Thursday, January 19, 2006

Boikot, Satu Simbol Kesedaran

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Tumpuan
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Penutup : Boikot, satu simbol kesedaran

Jangan terlalu pesimis dengan boikot, walaupun ia bukan perkara baru bagi kita. Barangkali ia perkara lama, tetapi hakikat sebenarnya, ia masih dijahili sebahagian besar mahasiswa baru. Bukan omongan, bahkan dijahili oleh segelintir senior yang sudah bermukim lama. Pernahkah kita fikirkan, berapa negarakah setakat ini telah melaksanakan boikot? Barangkali, negara kita sendiri belum begitu mengerti dengan istilah seperti ini.

Boikot satu simbol kesedaran. Mereka yang tidak sedar, tidak mahu sedar, pura-pura tidak sedar, akan terus menyumbang kepada Yahudi, Israel, Amerika dan sekutu-sekutunya. Barangkali sebahagian daripada kita, tanpa rasa bersalah masuk ke KFC demi menikmati ayam goreng. Apa masalahnya, kata mereka. Sesekali, bukan?

Itulah nilai kesedaran, dan ia perlu dibayar dengan harga yang mahal. Barangkali semahal sebutir peluru dalam setiap suapan, atau lebih lagi. Boleh sahaja kita memekakkan telinga, membutakan mata, menyahaja langkah masuk dan membayarnya. Di Malaysia saya makan di KFC juga, tegas Si keras kepala. Bapa saya tak marah pun. Dulu kami sambut hari jadi adik di sanalah. Alahai, ustaz saya pun makan kat sana!

Itulah, dan kadang-kadang boleh kebingungan juga untuk memberi kesedaran dalam hal- hal agama.

Boikot dihujahi dengan ilmu, maka kita boleh pastikan, ilmuan patut lebih daripada setuju apabila boikot diutarakan. Ilmuan seperti kita patut lebih sudu dari kuah apabila bertindak – laksanakan boikot tanpa sebarang kecuali. Dan ilmuan, kerana keilmuan itulah nilai yang membezakan umum dan jahil dengan si cendiakawan.

Boikot bukan benda lapuk, kerana setiap kali barangan baru keluar, kita yang bergelar mahasiswa patut kaji asal usulnya. Pengeluarnya. Pemodalnya. Penaungnya. Seterusnya, memaklumkan rakan dan sahabat dengan infomasi terkini. Kadang-kadang barangan boikot bukan benda yang terang-terang haram, tetapi akibat daripada pengeluar yang berpihak kepada kebatilan, ia diboikot juga. Barangkali barang itu hasil tangan orang Islam, tetapi malangnya mereka menyumbang kepada si laknat jahanam.

Boikot tugas kita. Kalau menyandang senjata belum tentu persiapan cukup dan jiwa bersedia, tetapi kerja seperti ini tidak wajar disambut dengan dolak-dalih yang bermacam-macam pula. Terima sahaja dan buktikan kesediaan anda seratus-peratus. Kalau benar kurang mampu, sembilan puluh peratus sebagai permulaan itu sudah dianggap permulaan yang baik. Kalau benar tidak tahu, sekarang anda sudah tahu, bukan?

Begitulah boikot menjadi satu simbol kesedaran. Barangkali, si pekak dan si buta yang memboikot Yahudi dan sekutunya itu, jauh lebih celik dan dengar daripada si jahil dari kalangan kita. Kerana, kesedaran itu mahal harganya.

No comments: