Monday, December 19, 2005

Adakah Cukup? Satu persoalan untuk kita semua

Majalah : SUKEJ
Edisi : 103
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2003
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Adakah Cukup? Satu persoalan untuk kita semua.
Oleh : al_jantanie

Segala puji bagi Allah, yang menetapkan kebenaran sentiasa mengatasi kebatilan, walaupun manusia menafikannya. Segala puji bagi Allah, yang adalah kemestian bagi kita bersyukur kerana kita berada di dalam agama Islam yang benar, sekalipun orang kafir menidakkannya. Segala puji bagi Allah, yang kalaulah manusia dan seluruh makhluk berkumpul untuk mengatakan agama Allah itu salah, maka tiadalah mereka itu lebih daripada sebutir pasir di pantai, yang kalau dicampak entah siapa yang akan memungutnya.

Adakah cukup? Satu persoalan untuk kita semua.

Ketika dalam satu ziarah saya ke beberapa muhafazah atau lebih layak disebut dengan nama jaulah / jaulan, yang dengan tujuan melihat keindahan Mesir dan melawat sahabat-sahabat saya seperjuangan, ada baiknya saya bawakan satu peristiwa yang berlaku semasa peristiwa ‘jalan-jalan cari makan ini’. Saya sempat singgah sebentar di Zargziq, satu bandar yang sangat tersusun dalam pandangan mata, apatah lagi dengan ‘perhiasan dunia’ yang cantik-cantik. Saya kira para pembaca faham dengan ‘perhiasan dunia’.

Dengan lagak seorang perantau, dan dengan adat mereka yang berziarah ke muhafazah, sudah tentu tidak melepaskan peluang pergi ke Café Siber, yang memang murah jika dibandingkan dengan Kaherah. Dengan harga LE 1 atau 1.50 sejam, tentunya ramai yang tidak melepaskan peluang ini terutamanya penggila internet, hingga pernah saya terjumpa LE 5 untuk 12 jam. Untuk beberapa ketika di depan komputer saya terlupa bahawa kuliah fasa 2 sudah bermula.

Ingin saya bawakan di sini satu kisah ketika ‘berchating’ di sana. Terlebih dahulu minta maaf kepada Biro Dakwah, saya berharap tidak disaman kerana hal ini.(Bergurau sahaja). Pada mulanya berchating (berbual) dengan pelbagai kenalan dan mencari kenalan di YM (Yahoo Messenger). Namun setelah dua jam saya sudah mulai letih dan cuba menukar selera. Kebetulan atas kehendak Allah, saya telah berchating dengan seorang dari luar negara, walaupan sebenarnya saya juga berada di luar negara. Lalu terjadilah perbualan yang saya cuba nukilkan sebahagian daripadanya.

Saya : asl plz?
X : 19 f , u?

Saya : __ m, where r u?
X : N.I.G

Kebetulan saya bukanlah seorang yang mahir berbahasa Inggeris, terasa sesal kerana tidak belajar dengan bersungguh-sungguh.

Saya : What N.I.G?
X : Nigeria

Saya kurang berminat sebenarnya berbual dalam bahasa Inggeris ni sebab saya tak cukup mahir. Tapi saya gagahi diri saya untuk bertanya.

Saya : Whats your religion?
X : I think u must be muslim

Saya : Always.

X : Christian.

Entah kenapa saya mula menggigil. Mungkin sebab tak suka dengan usaha dan gerakan Kristianisasi yang berlaku di merata tempat juga di negara kita, Malaysia.

Saya : Why do you choose that?
X : coz I m born on it.

Saya : but u can still make your own choice.
X : It’s the true religion

Saya : Proove it.
Saya : Im sorry coz I not very good in English. I hope u understand

Ada baiknya saya ringkaskan antara isi perbualan itu. Dia membawakan bukti bahawa Jesus (Nabi Isa alaihissalam) di salib sebagai merahmati dan keampunan kepada seluruh alam. Saya cuba bermain mantik tapi tidak cukup mahir.

Saya : is it fair u make the mistake but he be punished?
X : That why he is the greatest.

Saya : So u can kill anybody u want . is it fair if other be punished? It always not fair.

Buat pertama kali saya menang. Rasa gembira juga. Tapi soalan-soalan yang berikutnya betul-betul menguji kebolehan berbahasa saya disamping menilai sejauh mana saya mampu berdepan dengan musuh agama tradisi ini.

X : So u tell me what the true religion

Saya : Islam
X : Proove it

Saya : Allah sent his messenger to us show the right way

X :Who is Allah?

Saya : The only god
X : Who is his messenger

Saya : such as Muhammad and jesus

Saya menggunakan nama jesus (Nabi Isa) supaya mudah dia memahaminya.

X : Where he now?

Satu soalan berbisa yang saya terima. Lalu saya katakan bahawa dia sudah mangkat

X : Who kill him?

Satu lagi soalan. Bagaimana harus saya jawab. Rasa bagai nak berpeluh walaupun sebenarnya Zarqziq ketika itu sangat sejuk. Diantara peluh dingin dan keligatan otak mencari idea, saya terus menggigil. Soalan berkaitan iman, kalau salah jawab bagaimana nanti hendak membetulkannya.

Saya : No body kill him. He passed away to show that he is no more than a messenger

X : That why muslim is blind. I had convert a few muslim among my friend.Ketika itu darah ini betul-betul menyirap. Terasa yang tadi sejuk kini betul-betul membara. Kita nak mengislamkan orang dengan susah payah, dia senang-senang sahaja menjadikan orang islam murtad. Dada masih berdebar kencang dan menggigil.

Saya : Not all muslims know everything about islam
Saya : r u judge a book with its cover?
Saya : so dont judge islam only look some of them which know something.

Tiba-tiba saya menaip begitu laju. Entah kerana geram atau kerana takut. Mungkin juga inilah kali pertama berdebat dengan bukan islam, yang masing-masing cuba mempengaruhi yang lain. Atau saya bimbang tidak dapat menjawab soalan yang ditujukan. Entah bermacam-macam yang bermain-main di kepala. Namun setelah itu dia minta untuk mengundurkan diri. Kebetulan waktu itu saya pun sudah penat. Malah menggigil.

Saya : I hope u learn something about islam
X : No

Begitulah degilnya orang kafir untuk menerima kebenaran, atau pintu hidayah belum lagi terbuka.

Saya : u should learn and thing about it. Choose only the truth.

Mungkin saya patut berhenti di situ. Sebenarnya ada beberapa persoalan yang dia timbulkan, yang saya akan cuba timbulkan semula kepada kita semua, kepada saya sendiri, apakah kita sudah boleh menjawab ya, atau kita masih takut dan berselindung disebalik lalang sebatang, ataupun cuba mencari tempurung mana yang mampu menjadi tempat persembunyian kita, walaupun cuma cukup untuk menutup kepala.Saya cuba membawakan satu persoalan yang saya rasa sesuai buat kita barisan azhari, kalimah muzakkar meliputi juga yang muannas.

Adakah cukup? Satu persoalan untuk kita semua.Adakah para pembaca setuju dan bersama-sama saya sekiranya saya katakan sebenarnya tidak cukup bagi kita semua, tidak kira daripada kuliah apapun, jika kita setakat mahir dengan feqh syafie tanpa mengetahui mazhab yang lain? Sedang para musuh islam menjadikan persoalan tentang mazhab dalam islam, sebagai sebagai satu hujah untuk mendatangkan keraguan kepada orang islam.

Adakah dikira cukup ilmu kita sekiranya kita mengetahui hukum sedangkan kita jahil dalil. Adakah kita tidak pernah mendengar bahawa musuh-musuh agama ini sedang rancak mengkaji al-quran, sedangkan kita masih mentah dengan kitab kita sendiri.

Adakah cukup bagi kita semua, kalau saya katakan bahawa kitab bible yang menjadi sumber hukum bagi mereka, atau mungkin kitab-kitab lain, sekiranya tidak perlu kita sentuh dan kita baca. Mungkin para exco badan kebajikan negeri dan dewan perwakilan serta PMRAM patut dan sememangnya patut cuba untuk membuat satu diskusi ilmiah tentang kitab yang menjadi panduan musuh. Tidak adil kalau orang menyerang kita sedangkan kita tidak tahu kelemahan mereka. Mereka selalu bertanya kepada kita, adakah kita sudah membaca bible, mengkajinya, kerana terdapat mereka yang tidak mahu mendengar dalil daripada al-quran. Bagi mereka, Quran bukan kitab mereka, kenapa mereka perlu mengambil dalil daripadanya.

Adakah dengan ini mahasiswa Syariah Islamiah boleh dan layak mengangkat dada, lantaran mereka mempelajari feqh dan dalilnya di kuliah? Dan adakah itu alasan bahawa kitab – kitab turasi (warisan) yang berlambak hanya layak menjadi perhiasan di maktabah, atau di atas meja mahupun dirak buku, satu kebanggaan yang menjadi lambang kayanya duit, harap tidak miskinnya ilmu.

Maaf kalau ada yang menyinggung mana-mana individu, secara langsung atau tidak, kerana ini tidak lebih daripada satu peluang untuk kita berfikir, mengambil apa yang baik, mungkin yang menulis tidak pernah lebih baik daripada yang membaca.

Sidang azhariyin sekalian. Adakah cukup sekiranya kita dengan bangga menunjukkan bahawa kita pandai IT, internet dan seluk belok computer, tapi bila di cc hanya berani untuk berchating dan mencari mangsa (mangsa?), sedangkan kita tidak cuba sesekali berchating dengan penganut agama lain, bertanya tentang aqidah mereka, moga-moga kalaulah mereka masuk islam, walaupun tidak pada ketika itu juga, tidak sedikit saham yang akan kita terima, yang moga-moga mereka akan berlari di akhirat kelak untuk berjumpa kita lalu berterima kasih, apakah kita tidak merasa bangga.

Apakah sidang pembaca setuju, ataupun akan cuba bersetuju sekiranya dan sesungguhnya, adalah sangat penting kita mempelajari mantik, kerana terdapat banyak permasalahan yang tidak dapat dijawab secara terus, mereka bermain dengan mantik tapi kita hanya pandai bermain bola? Jenaka tidak pernah lebih penting daripada hakikatnya, (mungkin?)

Adakah cukup? Satu persoalan untuk kita semua, mungkin pembaca lebih arif jawapannya daripada saya.

Satu ketika saya pernah terdengar satu soalan, moga-moga kalau ada istifadahnya, dapat pula memberi istifadah pada yang lain, dan moga-moga istifadah yang diambil daripada istifadah lebih berfaedah dan memberi faedah kepada yang lain. Satu soalan yang berbunyi: Adakah Allah boleh menjadikan batu yang sangat besar dan berat sehingga Dia tidak boleh mengangkatnya?

Begitulah dia satu soalan daripada ribuan soalan, yang kalaulah dijawab ya maka salah, dan kalau dijawab tidak juga salah, kerana tidaklah soalan ini lebih daripada untuk menyesatkan, yang harap-harap kalau ada yang menjawabnya, tidaklah ia menjadi sesat, atau menyesatkan yang lain.

Jika jawapannya bukan ya dan bukan tidak, apa jawapannya?. Sekiranya dijawab ya, maka salah, kerana Allah mampu mengangkat apa sahaja, dan sekiranya dijawab tidak maka juga salah, kerana Allah mampu menciptakan apa sahaja. Maka jawapannya adalah mustahil, mustahil Allah mampu menciptakan satu batu sedangkan Dia tidak mampu mengangkatnya, kerana Allah mampu menciptakan apa sahaja, dan mampu mengangkat apa sahaja.

Justeru, dengan kebenaran yang manusia nafikan, dengan Islam yang orang kafir tidakkan, apakah setanding dengan hujah tuhan, yang sebutir pasir tidak pernah menandingi jutaan pasir tanpa ketahuan bilangan, ditiup angin menjadi ribut, di letak air menjadi jerlus, dituang ke laut menjadi pulau, di himpun di bumi menjadi bukit, malah masih ada langit tinggi dan bulan bintang, apakah layak dengan sebutir pasir untuk dibandingkan.

Adakah cukup?, satu persoalan untuk kita semua.

No comments: