Sunday, January 15, 2006

Boikot, Ia Tugas Bersama

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Kalam Editor
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Boikot, Ia Tugas Bersama.

Saya masih ingat satu ketika dahulu, ketika saya berdiri berhadapan dengan kira-kira 35 orang murid darjah 4 di dalam kelas, sempat saya tanyakan satu soalan mudah yang bermotifkan boikot juga, tetapi memilih tujuan mengajar secara amali dalam satu soal jawab. Saya berdiri tinggi di hadapan.


Jika satu hari esok, awak terpaksa membeli ubat gigi yang harganya RM40, tetapi awak pasti ia halal, adakah awak sanggup, atau awak akan membeli ubat gigi yang ada campuran lemak khinzir dengan harga RM2?

Sepakat mereka menjawab kuat, beli yang RM 40 lah, cikgu!

Saya tersenyum mahu menguji lagi. Tetapi ia mahal. Awak sanggup keluarkan duit banyak itu untuk ubat gigi?

Ya. Mereka nampak sepakat lagi.

Tetapi lemak khinzir itu cuma sedikit sahaja. Tak banyak. Cuma setitik sahaja. Boleh tak kalau kita beli sahaja ubat gigi yang berharga RM 2 itu?

Tak boleh, cikgu.

Barangkali, saya ketika itu terkesan amat dengan demam Direct Selling yang menular hingga meratai hampir semua guru yang mengajar di situ. DS tidak salah, tetapi apabila merujuk kepada syarikat yang menaunginya, terang nyata tambah suluhan mentari siang hari, syarikat yang berpangkalan di Amerika dengan ketuanya adalah orang yang berbeza agama dengan saya, saya pasti ia salah.

Terbawa-bawa ke kelas, hingga soalan yang bertujuan mendidik praktikal beragama terbit dari bibir saya. Tidak keberatan saya masukkan dalam bab najis dan cara membersihkannya. Barangkali juga, dalam masa yang sama, DS lain yang ditubuhkan oleh anak watan beragama sama dengan kita juga kedapatan di sekolah itu juga. Mengapa membantu ekonomi bukan Islam? Adakah Islam tiada alternatif?

Saya ke Mesir tahun berikutnya, dan merenung pula realiti Azhari di sini. Rakan sebilik membuat konklusi. Sebotol air gas berharga segenih dan sebotol Mecca Cola berharga berkali ganda daripada itu. Mengapa bukan Islam boleh menurunkan harga hingga ke tahap murah, dan kita kekal di harga lama?

Soalan tentang harga kerap mengingatkan saya kepada anak murid tahun 4. Mungkin tahap akal mereka jauh beza dengan mahasiswa sebijak kita, tetapi saya boleh berbangga dengan jawapan mereka itu. Mereka barangkali lebih bijak daripada kita untuk membuat keputusan seperti ini.

Kempen boikot yang berpunca daripada kezaliman Yahudi terhadap umat Islam mencetus rasa keinsafan – Jangan bantu mereka walaupun dengan satu qirsh. Ya, membeli barangan bukan Islam tidak salah pada mulanya, tetapi apabila sebahagian mereka (Yahudi) menindas orang Islam, kita perlu tergesa-gesa melaksanakan perang ekonomi; boikot barangan mereka.

Ia adalah satu kempen besar, dan perlu dilakukan bersama. Barangkali kita selama ini sudah terlajak langkah, apa salahnya kembali memartabat tugas ini sekali lagi – boikot barangan mereka!

Pemangku Ketua Editor

No comments: