Wednesday, April 16, 2008

Martabatkan Penulisan

Majalah: SUKEJ
Edisi: 112
Kolum: Untukmu PMRAM
Genre: Artikel Laporan
Terbitan: Mac 2008
Oleh: Mohd Zaki M.Noor

Usaha untuk memartabatkan penulisan, sama ada penulisan kreatif mahupun non kreatif mendapat perhatian yang sewajarnya daripada PMRAM dengan penganjuran Kem Latihan Penulis (KELAP 2007) bermula dengan siri I pada 8 Julai yang lalu dan diteruskan dengan KELAP Kali Kedua pada 2 dan 3 Februari 2008 yang lalu. Kepentingan penulisan sebagai satu alat penyampai semakin diterima dan disedari, apatah lagi dengan sambutan yang boleh dikira sangat memberansangkan pada kedua-dua penganjuran program tersebut - hampir 90 hadirin pada KELAP Pertama dan 70 orang pada KELAP Kedua.

Kedua-dua siri KELAP ini telah diadakan di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin dengan tumpuan diberikan kepada penulisan kreatif (KELAP Pertama) dan Penulisan Artikel (KELAP Kedua). Program ini bukan saja mendapat perhatian berpuluh-puluh peserta, tetapi turut memancing perhatian Presiden PMRAM sendiri, Ustaz Hairul Nizam Mat Husin untuk merasmikan program tersebut.

Usaha PMRAM ini juga mendapat perhatian dan bantuan daripada Mohd Nazmi Yaakub, seorang wartawan sastera di Berita Harian yang turut serta secara online melalui perkhidmatan Yahoo Mesengger. Dalam KELAP Pertama, satu slot khas bersama beliau secara maya diaturkan untuk mendapatkan beberapa maklumat, pendapat, cadangan dan teguran terutamanya mengenai penulisan kreatif. Turut bersama beliau ketika itu S.M. Zakir yang merupakan Setiausaha Agung PENA, turut memberikan buah fikir dan kepentingan penulisan kreatif di tanah air. Manakala pada KELAP Kedua, satu slot khas bersama dengan Timbalan Setiausaha Agung PENA, untuk perbengkelan sajak.

PENA adalah singkatan kepada Persatuan Penulis Nasional, di tanah air.

KELAP Pertama merupakan program anjuran BPP PMRAM yang dirancang dengan gabungan dua pengisian yang dicatu bersama; iaitu pembentangan mengenai penulisan kreatif dan dituruti pula oleh bengkel. Slot ‘mengapa perlu menulis dan mengapa perlu kreatif’ disampaikan oleh Saudara Hisyam Mohamad, slot ‘komponen cerpen’ disampaikan oleh Saudari Khadijah @ Sammatuha Najwa, dituruti oleh slot ‘nilai kreatif dalam sastera kreatif’ yang disampaikan oleh Saudara Mohd Zaki M.Noor. Slot sumbang saran mengenai aktiviti penulisan kreatif turut mendapat pelbagai cadangan termasuk mewujudkan perpustakaan kreatif mini, melibatkan pengumpulan bahan-bahan bacaan kreatif yang bermutu.

Bengkel yang bermula selepas Zohor menyaksikan sambutan yang diterima semakin hangat dengan jumlah hadirin yang semakin bertambah. 10 cerpen dan dua sajak dibengkelkan oleh 4 orang moderator termasuk Saudari Saidah Salim daripada Iskandariah. Walaupun program ini boleh dikira agak panjang, namun komitmen yang diterima termasuk daripada BPP PMRAM sendiri, Ustaz Muiz, amat membanggakan dengan hampir semua yang hadir terus setia mengikuti majlis hingga ke akhirnya.

KELAP Kali Kedua pula mempersembahkan pembentangan penulisan artikel oleh BPP PMRAM sendiri, juga pembentangan desainer dan diskusi antologi

KELAP yang merupakan sebuah program pendedahan penulisan dan bengkel merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh PMRAM demi membina generasi penulis yang berterusan di Mesir ini. Ia wajar dianggap sebagai satu wadah dan lapangan untuk penulis-penulis baru berkongsi pengalaman, pendapat dan mengutarakan permasalahan berkaitan dengan penulisan. KELAP boleh dianggap sebagai medan dan pentas bagi memupuk kemahiran menulis bagi calon-calon penulis.

PMRAM mengorak selangkah ke hadapan dengan mengumpulkan penulis-penulis baru yang menyertai KELAP ini dengan mewujudkan keahlian KELAP, demi memantau dan menyebarkan maklumat-maklumat berterusan mengenai aktiviti-aktiviti KELAP di masa akan datang, seperti bengkel, konferens, antologi dan sebagainya. Peluang KELAP untuk mengadakan usaha sama bersama beberapa Badan-Badan Penulisan di Malaysia kelihatan semakin cerah. Ini terbukti dengan pelawaan daripada Nazmi Yaakub kepada KELAP untuk turut serta dengan majlis bicara ilmu, dengan tajuk, ‘Iqbal: Sasterawan dan Pemikir Agung Islam’.

BPP PMRAM juga mengolak langkah mewujudkan e-mel KELAP demi memudahkan sebarang urusan dan hubungan berkaitan KELAP. E-mel tersebut adalah kelap_pmram@yahoo.com. Blog khas untuk KELAP turut dibina demi memaparkan aktiviti yang dirancang untuk KELAP dari masa ke semasa. Laman itu boleh dilawati di alamat http://kelappmram.blogspot.com.

Beberapa cadangan yang menarik boleh diperhatikan semasa program ini. Cadangan seperti mengumpulkan RM 1500 atau USD 500 dolar sebagai target dana penerbitan harus dilihat sebagai positif demi menggalakkan lagi minat siswa dan siswi kepada penulisan.

Apa yang diharapkan kepada semua peserta KELAP adalah untuk membuktikan program ini tidak menjadi sia-sia dengan usaha-usaha lanjutan, mula menulis dan menghasilkan karya. Alangkah sayangnya sekiranya program PMRAM yang menelan belanja yang agak besar ini tidak dimanfaatkan dan pengisiannya tidak dipraktikkan dengan penghasilan karya daripada peserta. Malah, sumbangan balas daripada peserta kepada PMRAM adalah amat-amat dialu-alukan dengan bahan-bahan yang ditulis untuk diterbitkan.

KELAP anjuran BPP PMRAM ini harus dihargai dan kewujudannya harus didokongi, kerana ia adalah langkah-langkah pertama dalam mewujudkan generasi penulis yang berterusan di sini. Namun, penulis bukan lahir daripada program tetapi lahir daripada keinginan yang tak pernah padam. Peluang dan ruang bagi penulisan terutamanya penulisan kreatif sangat luas dan menjanjikan, baik di sini lebih-lebih lagi di tanah air.

Tuesday, April 15, 2008

Kita Dan Nas

Majalah: SUKEJ
Edisi: 112
Kolum: Kalam Editor
Genre: Artikel
Terbitan: Mac 2008
Oleh: Editor SUKEJ

Setiap pengurusan dan pentadbiran mempunyai manhaj tersendiri dalam melakukan tugas. Dalam apa bidang dan kelompok sekalipun, mempunyakan manhaj tersendiri bukan saja perlu untuk membentuk identiti, tetapi penting untuk menentukan arus dan perjalanan agar berjalan secara baik dan tersusun.

Begitu juga yang berjalan dalam pentadbiran seperti Sukej selama ini. Kami telah menentukan sekurang-kurangnya tiga manhaj utama dalam pembikinan tajuk tumpuan. Manhaj yang kalau boleh dinamakan sebagai manhaj temuramah, manhaj terjemah, dan manhaj isu dan persoalan.

Sejak sekian lama, dan barangkali hampir dijahili sejak bila, isu dan persoalan mendominasi tajuk-tajuk tumpuan bukan saja Sukej bahkan hampir semua suara kampus yang berada di Mesir. Sukej juga tidak berkecuali. Namun sejak edisi 108 dengan tajuk Israeliyat menggunakan manhaj temuramah dan kali ini, edisi 112 dengan tajuk Dhowabit Fahmi n-Nass menggunakan manhaj terjemah, Sukej membawakan sesuatu yang berlainan dengan sebelumnya.

Edisi kali ini atau dengan nama Melayunya; Kaedah-Kaedah Pemahaman Nas adalah tajuk yang membincangkan secara mendalam mengenai basic-basic penting dalam pemahaman nas. Nas yang dimaksudkan adalah umum meliputi ayat al-Quran, hadis, dan segala yang berkait rapat dalam pemahaman hukum. Nas menjadi dasar penting dan akar utama dalam terbit timbul hukum, tetapi semua itu haruslah dipandu dan diarahkan dengan kaedah-kaedah pemahaman yang betul dan seimbang.

Ad-Deen dengan sifatnya yang fleksibel mengambil wasatiah bukan menuju kepada tasahul atau tasyaddud. Namun, sikap sebilangan mereka yang cenderung dan condong kepada mana-mana salah satu daripada keduanya sering membikin ribut, hingga masuk mengganggu dan merusuh dalam setiap bidang tak terkecuali agama kita yang tercinta. Sebetulnya kaedah ini bukan saja menunjukkan kaedah dalam memahami nas, tetapi sebagai satu guide kepada pembentukan diri kita sendiri.

Apabila berdepan dengan sesuatu nas, bagaimanakah harus kita bersikap, hingga dengan sikap itu kita tidak mengarahkan nas agar hanya bersesuaian dengan nafsu, tetapi selaras dengan makna dan maksud yang dikehendaki Islam. Apabila kita mendepani nas, bagaimanakah harus kita memberikan tanggapan dan pemahaman agar pemahaman kita selari dengan pemahaman yang dikehendaki nas.

Friday, February 15, 2008

Feed Dalam Blog, Web Dan E-mel

Majalah: SUKEJ
Edisi: 111
Kolum: Rungan IT
Genre: Artikel
Terbitan: Ogos 2007
Feed dalam blog, web dan e-mel.
Oleh Mohd Zaki M.Noor

Kewujudan jurnalis (blogger) di Mesir semakin berkembang biak. Terutamanya penggendali blogspot. Ruangan IT akan membawa anda kepada beberapa perkara yang menarik di dalam blogspot, dan daripada beberapa laman lain yang ada kaitan dengan feed. Semenjak 10 November 2006, blogger telah menaiktaraf blog daripada beta kepada new blogger, dan memuatkan satu sistem baru yang memudahkan anda untuk menambah feed ke dalam blog.

Katakan anda mempunyai blog, dan anda seorang yang suka membaca. Kawan anda; Ahmad, Ali, Abu, Nizam, Saleh, kelima-limanya mempunyai blog. Oleh kerana itu, setiap hari anda akan membuka kelima-lima blog mereka dan membacanya. Tetapi, mereka tidak mengemaskini entri mereka setiap hari. Ada yang agak kerap, dan ada yang jarang-jarang. Jadi, adakalanya apabila membuka blog mereka, anda dapati tiada entri baru, dan adakalanya ada. Ada masanya pula, anda tak perasan ada entri baru dan terlewat membacanya.

Tak bolehkah apabila mereka membuat entri, lantas anda mengetahuinya, walaupun tanpa perlu membuka blog mereka?

Penulis mahu memperkenalkan sistem feed yang ada dalam blogger. Dengan mengambil feednya, anda akan mendapati bahawa, setiap kali mereka membuat entri baru, tajuk entri itu akan muncul di blog anda. Kelima-limanya. Bagaimanakah caranya supaya anda dapat meletakkan feed blog mereka di blog anda, dan secara automatik, apabila mereka membuat entri, tajuk entri akan muncul di blog anda?

Pergi ke Template – Page element. Klikkan pada [add page element ] dan pilih [feed] Katakan blog Ahmad adalah [http://ahmad.blogspot.com], maka masukkan feed url sebagai [http://ahmad.blogspot.com/atom.xml]. Anda perlu menambah atom dot xml di belakang nama blog ahmad. Teruskan ke langkah seterusnya. Anda akan dapati blog anda sudah memiliki tajuk-tajuk entri yang ada di blog Ahmad. Lakukan langkah yang sama untuk baki empat blog yang lain, dan hasilnya akan muncul benar-benar di depan mata anda.
Dengan ini, setiap kali Ahmad membuat posting dan entri, tajuk entrinya akan terpapar di blog anda secara automatik.

Dengan ini, anda takkan terlepas lagi membaca entrinya, dan anda juga tidak perlu pergi dari satu blog ke satu blog untuk mengetahui ada entri baru atau tidak. Hanya apabila anda menyedari ada tajuk baru muncul di ruangan feed yang anda tambah tadi, barulah anda melawat blog mereka.

Tidak semua web dan blog mempunyai feed. Kebiasaannya web-web berita mempunyai feed. Setting default untuk blogger juga membenarkan feed, seperti yang penulis terangkan tadi. Kalau anda memasukkan feed dari Berita Harian (contohnya seperti bahagian Berita Dunia - http://www.bharian.com.my/m/BHarian/RSS/rss?mysec=Dunia), maka setiap hari tajuk-tajuk berita akan muncul di blog anda.

Akan tetapi, cara yang ditunjukkan di atas menghadkan kepada lima tajuk feed sahaja. Bermakna, hanya 5 tajuk berita saja akan muncul. Sekiranya anda mengambil feed daripada Berita Harian contohnya, maka banyak lagi berita yang tercicir, kerana penghadan yang dilakukan oleh blogger kepada lima. Sesetengah orang mahukan seberapa banyak tajuk berita muncul di blog mereka.

Antara cara yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan laman-laman tertentu, seperti www.tickermyfeed.com di mana laman ini menolong anda menciptakan feed untuk laman yang anda kehendaki. Caranya, adalah dengan memasukkan url feed Berita Harian ke ruangan url, dan mengklik generate code. Anda akan mendapat kod yang dihasilkan oleh blog ini. Ambil kod tersebut dan tampalkan ke blog anda dengan cara pergi ke Add Page Element, pilih HTML/Java Script dan tampalkan kod yang anda dapati tadi.

Ada banyak lagi cara untuk anda mengesani entri-entri baru daripada blog-blog sahabat anda tadi. Bahkan cara yang saya akan perkenalkan ini lebih istimewa kerana ia bagaikan menghimpunkan semua entri daripada semua blog yang anda tambah (add). Katakan anda mahukan feed daripada 10 orang, maka, semua tajuk entri dari 10 orang itu akan muncul. Sebenarnya bukan saja tajuk entri, tetapi isi entri sepenuhnya. Entri-entri yang anda belum baca akan bertanda ‘unread’, dan entri yang sudah dibaca bertanda ‘read’. Perkhidmatan yang saya maksudkan adalah Google Reader.

Google Reader adalah satu perkhidmatan di bawah Google. Mulakan dengan mendaftar di alamat (http://www.google.com/reader). Setelah proses mendaftar siap dilakukan, barulah anda boleh menambah feed daripada web dan blog yang anda kehendaki. Klik tambahkan subscription (add subscription) dan memasukkan url di situ. Contohnya, masukkan (http://ahmad.blogspot.com), atau masukkan url daripada aljazeera (http://www.aljazeera.net/Portal/RSS/RSS-Portal.xml) dan semua tajuk entri Ahmad dan tajuk-tajuk entri aljazeera muncul di situ. Bahkan anda boleh membaca isi entri secara penuh. (Nama Ahmad dan blognya adalah rekaan saya) Dengan ini, anda bukan saja tidak perlu membuka dari satu blog ke satu blog yang lain, bahkan anda tidak akan keciciran walau satu entri yang ditulis sahabat anda, walaupun terlewat membacanya.

Sekiranya anda mempunyai e-mel Gmail di http://gmail.com, anda juga boleh memaparkan tajuk entri dari blog dan web ketika sedang membaca e-mel. Cuma pemaparan tajuk entri adalah secara rawak, dan cuma satu entri pada satu kali papar. Ia muncul di bahagian atas inbox anda. Sekiranya anda memiliki e-mel Gmail, pergi ke bahagian setting di bahagian atas kanan, kemudian pergi ke tad [web clips]. Di situ secara automastik telah dimasukkan beberapa feed daripada beberapa laman. Anda boleh membuang semuanya, dengan mengklik remove.

Untuk menambah feed anda sendiri, pergi ke ruangan [Search by topic or URL] dan masukkan alamat feed. Contohnya, (http://ahmad.blogspot.com/atom.xml). Kemudian klik search. Kemudian klik add. Dengan begitu, anda telah dapat menambah feed blog Ahmad ke dalam e-mel Gmail anda. Tajuk-tajuk entri Ahmad akan dipaparkan di bahagian atas inbox secara rawak, dan akan bertukar-tukar setiap kali e-mel anda refresh, atau membuka lain-lain fungsi dalam e-mel Gmail.

Semoga perkongsian terhad ini memberikan faedah kepada semua pembaca dalam mengenali feed di dalam blog, web dan e-mel. Selamat mencuba.