ibubapa.”)

(‘Boleh jadi May anak luar nikah.’) Itulah tanggapan ketiga yang seharusnya terhasil akibat saling tindak antara kedudukan May sebagai anak komunis dengan realiti keadaan. Penulis ternyata cermat dan berhati mendatangkan satu persatu ilmu bantu mengenai hakikat dan tanggapan terhadap golongan ini.

Apa yang membuatkan ia lebih menarik, penulis secara sinis mengaitkan persamaan diantara tindak tanduk seorang komunis dengan pembuang anak. Ia sindiran yang sangat tajam.( “Ibubapa May membuktikan bahawa fahaman mereka salah. Mereka menyerahkan May kerana terpaksa. Bukankah itu lebih baik daripada membunuh bayi yang tidak berdosa. Membuang mereka di lorong-lorong dan tong-tong sampah atau diberi makan anjing. Orang sebegini sebenarnya yang patut dipandang hina dan lebih berbahaya daripada komunis”)

Dalam penceritaan yang santai dan tidak terburu-buru, penulis menokok di dalam karya ini beberapa situasi yang berkait rapat dengan komunis, termasuk isu luarnegara yang ada kaitan dengan komunis. Bahkan latar politik dunia turut diselitkan secara ‘berpada-pada’ agar tidak kelihatan terlalu ‘terburu-buru’ memasukkan ilmu bantu sampingan.

Garapan ayat dalam bentuk yang ekonomik menjelaskan kekuatan penulis dalam menguasai bahasa. Banyak kata-kata menarik yang patut dicontohi oleh kita semua.

Akhirnya, sama-sama kita teliti satu permisalan penulis tentang kebobrokan masyarakat komunis yang ditasybihkan kepada kebobrokan masyarakat hari ini. (“Komunis sudah hilang dari Malaya beberapa dekad lalu, tetapi tengoklah generasi hari ini. Berapa ramai anak-anak yang memutuskan hubungan dengan ibubapa mereka. Melupakan jasa baik dan susah payah mereka. Paling teruk ada yang merasa malu untuk mengaku dia anak orang-orang tertentu.”) (“Begitu juga pasangan kekasih zaman sekarang, berapa ramai yang melakukan seks luar nikah dan anak haram mereka….”) (“Sebenarnya mereka yang layak digelar komunis.”)

Apapun, ia satu karya yang hebat untuk diperhatikan!

No comments: