Friday, January 20, 2006

Mewujudkan Kepemimpinan Islam Yang Berkesan dan Berpengaruh

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Ulasan Buku
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Judul Buku : Al-Qiyadah Al-Muassirah
Judul Terjemahan : Mewujudkan Kepemimpinan Islam Yang Berkesan dan Berpengaruh.
Penulis : Jamal Hasan Sa’ad Madhi
Penterjemah : Muhammad Masnur Hamzah
Diulas oleh : P.E

Buku ini bukanlah suatu buku yang asing bagi kita, kerana ia acapkali didiskusikan demi menyatakan; ia salah satu buku yang sangat diminati dan popular. Malah sewajarnya untuk dikatakan, ia mengandungi faedah yang sangat besar kepada pembaca dalam kupasannya mengenai ‘kepimpinan dan kepemimpinan’.

Buku ini secara umumnya ditujukan kepada dua golongan, iaitu kepada pemimpin, dan kepada mereka yang mahu melahirkan pelapis kepimpinan. Sepanjang pembacaan, anda akan menyedari bahawa, ia ‘mendidik’ secara berselang-seli; mendidik anda menjadi seorang pemimpin, dan mendidik anda supaya melahirkan seorang lagi pemimpin.

Buku yang diterjemah daripada bahasa Arab ini mempunyai beberapa keistimewaan selain harganya yang berpatutan. Ia mendapat izin terbit daripada Kerajaan Mesir dan boleh di pasarkan di seluruh dunia. Jamie Hukuk Thab’ie Mahfuzah Lil Muallifah dan mempunyai nombor ISBN-nya yang tersendiri. Apa yang lebih penting, beberapa aplikasi penterjemahan yang standard dipamerkan secara praktikal. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, ia satu bahan contoh penterjemahan.

Penterjemah yang merupakan seorang bangsa Indonesia telah sedaya upaya melakukan pemindahan bahasa, daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Indonesia, sebelum menjadikan terjemahan baku Bahasa Indonesia itu kepada uslub ayat Bahasa Melayu. Pemindahan ini berjaya hampir kepada 80% kesempurnaan, menyebabkan ia masih mudah difahami oleh pembaca Melayu.

Buku ini adalah sebuah buku motivasi. Apa yang istimewa, pengarang telah memasukkan ayat Al-Quran, Hadis, sejarah Nabi dan perlakuan Sahabat sebagai penyokong kepada teknik motivasi yang berkesan. Atau lebih tepat, ia adalah motivasi kepimpinan cara Islam.

Membaca buku ini banyak menyedarkan, bahawa terlalu banyak sifat-sifat kepemimpinan yang hilang daripada kita. Ia sangat baik dibaca oleh semua yang bergelar pemimpin; tetapi apa yang lebih penting adalah meneladani isi kandungannya kerana ia ditulis berdasarkan kepemimpinan Rasulullah s.a.w dan Sahabat r.a. Ia satu petunjuk kepada kepemimpinan Islam.

Namun bukan bererti, ia hanya sesuai dibaca oleh pemimpin semata-mata. Di dalamnya juga menghuraikan, bagaimana ciri-ciri seorang pengikut, cara berkomunikasi sesama mereka; dan lebih penting lagi, ia adalah satu latihan mengenali diri – Siapa kita di sisi pemimpin. Anda patut membacanya, kerana ia menjelaskan perjalanan suatu kepemimpinan dan mengajar kita wasilah-wasilah berkesan dalam hubungan dua hala; pemimpin dan pengikut.

Barangkali, pembacaan yang berkesan dapat diperoleh dengan pembacaan bayangan. Dengan kata lain, membayangkan diri seperti terlibat dalam situasi seperti yang digambarkan oleh pengarang, sama ada anda membayangkan diri anda sebagai pemimpian atau sebagai pengikut. Lalu kaji dan teliti, apakah sikap yang sepatutnya kita ambil ketika berhadapan dengan hal-hal yang sebegitu rupa. Ia juga satu latihan membuat keputusan yang bijak dan menepati cara kepemimpinan Islam.

Bacaan bayangan perlu mematuhi satu kaedah; iaitu belajar menerima ia sebagai satu koreksi dan bersedia untuk mempraktikkannya. Anda akan dapati ia adalah satu buku yang hebat dan mengkagumkan, dan lebih penting lagi, ia mengambil ciri dan teknik kepemimpinan Islam dari Rasul dan para sahabat.

Ganda istimewa, penterjemahan dilakukan dengan tidak mengabaikan beberapa aspek penting termasuk mentakhrij hadis dan matan daripada kitab-kitab turath, penyusunan bab dan pembikinan rajah-rajah penjelas. Ia secara umumnya dibahagi kepada dua bahagian; Kepemimpinan Islam Yang Berkesan Dan Berpengaruh, dan Pemimpin Eksekutif Yang Berkesan Dan Berpengaruh. Buku setebal 112 muka surat ini dijual dengan harga LE 12 dan diedarkan di semua koperasi BKAN dan DPM di seluruh Mesir.

Sekiranya anda seorang pemimpin, anda dididik untuk menjadi seorang kepemimpinan Islam. Dan sekiranya anda seorang pengikut, anda dididik menjadi seorang pengikut yang baik. Anda seorang penasihat dan anda akan mendapati cara terbaik membina pelapis kepemimpinan. Penulis gemar memetik kata-kata penterjemah.

“Di Mesir buku ini menjadi panduan orang-orang yang hebat. Dan sekiranya anda adalah seorang pengarah, pengetua, pemimpin persatuan, ketua jabatan, pengawas tugas, ketua kelompok atau mereka yang bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, maka and sangat perlu membaca buku ini. Kerana buku ini banyak menghuraikan wasilah-wasilah untuk menimbulkan kesan dan pengaruh dalam sesebuah kepemimpinan yang berjaya dan cemerlang. Meskipun demikian, sesiapapun dapat mengambil manfaat daripada buku ini. Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya”

Ingat, ia menghuraikan wasilah @ cara untuk menjadikan sesebuah kepemimpinan itu sangat berkesan dengan cara Islam.

1 comment:

Anonymous said...

Macam mana nak dptkan buku ni? zutrist@yahoo.com