Saturday, December 17, 2005

Kita Perlu Menulis

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Julai 2005
Kolum : Suratan Tersirat
Jenis : Artikel
Terbitan : Julai 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Suratan Tersirat: Kita perlu menulis.
Oleh : al_jantanie

Barangkali, ada baiknya saya bentangkan dahulu beberapa fakta sebelum menjelaskan sesuatu.Doktor Mashitah dalam satu kenyataan berkenaan isu – Adakah seorang wanita (terutamanya ibu tunggal) boleh melacurkan diri demi membesarkan anak, telah menimbulkan kekecohan apabila beliau semacam membenarkan keadaan berikut atas dasar darurat. Dalam jawapan kepada persoalan itu, beliau menjelaskan “hukum di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang” dan “perkara yang dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa”.

Itu fakta yang pertama. Namun, setelah berlaku kegemparan berkenaan isu itu, beliau semacam mahu menarik balik kenyataan apabila menegaskan bahawa “bukan bermakna jika keadaan terdesak dan terpaksa, perempuan dibolehkan melacur”.

Walaupun begitu, beliau tetap berpegang kepada pendapat asalnya bahawa melacur dibenarkan “hanya dalam keadaan yang benar-benar darurat”. Kata-kata ini masih dikawal apabila beliau menambah lagi bahawa “masyarakat sendiri lebih memahami apakah maksud darurat di Malaysia. Persoalannya, adakah di negara kita sudah sampai tahap darurat?” Juga apabila beliau menyatakan, “Adakah dengan menjadi ibu tunggal sudah sampai tahap darurat?”

Inilah fakta yang kedua. Membenarkan pelacuran dalam keadaan ‘yang benar-benar darurat’, tetapi menafikan bahawa ‘keadaan kita sudah sampai ke tahap itu’. Bermakna, beliau tetap tidak membenarkan pelacuran. Mungkin, apa yang boleh dikesalkan ialah ia mengundang salah faham, dan lebih merbahaya lagi, kerosakan dalam masyarakat.

Risalah Prisma 4 baru-baru ini ada mengulas isu ini dengan pebentangan yang disokong dengan hujah dan kaedah fiqhiyyah berkenaan darurat. (Baca jawapan terhadap isu ini, terutama dalam mengategorikan ‘apa darurat dan apa yang bukan darurat’)

Apa yang lebih jelas, Prisma 4 menghujahi bahawa “masalah pelacuran tidak termasuk dalam kaedah Ad-Dharar Yuzal sekalipun berkemungkinan wujud situasi seorang wanita yang tidak mendapati sebarang cara untuk mendapatkan sesuap nasi melainkan dengan cara menjadi pelacur.” Sekaligus, ia menolak bahawa ‘pelacuran dibenarkan dalam keadaan yang benar-benar darurat’.

Inilah fakta ketiga. Saya tertarik untuk membawa fakta keempat. Dalam program Dialog Perdana PMRAM pada 12 Julai 2005 di Rumah Kelantan Baru, Ustaz Hairul Nizam Md Husin dalam jawapan kepada – apakah tindakan PMRAM terhadap permasalahan sosial yang berlaku di Malaysia, menyatakan bahawa peranan kita adalah dengan menjelaskan bagaimana pandangan syarak terhadap isu tersebut, dan dapat tidak dapat, ia perlu melalui marhalah penulisan.

Beliau dalam jawapan itu mempelawa mana-mana individu untuk membuat kajian terhadap sesuatu isu, walaupun ia pendek, boleh untuk diserahkan kepada PMRAM untuk disebarkan. Barangkali suara kita tidak sampai, tetapi dengan penulisan, ia satu medium penyampai yang berkesan.

Daripada semua fakta ini, saya mula membuat kesimpulan. Kesimpulannya, cara penyelesaiannya adalah dengan menulis. Suara kita dihadang jarak beribu-ribu batu, ditampan udara dan akhirnya tersasar dari terus ke telinga pembaca. Tetapi tulisan kita, ia bagaikan panah yang membelah angin menuju tepat ke sasarannya. Adakah kita rasa, kita tidak perlu belajar menulis?

Saya tertarik kepada seorang sahabat yang menyarankan supaya ‘PMRAM menambah promosi kepada usaha thaqafah, lebih-lebih lagi kepada aktiviti thaqafah anjuran Al-Azhar’ kerana seperti yang dinyatakan oleh Presiden PMRAM, “biarlah hujah dibalas dengan hujah” Semua ini menumpukan bahawa, ilmu pengetahuan perlu ditimba demi menghadapi dengan permasalahan-permasalahan seperti itu.

Apabila dikaitkan dengan penulisan, saya tertarik membawa apa yang disebutkan oleh Ustaz Hairul Nizam Md Husin sebagai berkata “kita mempunyai ilmu yang banyak” tetapi tidak disampaikan.

Mengukuhkan pendapat ini, saya menambah lagi dengan satu cerita daripada seorang sahabat ketika negara kita gempar dengan kenyataan Astora Jabat bahawa ‘tiada azab kubur selepas mati.’ Beliau dikunjungi seseorang bertanyakan pendapatnya mengenai isu ini.

Orang itu menyatakan, “pendapat ustaz sama seperti mana-mana ustaz yang saya temui. Semua tidak bersetuju dengan kenyataan Astora Jabat. Tetapi, apabila saya menawarkan diri sebagai sponsor – ustaz tulis dan saya akan cetak jawapan ustaz terhadap kenyataan Astora Jabat, masing-masing menolak untuk menulis.”

Itulah realiti yang berlaku. Segolongan awam datang kepada agamawan demi sesuatu isu meminta jawapan; tetapi secara bertulis; dan ia mahu menerbitkan. Dengan semua hujah yang saya kumpulkan, saya merasa wajar seruan ini diutarakan – Agamawan juga perlu belajar menulis, menjejak keagungan ulama’ silam. Kerana seringkali kalam amat terhad langkauan mad’unya, tetapi penulisanlah menerobos melebihi sempadan itu.

Kita perlu menulis. Jadi, tidak salah kalau usaha ini bermula dengan satu sayembara. Ambil ihtimam terhadap iklan Pertandingan Menulis Artikel, Cerpen dan Sajak dalam ‘Hadiah Pena Karyawan PMRAM 2005’ (HPKP’05)

No comments: