Friday, July 14, 2006

Komentar Kepada Cerpen 'Buah Istikharah'

Majalah : Buletin KERIS
Edisi : 8
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : Ogos 2006
Oleh Mohd Zaki M.Noor

Sebuah kritikan kepada mana-mana cerpen bukan sekadar menilai keburukannya. Sekiranya kritikan hanya mencari kesalahan semata-mata, maka kritikan itu ada yang kurang.

Kritikan cerpen mempunyai banyak sudut dan penilaian. Mencari kekurangan dan juga kelebihan adalah di antaranya. Bahkan, kritikan juga melihat beberapa sudut lain yang perlu kepada pemerhatian, seperti latar masa, latar tempat, watak, tema dan persoalan, logikal cerita, sebab dan musabbab, babakan, ransangan, klimaks dan penyelesaian. Membongkar semua ini, juga sangat penting sebelum kita dapat memahami struktur cerpen dengan lebih detil lagi.

Buah Istikharah karya Amirah mengungkapkan tema istikharah dan kepentingannya. Bahkan silap faham masyarakat yang menujukan istikharah kepada perkara tertentu sahaja. Saya akan katakan, dengan tajuk yang dipilih, seharusnya itulah matlamat dan target penulis sepanjang penulisannya.

Dari sini, kita akan menilai cerpen ini sekali lagi. Adakah seluruh cerpen ini membincangkan 'hanya' mengenai istikharah, atau 'turut' memasukkan benda-benda 'asing' yang bersifat 'tidak membantu penceritaan'. Saya namakan ini sebagai membincangkan tema dan persoalan.

Baca cerpen dari awal. Anda akan dapati cerpen dimulai dengan monolong watak terhadap sesuatu. Kemudian di bahagian cerpen yang kedua memaparkan perbualan watak utama iaitu 'aku' bersama watak sampingan iaitu Kak Fathiah.

Sepanjang pembacaan anda akan mendapati, selain menyentuh tema istikharah, penulis turut membincangkan secara lanjut mengenai sifat-sifat fasilitator yang baik. Maksud saya, menurut penulis, fasilitator bagi sebuah muzakarah berkelompok. Ini adalah tema lain yang penulis masukkan ke dalam karya, selain tema istikharah.

Cerpen bersifat padat. Bahkan kebiasaannya hanya membincangkan satu tema, dan bukan dua tiga. Membincangkan dua tiga tema dalam satu cerpen kadangkala tidak sesuai dan perlu dielakkan, dan kadangkala dibolehkan demi memudahkan kupasan kepada satu-satu tema dilakukan. Namun secara asasnya, satu tema untuk satu cerpen adalah lebih baik.

Persoalannya, dalam cerpen ini, adakah cerita mengenai sifat-sifat fasilitator suatu yang wajar dan dibolehkan, atau ia harus dielakkan kerana langsung tidak membantu penceritaan?

Secara peribadi, saya mewajarkan penulis memasukkan sesuatu selain daripada tema utama, tetapi adalah lebih baik bukan secara 'curah' dan 'tumpah'. Bagi saya, meletakkan ia secara 'selit-selit' adalah lebih baik. Maksudnya, ketika penulis mensyarahkan, mendetilkan, membincangkan tema istikharah, masukkan isi lain secara selit-selit. Sedikit-sedikit. Agar tidak terlalu kelihatan tema lain menguasai cerpen, dan mengalahkan tema istikharah ini. Kerana inilah yang menjadikan cerpen bertumpu kepada satu-satu perkara, secara pemfokusan.

Secara umum, penulis memahami konsep ini dengan baik, dan percubaannya membayangkan kefahamannya tentang konsep satu tema untuk satu cerpen. Namun, ia harus diperkemaskan lagi dan lagi.

Mari meneliti latar masa yang digunakan penulis. Kita akan mendapati penulis benar-benar memahami konsep latar masa yang seharusnya digunakan dalam sesebuah cerpen. Latar masanya pendek, bermula sebelum subuh dan berakhir pada ketika awal pagi. Dalam tempoh latar masa yang tersebut, penulis membincangkan tema ini dengan panjang lebar, memasukkan beberapa ilmu bantu yang menjelaskan. Perhatikan latar masa 'dinihari' di awal cerpen dan suasana watak yang 'kelemasan' dalam membuat pilihan dijelaskan dalam bahagian kedua cerpen, apabila watak 'Kak Fathiah' menyentuh 'aku'.

Sekalipun cerpen ini agak pendek dengan jumlah perkataan tidak sampai 1000 patah, namun memahami konsep ini dengan baik adalah satu kejayaan juga. Mengenai watak pula, watak yang menggunakan kata ganti diri pertama iaitu 'aku' dipilih menjadi watak utama sepanjang cerpen. Beginilah sifat cerpen. Satu watak sudah memadai memonopoli sebuah cerpen, yang bersifat padat dan rencam.

Namun, beberapa kesilapan kecil dilakukan oleh penulis, seperti meletakkan dialog di tengah-tengah perenggan. Dialong harus diasingkan daripada perenggan, diletakkan di para baru secara terpisah. Dialog tidak harus dicantumkan di tengah-tengah perenggan. Yang dibenarkan menemani dialog cuma bahasa badan. Kesilapan ini jelas kelihatan di bahagian awal cerpen, di bahagian tengah cerpen dan di bahagian akhirnya. Dialog kelihatan bercampur gaul tanpa dipisahkan.

Kedua, oleh kerana watak utama adalah 'aku' maka monolog dalaman aku tidak perlu diletakkan pembuka kata dan penutup kata. Pembuka kata dan penutup kata adalah untuk dialog, dan monolog dalaman 'aku' tidak memerlukan pembuka dan penutup kata ini.

Ketiga, adalah mengenai pemakaian huruf besar dan huruf kecil. Huruf besar berada hanya di awal perkataan. Oleh kerana itu, kita akan katakan, huruf besar tidak boleh diletakkan di tengah-tengah perkataan. Dan jika ia terpaksa dilakukan, letakkan tanda ( - ).

Perhatikan perkataan seperti hambaNya seharusnya ditulis sebagai hamba-Nya. Kerana huruf besar tidak diletakkan ditengah-tengah perkataan, melainkan ada tanda ( - ) Lafaz InsyaAllah harus ditulis sebagai insya-Allah.

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan cerpen ini, namun beberapa anjakan perlu dilakukan dan beberapa pembetulan perlu dilaksanakan. Meneliti minda penulis, tema ilmu yang dibincangkan sudah memberikan gambaran kepada kita kematangan penulis ini, dan bukan sekadar kisah cinta yang melalaikan. Tema ilmu seperti inilah harus dijadikan teladan, sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan kita daripada sangkar klise lagi dan lagi.

Untuk penulis saya ucapkan, "selamat menulis!"

No comments: