Wednesday, January 18, 2006

Seruan Penubuhan Daulah Abbasiyah

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : Seruan Penubuhan Daulah Abbasiyah
Oleh : al_jantanie

Daulah Abbasiyyah boleh dianggap sebagai pemerintahan berkhalifah ketiga bagi umat Islam selepas zaman Khilafah Ar-Rasyidin dan Khilafah Umaiyah. Daulah Abbasiyah ditubuhkan bukan semudah yang disangka. Ide dan usaha penubuhannya telah bermula lebih awal sebelum sejarah memperlihat hasilnya. Memetik pepatah Inggeris : Rom tidak dibina dalam sehari.

Usaha untuk menubuhkan Khilafah Abbasiyah bermula dengan gerakan seruan kepada penubuhan khalifah baru yang disebut sebagai 'Ad-Dakwah Al-Abbasiyah'. Namun seruan ini bukan dijalankan secara terang-terangan kerana memikirkan risiko tindakan yang diambil pemerintah Umaiyah. Risiko ditangkap hinggalah dihukum bunuh.

Seruan ini menjadikan Khurasan tapak sebelum berkembang ke kawasan yang lain. Oleh kerana seruan ini adalah secara rahsia, maka para penyeru @ daie terpaksa menyamar sebagai peniaga dan tokoh korporat yang menjelajahi bandar-bandar dan kampung-kampung. Mereka menjalankan tugas ini dengan memikul amanat yang diberikan oleh pucuk pimpinan.

Pucuk pimpinan dalam seruan secara rahsia ini dipelopori oleh seorang yang diberi gelaran Imam. Imam pertama adalah Ali bin Abdullah bin Abbas, dan imam kedua adalah anak beliau, Muhammad bin Ali. Usaha kepada penubuhan ini tentunya mempunyai beberapa manhaj supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Imam Muhammad bin Ali dalam taujihatnya kepada para daie seperti dalam kitab "Akhbar Al-Abbas wa Waladihi" menyatakan beberapa amanat tersebut.

Pertama : Kamu perlu mengusahakan perniagaanmu dan memperlihatkan kesungguhan padanya sehingga tidak kelihatan siapa kamu sebenarnya di hadapan orang sekiranya kamu berlaku sebaliknya ( menyeru kepada daulah baru )

Kedua : Hendaklah dakwahmu dan apa juga yang kamu sampaikan kepada manusia umumnya adalah satu seruan supaya mereka mencari keredhaan Ahli Bait Rasul (mencintai keluarga Nabi Muhammad) dan kamu sebutkan betapa melampaunya Bani Umaiyah (pemerintah) dan sesungguhnya Keluarga Nabi ( Ali Bait) lebih layak memerintah daripada mereka.

Ketiga : Hendaklah namaku disembunyikan (daripada pengetahuan) semua orang melainkan orang yang jujur kepada dirimu dan kamu mempercayainya…Apabila kamu ditanya tentang namaku maka katakana : Kami takiyyah (berahsia) dan dia memerintahkan kami supaya merahsiakan nama Imam kami.

Keempat : Perintah sahabat-sahabatmu (orang yang menerima seruan tersebut) bertahan…(tidak bertindak). Kamu dilarang menghunus pedang kepada musuhmu dan menahan tanganmu sehingga kamu diizinkan (berbuat begitu).

Kelima : Ingatkan pengikut kita bahaya (jangan) terlibat dalam gerakan oleh keluarga bapa saudara kita, Keluiarga Abi Talib.((iaitu Pengikut Ali).

Keenam : Kurangkan mengutusiku (surat)…Dan kurangkan bertemu denganku melainkan pada hari-hari musim haji, atau datang kepadamu satu perkara yang berhajatkan kepada pendapatku, kamu sampaikan kepadaku bersama-sama seorang yang dipercayai daripada sahabatmu, atau orang yang menanggungmu daripada kalangan pengikut tertentu kita.

Ketujuh : Berhati-hati (berjaga-jaga) dengan jamaah Kufah, dan jangan kamu terima daripada mereka melainkan orang-orang yang cerdik.

Kelapan : Jadikanlah Khurasan rumah tempatkamu berhijrah dan tempat kamu berehat daripada tugas dakwah.

Kesembilan : Apabila kamu pergi ke Mar'wu, maka menetaplah bersama kabilah Yaman, dampingi kabilah Rabi'ah dan berwaspada dengan kabilah Madhar, ambillah peluang kamu daripada orang yang boleh dipercayai dari kalangan mereka. Perbanyakkan mendampingi bangsa bukan Arab, kerana mereka adalah ahli dakwah kita, dan dengan mereka dakwah ini dibantu oleh Allah.

Sesungguhnya, dalam mana-mana gerakan penubuhan, sekiranya ia bermula daripada gerakan secara rahsia, ia tetap berhajat kepada gerakan secara terang-terangan. Usaha dakwah kepada penubuhan Daulah Abbasiyah juga melalui dua marhalah ini; secara rahsia dan secara terang-terangan.

Gerakan secara rahsia bermula semenjak pengutusan beberapa orang daie oleh Imam Muhammad bin Ali ke Kufah dan Khurasan sekitar tahun 100 hijrah. Pengutusan ini tidak dilakukan dalam satu masa, seperti mana yang didakwa oleh kebanyakan ahli sejarah. Pengutusan daie ke Kufah mendahului pengutusan ke Khurasan lebih daripada dua tahun.

Adapun gerakan secara terang-terangan bermula di Khurasan di bawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasani. Namun berlaku perselisihan yang besar di kalangan ahli sejarah tentang sahsiah sebenar Abu Muslim ini. Akan tetapi dapat dipastikan bahawa Abu Muslim bukanlah seorang yang baru di bumi Khurasan, kerana beliau telah berziarah ke Khurasan lebih daripada sekali dalam tempoh Imam Muhammad bin Ali masih hidup.

Ada tiga orang Imam yang mengepalai dakwah ini. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Imam pertama adalah Ali bin Abdullah; Imam kedua adalah Muhammad bin Ali, dan Imam ketiga adalah Ibrahim bin Muhammad. Usaha seruan ini bukanlah suatu yang mudah kerana ia berlangsung dalam tiga generasi imam, dan merupakan satu proses yang sangat panjang.

Imam Ali bin Abdullah mengetuai gerakan bermula 98 hijrah sebelum disambung oleh anaknya, Imam Muhammad pada 118 hijrah. Kira-kira pada tahun 125 hijrah, generasi ketiga, Imam Ibrahim pula mengetuai gerakan secara rahsia ini.

Tiga tahun selepas Imam Ibrahim mengetuai gerakan secara rahsia, tahun 128 hijrah menjadi saksi pengutusan orang yang bertanggungjawab kepada gerakan secara terang-terangan, iaitu Abu Muslim, yang diutuskan ke bumi Khurasan untuk mengetuai gerakan di sana.

Mungkin ini adalah satu kupasan yang sangat ringkas berkenaan seruan penubuhan daulah baru Abbasiyah. Apa yang menarik berkenaan dakwah Abbasiyah ini, ia terselamat daripada serangan pemerintah khilafah Umaiyah, kerana pemerintah tidak dapat mengenalpasti siapakah sebenarnya ketua gerakan ini. Walaupun begitu, tidak sedikit daie yang terkorban semasa menjalankan gerakan kerana mereka dilihat menentang kerajaan.

Faktor lain adalah syiar ataupun slogan yang digunakan oleh daie Abbasiyah ini mirip dan menyerupai syiar atau slogan yang dibawa oleh penyokong Ali (Alawiyyin) menyebabkan sebarang tindakbalas kerajaan tertumpu kepada penyokong Ali dan tidak mengenai gerakan Abbasiyah. Lebih-lebih lagi, gerakan penyokong Ali adalah secara terbuka, dan gerakan Abbasiyah ini secara tertutup dan tersembunyi.

Kita dapat lihat, apabila gerakan Abbasiyah ini menggunakan slogan ke arah mendapatkan keredhaan Ali Bait Rasul dan mencintai Baginda, pihak pemerintah menyangka bahawa gerakan itu adalah gerakan dari penyokong Ali padahal ia adalah sebaliknya. Lebih menguntungkan, penyokong kuat Saidina Ali turut memberikan respon dan sokongan kepada gerakan Abbassiyah kerana tersalah sangka dengan slogan yang dibawa. Suatu taktik yang sangat berkesan.

Rujukan : Fi Tarikh Daulah Bani Abbas, karangan Dr. Muhammad Ahmad Mahmud Hasbullah, Professor Bahagian Sejarah Islam dan Tamadun, Universiti Al-Azhar, Kuliah Bahasa Arab, Kaherah.

No comments: