Friday, December 16, 2005

Ahli Lari Daripada Program?

Majalah : Warta PMRAM
Edisi : Mac 2005
Kolum : Fokus
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Mac 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Tajuk Temuramah : AHLI LARI DARIPADA PROGRAM?

Temuramah dikendalikan oleh Saudara Mohd Zaki M.Noor, pada 23 Ogos 2004, jam 8.00 malam, bertempat di Pejabat PMRAM.

Latar belakang : Mohd Fakherei Mahiyuddin, berasal daripada Kota Bharu Kelantan Mendapat pendidikan di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulau Condong sebelum menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau sudah menamatkan pengajian di Kuliah Dirasat Islamiyah, Keherah, dan bakal menyambung pengajian ke peringkat Master. Ditaklifkan sebagai Naib Presiden 1, Ketua Lajnah Perancang dan Panatia PMRAM, sesi 2004/2005.

WARTAWAN WARTA ( WARTA ) : Terima kasih kepada Ustaz Fakherei kerana sudi meluangkan masa untuk ditemuramah pada malam ini.

USTAZ FAKHEREI ( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sama-sama.

( WARTA ) : Kedengaran bahawa ahli cenderung untuk tidak mengikuti program yang dianjurkan oleh PMRAM dan BKAN itu sendiri. Apakah pendapat Ustaz?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sebelum saya terus menjawab soalan, saya ingin memberi beberapa mukaddimah yang dirasakan penting untuk kita ketahui sebelum menghukumkan sesuatu perkara. Pertama sekali, program PMRAM adalah program yang pelbagai. Ia tidak dikhususkan pada satu aspek hingga mengabaikan aspek-aspek yang lain. Oleh kerana itu, ada program berbentuk tafaqquh, ada program yang melibatkan kemahiran diri, ada program di bidang IT / ICT, ada program berkaitan ekonomi seperti bazaar, ada program rehlah dan sebagainya. Jadi, hasil daripada kepelbagaian program ini, tentu ada program kita lihat sambutannya amat menggalakkan, ada program yang sambutannya sederhana dan ada program yang kurang sambutan. Program yang mendapat sambutan menggalakkan seperti Daurah bersama Syeikh Nuruddin, program-program berbentuk Dialog Bersama Kepimpinan, juga program-program tafaqquh lain. Program yang kurang sambutan biasanya dianggap kecil, tetapi sebenarnya ia berlaku kerana masalah-masalah lain, contohnya promosi yang agak lewat; ataupun program itu telah dilaksanakan di peringkat BKAN, kemudian PMRAM melaksanakannya buat kali yang kedua. Itulah beberapa mukaddimah yang perlu kita ketahui, kerana hasil daripada perkara itulah saya berpandangan bahawa, memang wujud ahli yang cenderung untuk tidak mengikuti program. Ia berlaku bukan sahaja di Mesir, bahkan di mana-mana tempat. Ini satu realiti yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, dan kita tidak boleh menyalahkan ahli seratus peratus, atau pun persatuan seratus-peratus.

Ada beberapa perkara yang menyebabkan segelintir ahli cenderung untuk tidak mengikuti program. Pertama, tidak ada minat atau kurang minat. Sebagai contoh, ahli yang tidak meminati rehlah, mereka tidak akan menyertai program rehlah PMRAM ke Sinai, Fayyum dan sebagainya. Tidak berminat menyebabkan mereka tidak menyertai, bukan kerana sebab yang lain. Begitu juga terdapat ahli-ahli yang tidak minat bersukan, mereka mungkin tidak menyertai sukan. Di dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan ahli, dan tidak boleh menyalahkan persatuan.

Kedua, antara sebab yang saya nampak ialah ahli sibuk dengan tugas-tugas lain, seperti ahli yang telah berumahtangga, ataupun ahli yang terlibat dengan perkara-perkara lain yang menyibukkan mereka. Kebiasaannya, kita sebagai ahli biasa mempunyai lima kewajipan, akan tetapi ada ahli-ahli tertentu yang mempunyai hingga 10 atau 20 kewajipan, seperti orang yang telah berkahwin, dan orang yang terlibat dengan beberapa perniagaan di sini. Kemungkinan mereka sibuk dengan tugas-tugas mereka, dan dalam masa yang sama, tugas tersebut lebih penting pada pandangan mereka (terutamanya orang berkahwin ataupun orang yang berniaga) berbanding mengikuti program. Mungkin mereka mengikuti program, tetapi tidak seperti ahli biasa yang mempunyai keluangan masa dan minat yang tinggi.

Dalam masalah ini, boleh saya katakan secara kesimpulan, memang wujud ahli yang tidak mengikuti program, dan ia bukan berlaku di Mesir sahaja, bahkan di mana-mana sahaja. Kita dalam hal ini tidak boleh menyalahkan ahli sepenuhnya, dan kita tidak boleh menyalahkan persatuan sepenuhnya atas sebab-sebab yang saya sebutkan tadi. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Adakah benar program yang dianjurkan oleh PMRAM terlalu banyak hingga membebankan ahli untuk mengikutinya?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Secara ringkasnya, ingin saya katakan bahawa program PMRAM berada dalam status sederhana. Tidak sedikit dan tidak banyak. Mengapa saya katakan sederhana? Pertama, kita dapati banyak cadangan ahli yang tidak dapat kita buat. Dalam Muktamar Sanawi, terdapat hingga dua puluh cadangan, malah lebih daripada itu setiap tahun. Kita tidak boleh katakan bahawa program kita banyak, kerana banyak lagi program yang dicadangkan, tetapi tidak mampu kita buat.

Kedua, sebagaimana yang telah diketahui umum, kita menghadapi masalah kekurangan AJK dan kekurangan sumber kewangan. Hasil daripada dua perkara inilah kita tidak mampu malaksanakan beberapa program yang dicadangkan oleh ahli. Dan dalam masa yang sama, kita boleh menyimpulkan bahawa program PMRAM tidak terlalu banyak, bahkan ia lebih berbentuk sederhana. Sebenarnya, program yang dilaksanakan oleh PMRAM ada yang berbentuk mega, ada yang berbentuk umum, ada yang berbentuk khas, dan berbagai-bagai bentuk lagi. Ahli boleh memilih mana (program) yang mereka minati, dan mana (program) yang dirasakan boleh memberi manfaat yang banyak. Oleh kerana itu, sebanyak manapun program PMRAM, BKAN dan DPM, ia bukanlah satu masalah kepada ahli sekiranya mereka tahu apakah kecenderungan mereka, apakah manfaat atau tujuan progam yang mereka sertai. Pihak kepimpinan hanya membuat program, dan ahli berhak memilih mana-mana program yang dirasakan sesuai. Cuma mungkin ada beberapa program yang perlu ahli ikuti, contohnya program mega, dan beberapa program yang berbentuk umum, di mana mereka perlu mendapat penjelasan daripada kepimpinan. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Berdasarkan penerangan ustaz kepada dua persoalan tadi, terdapat juga program di mana ahli boleh menguzurkan diri sekiranya mereka mempunyai satu program peribadi yang dianggap lebih penting?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pihak PMRAM dalam masalah ini sebenarnya tidak menghalang mana-mana ahli untuk tidak mengikuti program. Dalam hal ini, ahli mempunyai kebebasan mengikuti mana-mana program dan (bebas) untuk tidak mengikuti mana-mana program. Tetapi, sepertimana yang saya terangkan tadi, mungkin ada beberapa program yang perlu ahli ikuti, seperti contoh program mega, dan beberapa program berbentuk penjelasan kepada ahli agar mereka mendapat penjelasan sebenar. Bagi saya, perkara ini sepatutnya tidak menjadi beban yang amat besar kepada ahli, kerana banyak perkara lain yang lebih membebankan mereka daripada mengikuti program PMRAM, BKAN dan DPM.

( WARTA ) : Benarkah dakwaan bahawa mengikuti program yang dianjurkan oleh PMRAM boleh menjejaskan pelajaran. Bagaimana ustaz melihat hal ini?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pelajaran terjejas ataupun gagal peperiksaan bukanlah semata-mata kerana mereka mengikuti program, ataupun semata-mata kerana mereka menjadi AJK. Pelajaran terjejas, ataupun keputusan peperiksaan merosot disebabkan banyak faktor. Di antara perkara yang kita ketahui, faktor yang paling penting ialah penguasaan bahasa Arab yang lemah dan persiapan yang lewat menghadapi peperiksaan. Itu sebenarnya faktor yang penting. Adapun program, sekiranya dalam seminggu tidak ada program, kita berkelapangan dua-tiga hari. Akan tetapi apabila ada program, ia cuma tinggal sehari. Sebenarnya, ia lebih mengajar kita untuk mengurus masa. Jadi, mungkin kerana kegagalan kita mengurus masa dengan baik menyebabkan kegagalan kita memanfaatkan masa yang ada untuk mengulangkaji pelajaran dalam satu keadaan yang lebih bersistematik.

Apa yang ingin saya tekankan di sini, ada beberapa orang yang amat sibuk dengan program, mereka sibuk dengan persatuan, mereka selalu menghadiri program, tetapi merekalah orang yang cemerlang dalam akademik. Dan ada yang tidak mengikuti program, tidak terlibat dengan program, dan dalam masa yang sama mereka adalah di antara orang-orang yang gagal. Perkara ini lebih bersifat fleksibel, bergantung kepada mana-mana individu. Individu yang pandai mengurus masa, mereka lulus dalam pelajaran, cemerlang, dan dalam masa yang sama dapat mengambil manfaat daripada program. Oleh kerana itu, pengurusan masa, penguasaan bahasa Arab dan persiapan awal adalah penting untuk berjaya dalam pelajaran. Dalam hal ini PMRAM mengambil berat hal pelajaran. PMRAM amat-amat menekankan kepada BKAN dan DPM atau dalam program PMRAM sendiri, seboleh-bolehnya kita mengelakkan penganjuran program dalam masa kuliah. Cuba cari masa yang agak kosong, masa selepas kuliah, ataupun masa selepas imtihan. Kita mempunyai banyak masa yang kosong, dan di situ sebenarnya kita (boleh) memperbanyak program.

Dalam hal ini, kepimpinan perlu mengetahui apa yang telah kita bincangkan bersama, dan apakah perkara-perkara yang kita mesti dilakukan semasa melaksanakan program. Dan dalam masa yang sama, kita tidak boleh menskopkan program yang dilaksanakan oleh PMRAM hanya untuk perkara-perkara yang lain, yang tidak berkait dengan pelajaran. Ini kerana ada program PMRAM bertujuan untuk meningkatkan penguasaan akademik. Jadi, amat salah sekiranya kita katakan, kita melaksanakan program akademik, dan dalam masa yang sama, orang yang mengikuti program ini (pula) yang gagal, sebab program tersebut untuk meningkatkan penguasaan akademik. Contohnya seperti Seminar Pembelajaran Dan Kecemerlangan Diri, khas untuk pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar yang gagal. Kita memberi pendedahan, teknik mengatur jadual, teknik mengurus masa, teknik menjawab soalan. Sebenarnya kita boleh mengatakan bahawa orang yang tidak mengikuti program inilah sebenarnya lebih berisiko untuk gagal, atau keputusan mereka tidak sehebat orang yang mengikuti program. Jadi perkara tersebut (mengikuti program) adalah perkara yang fleksibel. Ia bergantung kepada kepandaian kita mengurus masa, dan bergantung kepada kemahiran yang ada pada diri kita. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Ada ahli yang mengatakan bahawa PMRAM menggunakan perkataan ‘aula’, iaitu program PMRAM lebih aula (untuk diikuti) berbanding mana-mana program yang bersifat peribadi atau individu. Benarkah perkara ini terjadi?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Boleh saya nyatakan bahawa program yang dianjurkan oleh PMRAM memang aula untuk diikuti, tetapi ia bukanlah semua program. Ahli perlu mengetahui sekarang, apakah program yang aula mereka ikuti, dan apakah program yang pada pandangan mereka adalah ibahah. Maknanya kalau hendak pergi pun boleh, tidak pergi pun tidak mengapa. Program-program yang aula bagi saya ialah program yang berbentuk mega, memerlukan sokongan ahli, penglibatan ahli, komitmen ahli, juga program-program yang lebih berbentuk umum ke arah meningkatkan penguasaan pendidikan, pelajaran dan juga tafaqquh. Jadi bagi saya ini merupakan di antara program-program yang memang aula ahli ikuti.

Adapun sekiranya hendak dinisbahkan antara program PMRAM kepada program BKAN dan DPM, ternyata program PMRAM lebih aula berdasarkan kepada kaedah Usul Feqh, Maslahah Ammah Mukaddamah Alal Maslahah Khassah, program PMRAM sebenarnya memberi manfaat yang lebih banyak kepada ahli, kerana program BKAN dan DPM biasanya tertumpu untuk ahli BKAN atau ahli DPM mereka sahaja. Sedangkan program PMRAM ditujukan untuk semua ahli secara umum, dengan pelbagai bentuk program yang sebenarnya lebih memberi manfaat, juga tenaga pengisi program dan pengajar yang hebat, contohnya daripada doktor-doktor Arab. Jadi dalam hal ini, walaupun PMRAM mengatakan bahawa program PMRAM lebih aula dalam beberapa perkara, atau dalam beberapa masa, kita telah menyediakan satu sistem supaya tidak berlaku pertembungan di antara program PMRAM, program BKAN dan program DPM.

Sekiranya program yang mempunyai manfaat yang besar, kesemuanya mega daripada ketiga-tiga pihak, dan dalam masa yang sama bertembung (tentu merugikan). Kita cuba mengelakkan perkara ini, dan kita menggunakan system tansik minggu. Contohnya minggu pertama dan minggu terakhir (adalah) untuk program PMRAM, minggu kedua untuk program DPM, dan minggu ketiga untuk program BKAN. Jadi dalam sistem yang telah disusun ini alhamdulillah, kita dapat mengurangkan beberapa pertembungan program. Oleh kerana itu, tidak akan timbul istilah ‘pertembungan (dengan) program peribadi’, hingga menyebabkan ada ahli mengatakan bahawa PMRAM selalu menggunakan istilah - program PMRAM lebih aula untuk diikuti - kerana sebaik-baiknya kita cuba aljam’u bainahuma. Kita ikuti semua sekiranya boleh kerana faedah-faedah yang kita perolehi daripada program-program ini tidak akan kita perolehi daripada kuliah, dan tidak akan kita perolehi daripada bentuk-bentuk pengajian lain yang kita ikuti. Satu faedah yang ada pada satu program tidak akan sama pada program-program yang lain. Dalam hal ini saya merasakan istilah - program PMRAM lebih aula - hanya untuk beberapa program. Tetapi perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk memberi satu pandangan yang buruk kepada PMRAM, kerana kita cuba menyusun program dan kita cuba mengurangkan pertembungan di antara program PMRAM, BKAN dan DPM. Wallahua’lam

( WARTA ) : ‘PMRAM lebih mengutamakan program yang dianjurkan berbanding tafaqquh’, apakah sebenarnya yang telah berlaku?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pandangan tersebut seolah-olah cuba memisahkan di antara tafaqquh dan program. Mereka mengganggap bahawa tafaqquh bukannya program, dan program bukannya tafaqquh. Saya ingin mengatakan bahawa pandangan ini adalah tertolak, kerana PMRAM menganggap tafaqquh merupakan salah satu daripada program-program mega PMRAM, bahkan PMRAM, BKAN dan DPM banyak meluangkan masa (mereka) untuk (agenda) tafaqquh. Jadi selayaknya atau sebaiknya, ahli perlu memahami bahawa mereka perlu mendapat kefahaman sebenar - Tafaqquh merupakan salah satu daripada program-program PMRAM. Kalau kita melihat realiti hari ini, kelas-kelas tafaqquh peringkat BKAN dan DPM, mahupun Daurah yang biasanya kita anjurkan semasa kedatangan Syeikh Nuruddin sebenarnya mengambil masa yang lebih panjang daripada mana-mana program-program yang kita laksanakan.

Kedua, program tafaqquh yang PMRAM anjurkan melibatkan perbelanjaan kos yang lebih banyak. Ahli dalam hal ini tidak boleh memandang dengan ‘pandangan hitam putih’ sahaja, tetapi ahli perlu mengetahui bahawa di antara tujuan utama ataupun hala tuju PMRAM adalah meningkatkan tafaqquh, meningkatkan lagi penguasaan ilmu di antara kita. Hasil daripada itulah, banyak program yang dilaksanakan menjurus ke arah tafaqquh. Jangan kita skopkan tafaqquh sekadar belajar ataupun bertalaki kitab-kitab yang lama. Tafaqquh adalah satu konsep umum yang melibatkan semua penguasaan ilmu, sama ada ilmu thurath, ilmu mua’sirah, ilmu yang berkaitan dengan dunia, ataupun perkembangan ilmu-ilmu semasa. Konsep tafaqquh luas. Ahli tidak perlu menyempitkan konsep tafaqquh, dan ahli perlu mengetahui bahawa tafaqquh merupakan salah satu daripada program yang dianjurkan oleh PMRAM. Apabila kita jelas dengan semua perkara, saya rasa tidak akan timbul pandangan yang mengatakan bahawa PMRAM mengutamakan program daripada tafaqquh. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Berlaku satu fitnah yang mengatakan bahawa - Mengapa sesetengah daripada kepimpinan mengeji orang-orang yang cuba terjun dalam tafaqquh?- atau dengan kata yang lain, mengeji orang yang cuba memperuntukkan dirinya untuk tafaqquh, hingga mungkin mengabaikan beberapa program PMRAM yang dilihat bertembung dengan tafaqquh mereka. Bagaimanakah ustaz melihat hal ini, kerana mereka kelihatan cuba untuk tidak mengikuti program PMRAM, akhirnya ada antara mereka meminggirkan kesemua program PMRAM.

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Saya merasakan bahawa; sekiranya perkataan-perkataan tersebut keluar daripada mulut-mulut kepimpinan, ia mungkin berlaku kerana berlaku beberapa kesilapan di pihak kita (kepimpinan) atau kesilapan pihak tersebut. Kesilapan kedua-dua belah pihak. Mungkin ia berlaku kerana penilaian yang kurang tepat menyentuh semua perkara. Jadi kita memberi satu hukum yang salah. Apabila sesuatu perkara telah salah, tiba-tiba kita cuba menghukum, jadi hukuman kita juga menjadi salah, kerana kita membina hukuman di atas perkara yang salah. PMRAM dalam hal ini ingin menegaskan bahawa PMRAM tidak menghalang mana-mana individu juga mana-mana usaha meningkatkan tafaqquh di Mesir ini. Masalah berkaitan tafaqquh berlaku kerana tiada perbincangan lanjut, ataupun tiada persetujuan yang lebih meluas, kerana kerjasama daripada dua pihak, sama ada daripada ahli ataupun persatuan, ia akan menatijahkan sesuatu yang baik kepada semua ahli. Kita perlu menyedari bahawa - Tuntutan hidup di atas dunia ini bukan tertakluk seratus peratus mempelajari ilmu - kerana banyak tuntutan-tuntutan lain yang perlu dilaksanakan, sepertimana yang telah ditegaskan oleh Al-Imam As-Syahid, alwajibat aksaru minal auqat. Saya pasti, ulama-ulama dahulu yang mana amat rajin bertafaqquh, malah lebih rajin daripada kita, mereka juga sebenarnya melibatkan diri mereka dengan perkara-perkara politik. Mereka di antara ahli yang berniaga, dan mereka juga di antara orang-orang yang paling lantang mengkritik pemerintah apabila berlakunya perkara-perkara yang tidak baik dan mungkar.

Ulama-ulama yang lebih hebat daripada kita pun melibatkan diri mereka dengan banyak perkara, apatah lagi kita sekarang ini. Kita perlu mencontohi mereka dan tidak menumpukan usaha kita kepada tafaqquh semata-mata. Ahli perlu jelas dengan perkara ini. Adapun pandangan yang mengatakan - Tafaqquh merupakan perkara yang paling utama - itu saya bersetuju. Tafaqquh merupakan tujuan utama kita datang ke Mesir, dan ia adalah tuntutan utama yang mesti kita laksanakan. Tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan tuntutan-tuntutan yang lain. Abu Darda’ dalam satu hadis, apabila seorang akhi nya datang ke rumah, Abu Darda’ asyik beribadah sahaja sehingga membiarkan isterinya. Dia tidak menguruskan rumahtangga dengan baik, sehingga kawan tersebut yang saya terlupa namanya mengatakan - fa’ti kulla zi hakkin hakkoh. Hendaklah kamu memberi hak kepada setiap orang yang mempunyai hak. Maknanya, setiap perkara itu ada hak masing-masing, perlu beri kepada semua. Tidak boleh ambil satu, kemudian mengabaikan yang lain, di mana menyebabkan banyak khalal. Dalam hal ini, pihak kepimpinan ataupun pihak ahli perlu duduk berunding, berbincang dengan lebih panjang, tidak saling menyalahkan di antara satu sama lain. Kita mengetahui banyaknya tuntutan yang mesti kita lunasi, dan ia boleh dilunasi dengan kerjasama semua pihak. Bukan hanya daripada pihak kepimpinan, dan bukan hanya daripada pihak ahli. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Adakah PMRAM meletakkan satu qarar kepada BKAN dan DPM dalam menentukan program yang mereka ingin laksanakan?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sekiranya yang dimaksudkan dengan qarar bahawa PMRAM menetapkan - BKAN dan DPM hanya boleh melaksanakan 10 atau 20 program, program mega ataupun program umum - itu sebenarnya tidak wujud. Itu satu pandangan yang tidak betul. Apa yang PMRAM sediakan adalah garis panduan untuk melaksanakan program. Di antara contoh garis panduan yang telah PMRAM perkenalkan ialah; kita membahagikan minggu-minggu untuk menyusun program dengan baik supaya tidak bertembung. Itu garis panduan pertama.

Garis panduan kedua, kita menggalakkan program-program berbentuk gabungan, ataupun program-program yang berdasarkan sistem taakhi yang kita bina, supaya perkara yang sama yang dilaksanakan oleh beberapa negeri boleh dikongsi oleh negeri yang lain. (Dengan cara ini) boleh mengurangkan kesibukan program. Contohnya sambutan yaumul asyura; semua BKAN dan DPM hendak buat. Tidakkah ia akan menyebabkan berlakunya banyak pertembungan? Ataupun (tidakkah ia menyebabkan) banyak tenaga kerja yang digunakan, (sedangkan) kesan untuk ahli (BKAN dan DPM lain) sedikit (berbanding tenaga kerja yang diperuntukkan). Jadi alangkah baik sekiranya perkara tersebut dapat dilaksanakan, atau boleh digabungkan untuk manfaat untuk semua pihak. Dan di antara garis panduan yang juga disediakan oleh PMRAM, program-program hendaklah ditawaqufkan seketika; sekurang-kurangnya sebulan setengah sebelum imtihan berlangsung.

Ini adalah diantara garis-garis panduan yang mesti dipatuhi oleh BKAN dan DPM dalam melaksanakan program, dan ia bukanlah qarar untuk menghadkan bilangan program ataupun untuk menentukan jenis-jenis program yang boleh dilaksanakan oleh BKAN dan DPM. Dalam hal ini, BKAN dan DPM boleh bermesyuarat sesama mereka, exco terutamanya dalam menentukan program mereka, dan mereka akan menyampaikan perkara tersebut kepada PMRAM untuk diluluskan. Itulah prosedur biasa yang kita gunakan. Wallahua’lam.

( WARTA ) : Apakah pendapat ustaz mengenai masalah ini?(Masalah ahli tidak mengikuti program). Adakah ia satu masalah serius yang perlu ditangani habis-habisan, ataupun ia sekadar satu masalah biasa?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Saya berpandangan bahawa perkara itu bukanlah perkara yang betul-betul serius. Ia merupakan masalah bersifat semasa, ada masanya meningkat, ada masanya menurun. Ada masanya program kita mendapat sambutan, ada masanya program kita kurang mendapat sambutan. Dalam perkara ini, sesiapa sahaja yang melaksanakan program menginginkan program mereka itu mendapat sambutan terutamanya PMRAM, BKAN dan DPM. Mungkin perkara tersebut, iaitu ketidakhadiran ahli ataupun kurangnya minat ahli untuk mengikuti program, berlaku kerana beberapa sebab seperti yang telah disebutkan tadi. Mungkin juga kerana kelemahan pihak penganjur sendiri; Iklan lewat, promosi yang biasa, atau penerangan program yang rasanya kurang menarik. Oleh kerana itu, sebelum melaksanakan program, pihak penganjur perlu memikirkan cara terbaik untuk menarik ahli supaya menyertai program tersebut, supaya objektif yang kita gariskan dalam kertas kerja tercapai dengan bilangan ahli yang lebih ramai.

( WARTA ) : Akhirnya, apakah harapan ustaz berkenaan perkara ini?

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Pertama, saya berharap supaya ahli jelas dalam masalah mengikuti program, menjadi AJK, mengikuti program dan menyertai program. Mereka perlu mengetahui bahawa program tersebut mempunyai objektif yang amat besar. Setiap program terutamanya program-program mega memerlukan kos kewangan yang banyak dan AJK yang ramai. Jadi saya mengharapkan ahli memahami dengan sungguh-sungguh perkara tersebut, supaya tidak akan timbul kata-kata yang sebaliknya. Apabila memahami perkara ini, Insya Allah, tidak akan timbul rasa berat hati untuk mengikuti program.

Yang kedua, saya juga mengharapkan ahli supaya memberikan sokongan ataupun komitmen yang padu kepada PMRAM, kerana program yang dilaksanakan (walaupun kita kata ada objektif khusus) sebenarnya mempunyai objektif (umum) - adalah lebih kepada menjaga persatuan kita. Pergi ke mana sekalipun, kita merasakan bahawa program inilah yang menyebabkan kita boleh berjumpa sesama kita, kita boleh berta’arruf, boleh berkenalan, kita boleh merapatkan ukhuwwah kita yang sebelum ini agak jauh. Hasil daripada perjumpaan inilah, kita merasakan nilai kesatuan itu lebih tinggi. Sepertimana yang disabdakan oleh Nabi (yang mafhumnya) : Tidaklah satu kaum berhimpun dalam satu majlis mengingati Allah ataupun berzikir kecuali akan turun malaikat memberi rahmat kepada mereka, diturunkan sakinah (ketenangan) kepada mereka, dan Allah S.W.T menyebut mereka di kalangan para malaikat. Inilah majlis ilmu ataupun majlis zikir yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang mempunyai banyak faedah, yang perlu ahli ikut.

Mungkin terakhir daripada saya, ahli sebenarnya bukan sekadar perlu menyertai program, bahkan perlu bersedia menjadi AJK program. Sekiranya mereka memang tidak sanggup menjadi AJK program, mereka boleh menolong dalam bentuk yang lain. Melaksanakan program bukanlah semudah yang kita sangka, semudah yang kita nampak. Banyak rintangan dan halangan yang sentiasa datang kepada kita terutamanya program berskala besar, juga program berbentuk mega. Jadi sekurang-kurangnya mereka mencurahkan tenaga mereka secara mubasyarah , secara terus. Kalau mereka tidak boleh memberi sumbangan secara mubasyarah tenaga, berilah sokongan berbentuk material, duit ataupun kewangan yang mungkin boleh mereka sumbangkan. Ataupun paling kurang, sekurang-kurangnya mereka berdoa agar program yang kita laksanakan mencapai objektif, berjaya dan seterusnya kesatuan yang kita cuba jaga akan terpelihara. Semoga tema PMRAM, ‘ MEMPERKASA WEHDAH MENYEMARAK ILTIZAM’ akan tercapai, dan kita semua beroleh satu manfaat yang banyak hasil daripada perkara-perkara yang telah saya sebutkan tadi. Wallahua’lam

( WARTA ) : Akhirnya, saya wakil daripada Warta mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Fakherei kerana sudi meluangkan masa pada malam ini untuk menjelaskan beberapa persoalan. Terima kasih sekali lagi.

( NAIB PRESIDEN 1 ) : Sama-sama.

No comments: