Showing posts with label Al-Basirah. Show all posts
Showing posts with label Al-Basirah. Show all posts

Friday, December 02, 2005

Rapat BKPJM

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Rapat BKPJM

HAYYU THAMIN 1 Ogos 2004- Majoriti ahli mendesak Badan Anak Johor supaya persatuan ‘serpihan’ itu dibubarkan, dalam Mesyuarat Agung Khas, satu slot daripada program ' Rapat BKPJM ' di Dewan Ibn Sina, Rumah Johor, yang telah dirasmikan oleh Presiden PMRAM sesi 2004/2005, Tuan Haji Tuan Haron bin Tuan Cob. Suasana majlis menjadi hangat dengan asakan bertubi-tubi daripada ahli kerana badan tersebut dilihat memberikan impak kepada perpecahan di kalangan ahli.

Program yang merupakan gabungan 3 program mega, iaitu Sesi Dialog bersama Pengarah JPMK, Hiwar BKPJM dan Mesyuarat Agung Khas, turut menyaksikan kehadiran Tuan Pengarah JPMK sendiri, Tuan Haji Wan Bakar bin Wan Dagang, serta beberapa Badan Pengurus PMRAM. Antaranya Presiden PMRAM sendiri, Tuan Haji Tuan Haron bin Tuan Cob, Timbalan Presiden 1, Ustaz Khairul Nizam Mat Hussin, Bendahari Kehormat, Faizul Hakim bin Ahmad, dan Ketua Badan Kebajikan dan Tabung Derma, Ustaz Hafiz Mansur.

Kesemua AJKT dan HEWI hadir kecuali Ustaz Lokmanul Hakim Abdul Rahman, Ustaz Hairi Hamzah dan Ustazah Azwina Zainol Abidin yang pulang ke Malaysia, namun majlis tetap hangat dan meriah. Kehadiran ahli amat menggalakkan sehingga melebihi sasaran dua pertiga yang ditetapkan, dengan 141 orang, membolehkan keputusan pengundian semasa Mesyuarat Agung Khas untuk diluluskan.

Mantan BPP PMRAM, Ustaz Rosdi Ramli mempengerusikan majlis dengan agenda yang pertama, iaitu Majlis Perasmian pada pukul 10.15 pagi, setelah pendaftaran mula dibuka sejak 9.30 pagi. Program bermula dengan ucapan daripada Pengarah Program, Ustaz Abdul Halim Hafiz, disambung pula dengan ucapan daripada Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Khalid bin Salikan sebelum memberi ruang kepada Presiden PMRAM menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan program tersebut.

Kedatangan Pengarah JPMK pada jam 10.50 pagi menyaksikan bahawa agenda kedua sudah hampir bermula. Majlis diteruskan dengan Tuan YDP BKPJM sendiri telah menjadi pengerusi dalam majlis Dialog Bersama Pengarah JPMK. Sesi Dialog dimulakan dengan penerangan ringkas oleh Tuan Pengarah sendiri tentang rasional berdaftar dengan Kedutaan, disamping membentangkan kronologi arahan berdaftar daripada pihak Kedutaan. Setelah sesi dialog dibuka, banyak persoalan yang menarik dapat dilihat telah dilontarkan oleh ahli kepada pihak Jabatan Penuntut. Antaranya isu penaung, isu niqab, isu BAJ, isu pendaftaran dengan syuun ijtimaie, isu zakat dan pinjaman, isu bernaung di bawah PMRAM, dan isu rumah negeri.

Setelah selesai solat Zuhur dan makan tengahari, agenda ketiga, iaitu Hiwar bersama Exco BKPJM diadakan sehingga menjelang waktu asar. Sambutan ahli agak hambar, walaupun terdapat banyak persoalan yang ditimbulkan. Antaranya, persoalan tentang BCC , PMHK, bowling, ikhtilat daripada interkom, SUKEJ yang kurang aktif, syarat menjadi penulis SUKEJ, dan gelanggang takraw. Ahli turut mempersoalkan sumber kewangan Badan, sumber kewangan tabung derma, siapa penerima, masalah syiah, akhawat balik lewat, ‘mandi minyak wangi’, lewat maklum pelaksanaan program, dan banyak lagi isu yang ditimbulkan.

Agenda kemuncak iaitu Mesyuarat Agung Khas dimulakan tepat jam 5.45 petang, membincangkan satu usul yang dibawa oleh AJKT BKPJM, iaitu Pendaftaran BKPJM kepada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang membawa kepada penambahan penaung. Suasana kembali rancak dan panas dengan hujah menyokong hanya melebihi satu cadangan berbanding hujah menentang.

Antara hujah-hujah yang menyokong ialah menjaga kebajikan ahli, sekatan zakat dapat dilepaskan, negeri-negeri yang telah berdaftar tiada bermasalah dan dapat mempertahankan rumah Johor. Namun penghujah meletakkan beberapa syarat jaminan sebelum BKPJM didaftarkan, antaranya desakan agar BAJ dibubarkan. Hujah-hujah menentang pula antaranya sejarah terdahulu menjadi bukti, sifat maddiyah, kewajipan hanya mendaftarkan individu bukan persatuan, ikhtilat, dan tiadanya kuasa Kedutaan melepaskan mereka yang ditangkap Amin Daulah.

Hasil pengundian menyaksikan terdapat dua undi rosak dengan 1.75 peratus, 39 menentang pendaftaran dengan 34.21 peratus, dan 73 menyokong pendaftaran dengan 64.03 peratus. Semua ahli yang hadir telah mengundi kecuali AJKT dan HEWI BKPJM. Dengan itu, majoriti ahli telah bersetuju untuk berdaftar, dan usaha seterusnya akan diteruskan oleh kepimpinan BKPJM.

Thursday, December 01, 2005

Petikan Kata

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : -
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

" Dukacita atas taklifan yang diberi. Mudah-mudahan di sana ada nusrah daripada Allah. Di ruang waktu yang serba ringkas ini carilah kepimpinan yang mampu meneraju halatuju mahasiswa agar berbahagia di dunia dan di akhirat"

Ustaz Nazar Misran, calon tunggal YDP BKPJM bagi sesi 2004/2005 diumumkan menang tanpa bertanding kerana gagal mendapat sebarang tentangan.

Malam Pengumuman Calon AJKT BKPJM dan HEWI BKPJM sesi 2004/2005

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Malam Pengumuman Calon AJKT BKPJM dan HEWI BKPJM sesi 2004/2005

HAYYU THAMIN – 28 September 2004: Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir menjadi tumpuan ahli sekali lagi dengan pengumuman penuh sejarah calon-calon AJKT dan AJK HEWI bagi sesi 2004/2005. Majlis yang dimulakan tepat jam 9.35 malam dipengerusikan oleh Ustaz Khairul Anuar Daud sebagai pengerusi majlis sebelum majlis diserahkan kepada Pengarah SPR, Ustaz Mohd Jupri Ngadinon untuk membuat pengumuman pada jam 9.50 malam. Malam penuh sejarah itu menyaksikan calon YDP BKPJM, Ustaz Nazar Misran tidak mendapat sebarang tentangan dan diisytiharkan menang tanpa bertanding.3 Calon AJKT sesi kini bertanding semula sambil dicabar oleh 9 calon baru dan satu mantan AJKT sesi sebelumnya. Saudara Mohamad Fairuz Tamjis, Saudara Azman Shaa'ri dan Saudara Muhamad Hairi Hamzah yang cuba mempertahankan kerusi mendapat cabaran sengit daripada calon baru yang terdiri daripada Saudara Hafiz Noramli Halimi, Saudara Mohammad Firdaus Sulaiman, Saudara Mohd Azhari Gerto, Saudara Omar Zakir Ahmad, Saudara Ahmad Saufi Mustafa, Saudara Mohd Yazid Pardi, Saudara Mohd Abdul Ghani Mohd Noor, Saudara Musa Musni, Saudara Mohd Fakhrurrazi Mohd Subari dan Saudara Mohd Norden Abdullah.

Di pihak akhawat suasana agak suram dengan kesemua calon menang tanpa bertanding. Kerusi Ketua HEWI disandang oleh Saudari Noorul Hidayah Neemat manakala AJK HEWI menyaksikan ramai muka baru berganding mantap dengan beberapa muka lama. Calon AJK HEWI iaitu Saudari Nurunna'im Ahmad Tabrani, Saudari Fatimah Az-Zahra Ab. Rahman, Saudari Dian Ariany Jamil, Saudari Siti Raudah Mohamad, Saudari Mardiana Ismail, Saudari Nursara Yaacob, Saudari Saliza Jamil dan Saudari Azliza Jusoh.

Sesi taarruf bersama calon yang berlangsung selama 25 minit berjalan dengan lancar. Tepat jam 10.30 malam, majlis diserahkan semula kepada Pengarah SPR untuk mengumumkan maklumat berkenaan pengundian; rabu, 6 Oktober 2004, bertempat di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin. Pengundian yang dijangka berlangsung selama tiga jam akan diadakan di Syaqqah 8 bagi ikhwah dan Syaqqah 5 bagi akhawat. Semua ahli dijemput hadir bagi melaksanakan kewajipan masing-masing. Kempen boleh diadakan secara aman dan terkawal tanpa memburukkan mana-mana calon.

Wednesday, November 30, 2005

Wawancara 4

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Wawancara 4
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Wawancara dikendalikan oleh saudara Mohd Zaki M. Noor dan saudara Hafiz Nor Amli Halimi, wartawan Al-Basirah 2004, bertempat di Pejabat BKPJM, pada hari Jumaat, 23 Julai 2004, jam 10 malam. Wawancara ekslusif ini dibuat untuk edisi sebelum Mesyuarat Agung Khas.

Biodata Tokoh: Nama, Mohd Khalid Bin Salekan, berasal daripada Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, Kluang, Johor Darul Ta'zim, Kuliah Lughah Arabiah Tahun Empat, Kaherah, pendidikan awal dalam bidang arab di Sekolah Menengah Arabiah Tampuk, Benut, Pontian, Johor, kemudian melanjutkan pelajaran ke Maahad Pontian, Parit Masjid, seterusnya ke Madrasah Tarbiah Mardhiah, Panchor, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan, Seterusnya ke Universiti al-Azhar, Mesir. Pengalaman berpersatuan, dalam PMRAM pernah diamanahkan sebagai Ketua Kebajikan Dan Tabung Derma, dan dalam BKPJM pernah ditaklifkan sebagai Ketua Unit Kebajikan dan Kutub Khanah (UKKK), Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan (UPB), Yang Dipertua (YDP) dan Penasihat.

Tetamu Kehormat Dalam Sesi Ramah Mesra Bersama Exco BKPJM, Rombongan Kerajaan Negeri diketuai oleh YB Zainal Abidin bin Othman, Exco Agama Kerajaan Negeri Johor, seterusnya Dato' Omar bin Awab, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), seterusnya KPP Bahagian Pendidikan Majlis Agama Islam, Ustaz Anuar Sarimin, seterusnya KPP Bahagian Baitul Mal Zakat, Ustaz Ramli bin Jusoh, seterusnya Pegawai Am YPJ, Ustaz Zeen bin Watak, juga Encik Omar bin Ali, Pembantu Am (PA) Setiausaha Sulit Bagi Yang Berhormat YB Zainal.

Wartawan Al-Basirah ( WB’04 ) : Bismillahirrahmanirrahim, pertamanya terima kasih kepada Ustaz Khalid kerana sudi ditemuramah pada malam ini. Kami mengharapkan kerjasama yang diberikan ini akan memberi manfaat kepada kita bersama. Assalamulaikum Ustaz.

USTAZ KHALID ( YDP BKPJM ) : Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim, pertamanya, terlebih dahulu ana kira ada baiknya kita mulakan dengan sama-sama membaca al-Fatihah.

WB’04 : Pertamanya, semalam ( 22 Julai 2004 ) kita telah didatangi oleh wakil daripada kerajaan negeri Johor dan wakil daripada Yayasan Pelajaran Johor. Bolehkah ustaz terangkan serba sedikit tentang isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan ramah mesra bersama exco-exco

YDP : Ada beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat ataupn perjumpaan diantara Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) BKPJM bersama dengan exco kerajaan negeri, YB Zainal sendiri. Perkara yang paling utama ialah berhubungkait dengan pendaftaran BKPJM itu sendiri kepada Kedutaan. Lain-lain perkara ada juga disentuh, contohnya tentang zakat sedikit sebanyak, tentang YPJ, tetapi perkara itu hanya sekadar disebut, namun tidak dibincangkan secara meluas. Tetapi secara khususnya, majlis tersebut hanya membincangkan tentang pendaftaran sahaja.

WB’04 : Bagaimanakah hubungan BKPJM dengan kerajaan negeri?

YDP : Setakat ini, seperti yang sedia maklum, hubungan kita masih seperti dahulu dan berada dalam keadaan yang baik. Hubungan baik dan tiada masalah. Sebab itulah mereka bersedia untuk berjumpa dengan kita, datang ke rumah Johor dan juga berjumpa dengan AJKT BKPJM. Benda ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pihak kerajaan negeri memperakukan mengiktiraf kewujudan BKPJM sendiri. Lebih daripada itu kalau kita lihat, ada orang mengatakan zakat disekat kerana BKPJM tidak berdaftar. Walaupun kita tidak mendapat sebarang hitam putih, makluman dan sebagainya, tetapi pihak Nadi UMNO sendiri telah pun menyenaraikan nama-nama yang berada di bawah Nadi UMNO untuk memperolehi zakat. Tetapi mereka yang berdaftar di bawah Nadi UMNO sendiri pun tidak menerima bantuan tersebut atas nama Nadi UMNO.

WB’04 : Maknanya mereka yang mendakwa dapat pun tidak menerima bantuan itu lagi?

YDP : Tiada siapa yang dapat sekarang ini.

WB’04 : Maknanya kerajaan negeri masih memberikan komitmen yang baik dengan BKPJM?

YDP : Ya, setakat ini begitulah.

WB’04 : Apakah langkah-langkah ataupun tindakan yang akan diambil oleh BKPJM selepas ini berhubung dengan masalah pendaftaran ini? Adakah BKPJM akan mendaftar?

YDP : Berhubung dengan masalah pendaftaran, setakat ini, kita baru sahaja (semalam) mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri, jadi sekarang ini kita masih perlu kepada perbincangan yang lebih khusus, dan lebih detail bersama mereka yang terlibat. Antaranya Lembaga Penasihat, AJKT sendiri, barulah kita boleh mengambil satu kata putus yang mantap ataupun kita boleh mematangkan perbincangan tersebut. Sekarang ini kita hanya menerima maklumat-maklumat, rasional-rasional, reason-reason daripada pihak kerajaan negeri kenapa kita perlu berdaftar, jadi sekarang ini perbincangan secara lumat, matang kita belum buat lagi, kita menunggu sehari dua ini.

WB’04 : Mesyuarat Agung?

YDP : Saya rasa tak perlu Mesyuarat Agung, tunggu sehari dua ini sehingga keadaan sesuai. AJKT semua bersedia, penasihat semua bersedia untuk berbincang masalah ini secara detail.

WB’04 : Maknanya, adakah (hal ini) tidak dibawa ke Mesyuarat Agung untuk dibincangkan bersama ahli?

YDP : Perlu disebut, Mesyuarat Agung adalah salah satu pentas atau ruangan untuk membincangkan perkara besar seperti ini. Tetapi disamping Mesyuarat Agung ada banyak lagi ruangan, contohnya melalui Mesyuarat Agung Tergempar, ataupun melalui Hiwar dan sebagainya. Jadi perkara ini boleh dibincangkan dari masa ke semasa. Cuma, oleh kerana masalah pendaftaran masalah yang menyentuh tentang Undang-Undang Tubuh BKPJM itu sendiri. Apabila menyentuh Undang-Undang Tubuh BKPJM, maka ia adalah hak dua pertiga ahli BKPJM. Dengan erti kata, hanya boleh ditukar melalui dua cara. Sama ada Mesyuarat Agung Biasa ataupun Mesyuarat Agung Tergempar. Maknanya kalau hendak ubah sesuatu perlulah dalam Mesyuarat Agung.

WB’04 : Dengan kedatangan wakil kerajaan negeri dan YPJ, adakah BKPJM mendapat sebarang sumbangan daripada pertemuan kali ini?

YDP : Setakat ini kita menerima sumbangan berbentuk cek ataupun bankdraf bernilai sepuluh ribu ringgit Malaysia, yang telah diluluskan sebelum mereka berangkat ke Mesir lagi sebenarnya. Ana telah mengajukan permohonan secara bertulis kepada YPJ sebanyak sepuluh ribu untuk operasi baik pulih kerosakan-kerosakan serius di Rumah Johor khususnya. Setakat ini itu sahaja.

WB’04 : Berkenaan dengan zakat, ada perkembangan atau maklumat terkini?

YDP : Setakat ini, zakat kita tiada makluman lagi, dan kita masih mencari ruang untuk bertemu dengan al-Fadhil Ustaz Ramli bin Jusoh selaku KPP bahagian zakat dan Baitul Mal untuk dia menjelaskan kepada kita perkara yang sebenar.

WB’04 : Bagaimana dengan pinjaman ( YPJ ) pula?

YDP : Pinjaman YPJ pun, Pengurus Besar YPJ sendiri Dato' Omar Awab, dia Cuma berkata benda ini perlu dibincangkan semula, dan setakat ini ana katakan tidak ada jaminan untuk ahli-ahli BKPJM walaupun mendaftar, walaupun tidak mendaftar, mendapat kedua-dua tersebut, zakat dan juga pinjaman.

WB’04 : Adakah kemungkinan pelajar-pelajar daripada tahun Satu hingga Tahun Empat untuk mendapat bantuan zakat atau pinjaman selepas daripada ini?

YDP : Ana kira kemungkinan itu ada, Cuma jaminan itu tidak ada. Kemungkinan ada, barangkali selepas mendaftar contohnya, faedah yang mungkin kita dapat dibuka semua pinjaman atau sebagainya. Tetapi jaminan tidak ada, dan kita akan mengkaji secara lumat perkara ini, akan merujuk kepada pihak yang berkenaan supaya perkara ini( pendaftaran ini) menjadi sesuatu yang berbaloi untuk kita. Kalau dengan mendaftar dengan tidak mendaftar sama sahaja daripada segi faedah, hasil dan sebagainya, baik kita tidak payah mendaftar. Jadi begitulah keadaannya.

WB’04 : Sepanjang penglibatan ustaz dalam BKPJM ini, apakah masalah-masalah yang melanda persatuan kita ini?

YDP : Ana rasa penglibatan ana dalam BKPJM ini sudah terlalu lama, sebagai AJK biasa, sebagai exco, sebagai YDP yang terakhir ini, jadi banyaklah masalah yang ana terima, masalah bersama ahli, masalah bersama dengan Kedutaan, masalah-masalah tertentu bersama kerajaan negeri, sesama AJKT pun tidak dinafikan kadang-kadang berlaku masalah dalaman secara pentadbiran. Jadi, masalah apa yang hendak ditanyakan secara terperinci?

WB’04 : Boleh huraikan sedikit masalah dengan ahli ?

YDP : Berhubung dengan masalah ahli ini, maklumlah ahli, kita ini manusia, punyai pemikiran yang bermacam-macam, punyai idealisme yang pelbagai, jadi masalah itu banyak. Ada yang terlampau fanatik dengan fahaman-fahaman politik tertentu, maka kita terpaksa mengambil jalan yang pertengahan, supaya tidak ada pihak yang berkecil hati dan sebagainya. Begitulah pendirian BKPJM selama ini pun, bukan pendekatan politik yang kami ambil, tetapi pendekatan berbentuk kebajikan sahaja. Barangkali ada yang cenderung ke 'sebelah sana', 'sebelah sini' dan sebagainya, jadi apabila kita ambil pendekatan yang paling pertengahan, maka setakat ini (persatuan kita) masih boleh terpelihara, dari segi kemakmuran, kehidupan mahasiswa BKPJM di sini.

WB’04 : Sejak akhir-akhir ini, ahli kelihatan cenderung untuk meninggalkan rumah Johor. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

YDP : Maksudnya ahli barulah? Pada ana, perkara itu normal, sekarang ini akhir bulan Julai. Bulan Ogos mereka dibenarkan keluar kerana perjanjian sememangnya begitu, dan juga mereka juga berhak untuk keluar dengan sebab memberikan ruang dan sebagai persediaan untuk adik-adik baru akandatang. Tetapi bukanlah kata kunci ' penduduk boleh meninggalkan rumah Johor' bermaksud penduduk semua perlu ataupun diminta meninggalkan Rumah Johor, tidak begitu. Kita ada beberapa fatrah lagi, contohnya bulan lapan, pelajar belum sampai. Bulan sembilan, dijangka belum sampai. Bulan sepuluh baru sampai. Cuma, mereka yang bertindak keluar daripada Rumah Johor sebelum daripada waktunya ana rasa itu tindakan yang bukanlah salah sangat, tetapi agak kurang sesuai, dengan sebab mereka terpaksa juga membayar harga sewa Rumah Johor sehingga bulan Julai. Walaubagaimanapun kita tidak mahu menyekat ataupun tidak mahu mengambil pendirian tegas supaya mengharamkan ataupun tidak membenarkan langsung penghuni-penghuni keluar daripada Rumah Johor, kerana mereka ada hak, dan mereka punyai pendirian tersendiri. Jadi kami menghargai perkara ini, dan kami memberi kelonggaran. Cuma, harapan ana, supaya penduduk Rumah Johor yang ada ketika ini dapat memikirkan semula berkenaan keluar terlalu awal, memandangkan kebajikan-kebajikan Rumah Johor banyak yang terabai sekiranya tiada sesiapa yang tinggal di Rumah Johor. Masa untuk tinggal di rumah sewa pada ana terlalu panjang. Sekurang-kurangnya empat tahun. Kalau setahun tinggal di Rumah Johor, tiga tahun lagi tinggal di rumah sewa dan sebagainya. Tiga tahun itu lama. Dan silap-silap, apabila kamu sudah duduk di rumah sewa nanti kamu teringin untuk duduk di Rumah Johor semula. Dan ana rasakan memanglah kita jiwa muda, hendak cepat tahu semua. Ana dulu adalah antara mereka yang mula-mula sekali keluar daripada Rumah Johor. Kebetulan Rumah Johor islah masa itu, tahun 1997, jadi memang kena keluar. Tetapi apabila ( Rumah Johor ) sudah siap, diminta masuk kembali, ana tak masuk semula. Ana pergi ke rumah sewa, memandangkan fatrah itu sudahpun bulan lapan, ana tidak masuk. Nasib baiklah rumah sewa itu ana berdua sahaja pelajar baru, empat orang lagi pelajar lama. Kebetulan masalah dengan tuan rumah macam-macam. Mula-mula macam-macamlah, diminta duit itu dan ini, dan kemuncaknya kena halau daripada rumah. Kalaulah semua pelajar baru yang ada di situ, datang orang suruhan tuan rumah pukul dua belas malam, kita tidak tahu bercakap dan sebagainya, akan jadi masalah. Perlu kepada kesabaranlah, dan di Rumah Johor perlu kepada sahabat-sahabat semua untuk memelihara, menjaga dan memastikan semuanya dalam keadaan yang baik.

WB’04 : Apa nasihat ustaz kepada pelajar baru yang telah keluar dariapada Rumah Johor ini?

YDP : Pada mereka yang telah keluar daripada Rumah Johor ini, ana harap supaya janganlah melupakan kebajikan dan tanggungjawab kalian kepada Rumah Johor ini, dari segi gotong royong, dari segi ziarah, ataupun dari segi program-program yang dianjurkan oleh BKPJM ataupun PMRAM itu sendiri. Tidak bererti apabila keluar daripada Rumah Johor, commit kita, keterlibatan kita dengan aktiviti-aktiviti terputus. Tidak boleh kita anggap macam itu. Walaupun kita berada di muhafazah, walaupun kita berada di rumah sewa, walaupun kita berada di Rumah Johor, dari segi keterlibatan dengan aktiviti, program, ataupun dari segi commit adalah sama sahaja. Cuma, oleh kerana berada di Rumah Johor ini kerjanya lebih sedikitlah. Kita tiada pegawai, kita tiada peruntukan khas daripada mana-mana pihak untuk menjaga Rumah Johor ini. Jadi setakat ini, kitalah sama-sama yang kena jaga, sama-sama perlu mengambil berat terhadap kebersihan, kekemasan dan sebagainya di Rumah Johor ini.

WB’04 : Kemungkinan akan berlaku kebanjiran pelajar-pelajar baru sesi akan datang, apa pandangan ustaz tentang hal ini?

YDP : Perkara ini telah dimaklumkan sendiri oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia, Ustaz Wan Bakar sendiri, yang menjangkakan seramai lapan puluh orang, akan datang pelajar baru. Cuma, buat sementara waktu kita mungkin akan menempatkan mereka di Rumah Johor ini, sekadar yang muat, Jika sekiranya tidak muat, ataupun terlampau sesak, kita akan meletakkan mereka di mana-mana rumah sewa yang sesuai, yang boleh kita jadikan tempat persinggahan untuk mereka. Dan kita akan menunggu fatrah nama muqayyad untuk di tauzik ke mana-mana muhafazah yang sepatutnya. Jadi selepas daripada itu, selepas daripada tauzik itu baru kita tahu jumlah sebenar yang berada di Kaherah. Bila kita tahu jumlah sebenar yang berada di Kaherah, barulah kita tentukan penempatan mereka secara pasti.

WB’04 : Apakah nasihat ustaz kepada ahli-ahli?

YDP : Untuk ahli semua, ana harapkan supaya keberadaan kita di bumi Mesir ini menjadikan kita seorang yang matang dari segala aspek, Aspek keilmuan, aspek thaqafah, dan terlebih-lebih lagi, aspek bermuamalah ataupun berorganisasi. Sangat penting untuk kita mengetahui kemahiran-kemahiran ataupun pengalaman-pengalaman dalam berorganisasi. Memandangkan di kuliah ataupun di mana-mana seminar kita boleh mencari ilmu, kita boleh menambah thaqafah, tetapi dari segi gerak kerja organisasi dan sebagainya, tidak boleh untuk mencari di mana-mana kuliah. Maka dengan pengalaman-pengalaman terlibat sebagai ketua-ketua unit, sebagai musrif, sebagai fasilitator, sebagai exco, sebagai yang dipertua dan sebagainya, itulah dia pengalaman ataupun medan untuk kita mentarbiah diri kita, menjadi orang yang berkhemah tinggi, berjiwa besar, untuk menghadapi masyarakat kelak. Tidak memadai kita menghadapi masyarakat hanya dengan ilmu semata-mata. Tidak memadai kita menghadapi masyarakat hanya dengan thaqafah, pengetahuan dan sebagainya, walaupun benda itu perlu, tidak dinafikan, penting. Tetapi kemahiran kita untuk berhadapan dengan masyarakat, pengalaman kita dalam organisasi itu juga penting juga banyak membantu kita dalam mendekati masyarakat kelak. Seterusnya, ana harapkan kepada seluruh ahli BKPJM supaya mempertahankan BKPJM dan PMRAM itu sendiri, memandangkan inilah persatuan yang pada pandangan ana masih lagi menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras, sebagai dasar yang diperjuangkan. Kita kesal dan kita cukup berdukacita kerana ada pihak-pihak tertentu yang sanggup menggadaikan agama, menggadaikan kefahaman Islam yang mereka sendiri miliki kerana sebab-sebab yang kita sendiri tidak jelas. Barangkali dengan sebab kuasa, barangkali dengan sebab pengaruh, mereka sanggup untuk menganjurkan program-program yang tidak syar'ie, yang mencampuradukkan antara ikhwah dan akhawat, yang ana kira banyak menyumbang kepada keruntuhan dan kebejatan social dikalangan siswa siswi al-azhar di sini. Oleh itu, ana sangat-sangat berharap kepada seluruh ahli BKPJM, peliharalah BKPJM ini, peliharalah PMRAM ini selagi mana BKPJM dan PMRAM ini mendokongi Al-Quran dan As-sunnah. Jika berlaku kesilapan, berlaku salah laku dikalangan AJKT dan juga HEWI, maka tegurlah dengan sebaik-baiknya. AJKT dan HEWI bukanlah nabi ataupun rasul yang maksum, Tidak. Mereka barangkali melakukan kesalahan, mereka barangkali melakukan kesilapan, tetapi pandanglah kepada dasar dan pandanglah kepada asas ditubuhkan BKPJM dan PMRAM. Jika benar maka ikutlah, dan jika orang yang membawanya, iaitu AJKT ataupun HEWI tadi tersilap, tegurlah dengan baik. Dan jauhilah daripada kalam-kalam ataupun kata-kata belakang, ataupun ada perkara yang tidak dipuashati, ada perkara yang kurang jelas, tetapi hanya menceritakan di belakang AJKT ataupun HEWI. Akhirnya perkara ini tidak akan selesai. Jika ada perkara yang hendak diselesaikan, ada perkara yang hendak dibincangkan, yang tidak dipuashati, sila berjumpa secara berdepan. Mudah-mudahan dengan adanya perjumpaan tersebut menyelesaikan segala masalah, tidak ada menyimpan perasaan apa-apa di dalam hati, keutuhan BKPJM dan PMRAM itu akan terpelihara hingga akhirnya. Itu sahaja daripada ana.

WB’04 : Akhirnya kami wakil daripada al-Basirah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih ats kesudian ustaz ditemuramah pada malam ini. Kami juga mendoakan agar segala cita-cita dan harapan akan terlaksana, ingin terus melihat keutuhan BKPJM terus unggul di persada bumi Anbia' ini. Terima kasih sekali lagi kepada ustaz.

YDP : Sama-sama.

Tuesday, November 29, 2005

Wawancara 3

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Wawancara
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Wawancara dikendalikan oleh saudara Mohd Zaki M.Noor, wartawan al-Basirah, bertempat di Pejabat BKPJM, Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin, pada 7 Ogos 2004, jam 3.40 minit petang.

Bioadata Tokoh : Ustaz Zairol Al-Adib, Kuliah Usuluddin Tahun 3, Syu'bah Tafsir, Kaherah.

Wartawan al-Basirah (WB 04) : Saya wakil daripada al-Basirah mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Zairol kerana sudi ditemuramah pada petang ini. Semoga kerjasama yang diberikan memberikan manfaat untuk kita bersama. Assalamualaikum.

(Ustaz Zairol) : Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.

(WB 04) : Ada baiknya kita mulakan dengan Ummul Kitab, al-Fatehah.

(WB 04) : Berapa ramaikah perwakilan Johor dalam Mu'tamar Sanawi tersebut secara khususnya, dan seluruh perwakilan secara umumnya?

(Ustaz Zairol) : Perwakilan Johor yang diberikan kuota oleh pihak PMRAM seramai 40 orang, 20 ikhwah dan 20 akhawat. Dan jumlah keseluruhan perwakilan yang hadir ketika itu dianggarkan sekitar hampir 800 orang.

(WB 04) : Perwakilan Johor telah dinobatkan sebagai perwakilan terbaik. Apa pandangan ustaz?

(Ustaz Zairol) : Yang pertama saya bersyukur kepada Allah S.W.T, dan anugerah perwakilan terbaik itu bukanlah di atas usaha saya, tetapi dengan kerjasama daripada semua sahabat-sahabat Johor, ikhwah mahupun akhawat.

(WB 04) : Apakah antara isu yang dibangkitkn oleh perwakilan Johor secara khusunya, dan semua perwakilan secara umumnya?

(Ustaz Zairol) : Isu yang dibangkitkan oleh perwakilan Johor, terutama dalam ucap dasar Presiden, perwakilan Johor membahaskan tajuk 'Keberkesanan Tarbiah Asas Keiltizaman'. Jadi walaupun bukan ikhwah yang membentangkan, tetapi akhawat, tetapi dari sudut tajuk itu kita menganggapkan suatu kejayaanlah, kupasan-kupasan dan cadangan-cadangan yang baik untuk PMRAM.

(WB 04) : Isu daripada perwakilan yang lain?

(Ustaz Zairol) : Isu yang dibangkitkan pada amnya berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti PMRAM, tetapi yang nampak hangat ketika perbahasan usul yang bertajuk ' Ahli Hendaklah Menolak Segala Dakyah Yang Boleh Memecahbelahkan Kesatuan PMRAM '. Jadi dalam usul tersebut pelbagai pihak bangun dan menjelaskan tentang kewajaran usul tersebut diterima. Perwakilan Johor juga tidak ketinggalan membahaskan usul tersebut, dan secara dasarnya usul tersebut diterima secara sebulat suara untuk dilaksanakan daripada peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat kepimpinan. Wallahu A'lam.

(WB 04) : Apakah rahsia sehingga perwakilan Johor berjaya menjadi perwakilan terbaik pada tahun ini?

(Ustaz Zairol) : Tidak ada rahsia yang khusus unutk penganugerahan tersebut, namun berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman yang lepas, kreatia perwakilan terbaik itu dikira dari sudut disiplin perwakilan, kehadiran, dan keaktifan di dalam perbahasan atau di dalam menanyakan soalan-soalan, memberi suatu persembahan kepada dewan dan muktamar ketika itu, disampin beberapa perkara lain termasuklah pakaian, keseragaman dan sebagainya. Jadi berdasarkan faktor-faktor itu kita menggerakkan perwakilan apa yang mampu, dan alhamdulillah semua perwakilan-perwakilan khususnya peringkat ikhwah negeri Johor ditahap disiplin yang baik, dan kerjasama yang bagus, dan mungkin di atas dasar itu, kerjasama semua perwakilan seramai dua puluh orang itu maka Johor mendapat anugerah perwakilan terbaik bagi sesi Mu'tamar kali ke 71 ini.

(WB 04) : Warga al-Basirah mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi ditemurmah, dan tahniah ustaz sebagai ketua perwakilan Johor dalam Mu'tamar Sanawi yang lepas. Semoga kecemerlangan dalam Mu'tamar ini akan terus dipertingkatkan di sesi akan datang, dan sekali lagi saya sebagai wakil al-Basirah mengucapkan terima kasih kepada ustaz kerana sudi memberikan kerjasama dalam temuramah ini. Terima kasih.

(Ustaz Zairol) : Sama-sama.

Monday, November 28, 2005

Wawancara 2

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Wawancara
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Wawancara dikendalikan oleh Mohd. Zaki M. Noor, wartawan Al-Basirah 2004, pada 5 Ogos 2004, jam 7.00 petang, bertempat di Syaqah 1, Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin.

Biodata Tokoh : Mohd. Nazar bin Misran, berasal daripada Parit Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Berada di Tahun 3, Usuluddin, Syu’bah Dakwah, Kaherah. Pendidikan I’dadi di Parit Sulong, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Tarbiah Islamiah di Batu Pahat, sebelum ke Maahad Pontian selama empat tahun. Dengan Sijil Tinggi Agama yang diperolehi, melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. Pengalaman berpersatuan, ditaklifkan sebagai Ketua Unit Persekolahan, Sambutan dan Rehlah (2002/2003), dan sebagai Timbalan yang DiPertua merangkap Lajnah Penerangan dan Penerbitan (2003/2004).

Wartawan al-Basirah (WB’04) : Pertamanya, terima kasih kepada Ustaz Nazar kerana sudi meluangkan masa ditemuramah pada petang ini, semoga kerjasama yang diberikan memberikan satu manfaat buat kita bersama. Assalamualaikum.

Ustaz Nazar Misran (TYDP) : Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

WB’04 : Baru-baru ini BKPJM telah melaksanakan satu program yang dinamakan ‘Rapat BKPJM’. Bolehkah ustaz ceritakan secara ringkas tentang program itu?

TYDP : Berkaitan dengan Rapat BKPJM, ia sebenarnya adalah satu program untuk kita memanggil ahli kita yang khususnya berada di seluruh muhafazah di Mesir ini, untuk kita bersatu, mengumpul pendapat dan suara ahli dalam membincangkan isu yang yang sangat-sangat besar sejak akhir-akhir ini dalam BKPJM, iaitu berkaitan isu pendaftaran. Ala Kulli Hal, program ini diadakan pada 1 Ogos yang lalu, yang mana ia dipecahkan kepad beberapa slot. Pertamanya, slot Dialog bersama Kedutaan, seterusnya slot Hiwar, dan yang terakhir, Mesyuarat Agung Khas yang membincangkan satu usul, pendaftaran BKPJM kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

WB’04 : Boleh ceritakan tentang respon ahli terhadap program ini?

TYDP : Respon ahli terhadap program Rapat BKPJM ini alhamdulillah, agak membanggakan, kerana kita mampu menghimpunkan pelajar-pelajar kita yang berada diseluruh bumi Mesir ini, pada pagi tersebut, iaitu kita mengadakan majlis itu jam 9.30 pagi untuk perasmian yang dirasmikan oleh Presiden PMRAM, kemuadian slot Dialog bersama Pengarah JPMK itu sendiri iaitu Ustaz Wan Bakar Wan Dagang, dalam usaha-usaha beliau memberikan penerangan tentang kebaikan-kebaikan pendaftaran BKPJM kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

WB’04 : Boleh ustaz ulas sedikit di antara isu-isu yang menarik yang ditimbulkan oleh ahli dalam Hiwar bersama Tuan Pengarah JPMK?

TYDP : Berkaitan dengan isu yang menarik, yang hangat diperbincangkan, selepas Pengarah menerangkan kebaikan-kebaikan, faedah-faedah yang diperolehi daripada hasil pendaftaran kepada kedua-dua belah pihak, kepada BKPJM dan Kedutaan, dan semestinya ahli mengharapkan satu manfaat yang sangat besar kepada kebajikan pelajar seterusnya hubungan mereka dengan PMRAM, hubungan mereka dengan Kedutaan, dan hubungan merekadengan Kerajaan Negeri. Isu yang paling hangat dibangkitkan adalah berkaitan dengan penubuhan Badan Anak Johor, yang diwar-warkan penubuhannya tiga hari sebelum ketibaan rombongan Yang Amat Berhormat Tuan Haji Zainal Abidin bin Othman ke Mesir, yang mana mereka, delegasi-delegasi ini menggesa BKPJM ini berdaftar kepada Kedutaan, dan untuk memudahkan saluran sumbangan, bantuan, zakat dan sebagainya kepada BKPJM.

WB’04 : Bermakna kita telah didesak untuk berdaftar?

TYDP : Sebenarnya isu ini sudah tiga tahun berlarutan, dan sebelum-sebelum ini kita menerima tawaran ataupun gesaan untuk berdaftar, tetapi memandangkan masalah yang berlaku, dan masalah yang kita lihat, yang diperolehi hasil daripada pengamatan ahli-ahli terhadap BKAN yang telah berdaftar, kita lihat kurangnya kebajikan daripada pihak Kedutaan itu sendiri, dan adanya acara-acara ataupun program-program yang tidak bersesuaian dengan jiwa sebagai seorang pelajar Islam. Pelajar menilai perkara-perkara ini tidak sesuai, pelajar menolak. Perkara ini telah dua kali dibawa ke Mesyuarat Agung, seluruh ahli telah sepakat menyuarakan ketidaksetujuan mereka akan pendaftaran ini. Akan tetapi, kedatangan rombongan Yang Berhormat, Tuan Haji Zainal ke Mesir ini, membawa isu ini, merupakn saranan daripada Menteri Besar Johor, untuk memastikan bahawa BKPJM ini berdaftar, sebagai usaha-usaha untuk merapatkan hubungan dua hala.

WB’04 : Sumbangan 10 ribu yang diberikan oleh Kerajaan Johor kepada BKPJM telah mendapat satu reaksi daripada Tuan Haji Wan Bakar Wan Dagang. Bolehkah ustaz beri sedikit komen berkenaan hal ini?

TYDP : Kepada sahabat-sahabat yang telah turut serta dalam Dialog pada 1 haribulan tersebut, memang diusulkan, memang dibangkitkan berkaitan dengan sumbangan yang diberikan sebanyak 10 ribu daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Omar Awab. Itu adalah sumbangan ataupun cek yang telah lama dituntut oleh pihak BKPJM atas usaha-usaha untuk membaik pulih kerosakan-kerosakan yang berlaku Dan perkara ini mendapat suatu ketidakselesaan kepada Pengarah JPMK yang mana sepatutnya pada pandangan beluai sumbangan ini patut disalurkan melalui beliau, iaitu Kedutaan sendiri, kemudian beliau akan menyalurkan sumbangan ini kepada BKPJM. Akan tetapi kalau kita melihat daripada satu sudut, sumbangan yang diberikan oleh Dato’ Omar daripada Yayasan Pelajaran Johor, beliau adalah daripada Badan Berkanun. Badan Beranun ini ada peruntukan sendiri, tidak perlu kepada prosedur-prosedur yang begitu ketat. Jadi tindakan yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Omar tidak menyalahi prosedur-prosedur yang sebagaimana kita maklum. Cuma apa yang dibangkitkan itu adalah ketidakpuasan hati Pengarah JPMK kepada sumbangan yang diberikan. Itu sahaja. Itu masalah peribadi.

WB’04 : Ada komen bahawa terdapat fakta-fakta yang diselewengkan semasa sesi Dialog ini. Boleh beri sedikit ulasan?

TYDP : Tiada komen.

WB’04 : Dalam slot yang ketiga, dalam Mesuarat Agung Khas, kita telah mendapat reaksi ahli yang begitu rancak, boleh ustaz ulas?

TYDP : Berkaitan dengan Mesyuarat Agung Khas, yang telah diadakan, memang suasana agak rancak, dan persaingan yang agak tegang, walaubagimanapun pihak Pengerusi Sidang berjaya mengawal keadaan, yang mana sedia maklum, isu yang dibincangkn adalah isu pendaftaran, yang mana turut hadir Pengerusi Badan anak Johor itu sendiri, yang mana terdapat munakasah dan perjidalan yang berlaku, pro dan kontra berkaitan isu perdaftaran. Tetapi daripada ana, pendaftaran ini bukan berlaku atas dasar pelajar-pelajar takut kepada Badan Anak Johor, Tetapi pelajar lebih melihat akan kesatuan, dan kesan akan datang apabila tertubuhnya dua persatuan ini akan menyebabkan perpecahan kepada pelajar Johor yang begitu besar. Jadi dengan ini pelajar-pelajar lebih bersetuju dan lebih menyokong atas idea-idea yang telah diberikan bilamana BKPJM ini berdaftar, maka persatuan yang lain yang memecahbelahkan pelajar ini hendaklah dihapuskan, dibubarkan. Akan tetapi kita mendapat tentang daripada Pengerusi BAJ sendiri yang mana kita lihat seolah-olah BAJ itu akan terus hidup, berkembang, kekal dan tidak mahu dibubarkan. Ini pandangn peribadi ana.

WB’04 : Adakah sebarang usaha daripada BKPJM untuk memastikan Badan Anak Johor ini dibubarkan?

TYDP : Berkaitan dengan pembubaran BAJ itu, ia tertakluk kepada Kedutaan, yang mereka itu lebih berkuasa ke atas penubuhan BAJ, dan juga bergantung kepada Pengurusi BAJ, Saudara Fathur Rahman. Bagi kami kepimpinan BKPJM sangat-sangat tidak menggalakkan pertubuhan persatuan-persatuan yang boleh memecahbelahkan pelajar. Kami lebih suka sekiranya pelajar-pelajar ini dapat berhimpun dalam satu kelompok, satu suara dan satu pendapat. Dan kita dapat saling bantu-membantu dan memberikan kerjasama. Walaupun kalau kita lihat penubuhan BAJ itu seolah-olah untuk kepentingan kebajikan, dan juga (untuk kepentingan mendapatkan ) sumbangan-sumbangan yang disalurkan daripada Malaysia ataupun daripada Kedutaan sendiri untuk pelajar-pelajar Johor, akan tetapi bila mana BKPJM telah berdaftar, perkara ini kita telah maklum (tidak perlulah kepada penubuhan BAJ). Dan BKPJM ini adalah satu kesatuan induk yang besar, yang sewajarnya BKPJM ini diiktiraf oleh Kerajaan Negeri dalam memberikan sumbangan-sumbangan kepada pelajar. Tidak perlulah memandang kepada sebelah pihak, yang mana kalau kita lihat penubuhan BKPJM ini lebih lama dalam menjaga kebajikan pelajar Johor yang berada di Mesir. Penubuhan BAJ memang ramai ahli yang pertikai, masih tidak dapat menilai sejauh mana kemampuan yang akan dibawa oleh BAJ itu sendiri kepada ahli.

WB’04 : BKPJM telah bersetuju untuk berdaftar. Jadi boleh ustaz berikan pendapat?

TYDP : BKPJM telah bersetuju dan sepakat daripada perbincangan dalam Mesyuarat Agung Khas yang lalu, dan ahli bersetuju untuk mendaftarkan BKPJM itu di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, akan tetapi dengan syarat, dan syarat-syarat ini yang talah kita cuba perbincangkan, dan hasil-hasil perbincangan ini memakan masa yang agak lama, sebelum ia secara rasminya didaftarkan.

WB’04 : Maksudnya syarat itu belum dibuat?

TYDP : Syarat telah diperbincangkan dalam Mesyuarat Agung Khas yang lalu, pihak kepimpinan telah berbincang untuk mendetailkan, menyusun kembali syarat yang telah dikemukakan, supaya syarat-syarat ini bersesuaian untuk kedua-dua belah pihak, daripada pihak BKPJM sendiri, pihak Kedutaan, dan juga kepada PMRAM itu sendiri. Maknanya perkara ini menguntungkan kepada semua pihak. Tidak hanya menguntungkan kepada satu pihak sahaja.

WB’04 : Semasa Mesyuarat Agung Khas, AJKT dan HEWI tidak dibenarkan bersuara (memberikan pendapat). Boleh ustaz terangkan?

TYDP : AJKT dan juga HEWI tidak dibenarkan bersuara kerana usul ini dibawa oleh AJKT, iaitu usul berkaitan dengan pendaftaran. Dan kami mahu usul ini untuk dibincangkan oleh ahli supaya ahli tahu untuk menilai baik dan buruknya kesan daripada pendaftaran berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman atau pengamatan-pengamatan mereka kepada BKAN yang telah berdaftar. Dan AJKT tidak sama sekali dibenarkan bersuara kerana badan itu sendiri adalah hak ahli. Bukan hak kepimpinan.Bayangkan sekiranya AJKT mengambil langkah ini, maka di sana ada ketidaksesuaian ataupun ahli sendiri tidak setuju dengan keadaan yang berlaku. Mungkin di sana akan menyebabkan punca-punca perpecahan ahli.

WB’04 : Bilakah BKPJM akan mendaftar secara rasmi kepada pihak Kedutaan?

TYDP : Berkaitan dengan pendaftaran secara rasmi, setakat ini ana nak komenlah, sebab pengarah pun pulang ke Malaysia sekarang ini, dan mungkin insya Allah akan dimaklumkan pendaftaran BKPJM secara rasmi setelah pengarah pulang ke Mesir kembali.

WB’04 : Badan telah bersetuju untuk berdaftar. Apakah harapan ustaz berkaitan dengan pendaftaran ini?

TYDP : Berkaitan dengan pendaftaran ini ana berharaplah semoga pendaftaran ini bukannya suatu isu yang dimainkan oleh mana-mana pihak, ataupun pihak tertentu, dan berharap semoga daripada pendaftaran ini memberikan manfaat yang sangat besar kepada ahli, khususnya pelajar Johor dalam usaha Kerajaan Negeri ataupun mana-mana pihak menyumbangkan kewangan, zakat, pinjaman dan sebagainya kepada pelajar, untuk memudahkan lagi pelajar dalam mengikuti pengajian mereka di sini, dan sekaligus diharapkan perkara ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan Kerajaan Negeri, juga dengan pihak Kedutaan.

Sunday, November 27, 2005

Wawancara 1

Majalah : Al-Bashirah
Edisi : -
Kolum : Wawancara
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Ogos 2004
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Wawancara dikendalikan oleh Mohd Zaki M. Noor, wartawan al-Basirah 2004, pada 26 Julai 2004, jam 2 petang, bertempat di Syaaqah 2 Rumah Johor.

Biodata Tokoh: Nama, Mohd Hafiz bin Mansur, berasal daripada Taman Aman, Senai, Johor Bahru, Johor, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Senai, seterusnya ke Sekolah Kebangsaan Agama Arab Kota Tinggi (3 Tahun), melanjutkan pelajaran ke Maahad Johor (4 Tahun), seterusnya ke Universiti al-Azhar. Sekarang berada dalam tahun Kuliah Usuluddin, Kaherah. Anak kedua daripada enam orang adik beradik, dan merupakan satu-satunya yang menceburkan diri dalam aliran Bahasa Arab. Pengalaman berpersatuan, Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah (UDT) BKPJM, disamping memegang jawatan sebagai Badan Pengurus PMRAM, ditaklifkan dalam Badan Kebajikan Dan Tabung Derma.

Wartawan al-Basirah 2004 (WB ' 04) : Pertamanya, kita mulakan dengan bacaan Ummul Kitab, al-Fatihah. Saya wakil daripada al-Basirah, mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hafiz kerana sudi ditemuramah pada petang ini, semoga kerjasama yang diberikan akan memberikan manfaat kepada kita bersama. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

USTAZ HAFIZ : Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.

WB ' 04 : Ustaz telah dilantik sebagai Badan Pengurus PMRAM (BP), apakah pendangan ustaz berkenaan hal ini?

USTAZ HAFIZ : Pada ana, perlantikan sebagai Badan Pengurus PMRAM merupakan satu tanggungjawab yang amat berat, sebagai seorang kepimpinan, walaubagaimanapun kita kena melihat kepimpinan merupakan satu tanggungjawab yang amat penting, selepas kejatuhan Khilafah Islamiah, maka kepimpinan merupakan satu benda yang perlu kita titik beratkan untuk menaikkan izzah Islam itu sendiri. Dan pada ana secara peribadi, sebagai mahasiswa, kita perlu menggarapkan diri kita dalam dua bidang, ilmu juga kita kuasai, kepimpinan juga kita kuasai, untuk kita terjun ke dalam masyarakat, kerana kesinambungan kepimpinan adalah sebahagian daripada aset terpenting, dalam menjana keutuhan sesebuah gerakan. Kalau kita lihat gerakan Islam semakin hari semakin tertindas. Siapakah yang hendak mengembalikan Khilafah Islamiah atau Daulah Islamiah? Melainkan dengan adanya satu kepimpinan yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, untuk menggerakkan semula gerakan-gerakan Islam ini menjurus ke arah dasar al-Quran dan as-Sunnah.

WB ' 04 : Apakah tindakan yang dirancangka dalam kepimpinan BP nanti?

USTAZ HAFIZ : Secara umumnya, semua badan pengurus terlantik tiada tanggungjawab yang lebih besar melainkan peranan mereka dalm mempertahankan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir,PMRAM, yang mana telah 70 tahun lebih ditubuhkan, tidak lain tidak bukan semua badan pengurus berperanan untuk menjaga keutuhan, kesatuan PMRAM selaku wadah perjuangan mahasiswa al-Azhar di Mesir. Namun bagi Badan Kebajikan dan Tabung Derma yang ana pegang, ana akan cuba menggarapkan kembali dua aset terpenting iaitu menjaga kebajikan ahli dan juga mencari dana-dana untuk ahli. Dan seperti mana kita ketahui TFM, Tabung Filantrofi Massa, yang mana tabung ini kita akan cuba garapkan kembali supaya ada ahli-ahli kita yang menyumbang dan duit ini kita akan salurkan sebaik-baiknya kepada ahli. Dan keduanya Tabung Dana Van. Sebagaimana kita ketahui Tabung Dana Van ini merupakan satu dana untuk kita memberli sebuah van yang mana digunakan untuk kebajikan ahli dan juga pengurusan PMRAM itu sendiri supaya lebih mudah dalam segala urusan. Ana cuba membawa kebajikan kepada ahli sebaik mungkin dalam menyalurkan sumbangan-sumbangan dan kewangan-kewangan, dan mana-mana ahli juga yang memerlukan kebajikan dari sudut kewangan atau bantuan dan sebagainya, jangan segan-segan untuk meminta bantuan daripada pihak PMRAM itu sendiri, melalui BKAN dan DPM. Dan kita akan cuba sedaya upaya diperingkat PMRAM untuk memberi bantuan sebaiknya.

WB ' 04 : Makrufnya sekarang ini, Ustaz Hafiz masih lagi memegang jawatan dalam BKPJM, dan dalam masa yang sama Ustaz Hafiz adalah seorang BP PMRAM. Adakah untuk fatrah akan datang ini, Ustaz Hafiz akan terus menyumbang tenaga dalam BKPJM?

USTAZ HAFIZ : Ya, jawapan ana yang pertama adalah ya, kita tetap akan menyumbangkan tenaga, buah fikiran, idea kita untuk BKPJM, kerana BKPJM juga merupakan satu persatuan yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Selaku pelajar Johor, kita seharusnya mempertahankan BKPJM dan menyumbangkan tenaga yang sebaik-baiknya untuk BKPJM. Bukannya sumbangan yang kita perlu berikan semasa kita menjadi kepimpinan, tetapi, bila mana kita bergelar pelajar yang menjadi ahli Johor, maka kita perlu menyumbang sebaik-baik sumbangan untuk BKPJM itu sendiri. Tetapi yang paling penting kita membentuk kesatuan, bagaimana kita hendak membentuk wehdah, dan juga menjaga kebajikan ahli sama ada di peringkat Johor atau pun di peringkat PMRAM. Itu yang utamanya. Manakala pentaklifan sebagai kepimpinan, jawatan itu adalah satu pemudah cara untuk kita terus menjalankan tanggungjawab-tanggungjawab, dengan adanya mas'ul, adanya organisasi. Kerana kita perlu melihat undang-undang ini merupakan satu benda yang penting, seperti mana yang telah dinyatakan oleh sahabat nabi, Satu kebenaran yang tidak ada nizhom (undang-undang) akan dikalahkan oleh kebatilan yang mempunyai nizhom (undang-undang). Walaupun kebenaran, tetapi bila mana kita tiada nizhom, tiada organisasi, tiada susunan yang betul, maka akan dikalahkan oleh mereka yang mempunyai nizhom, walaupun benda itu batil. Jadi kepimpinan ini merupakan satu pemudahcara untuk kita susun kembali strategi dan langkah-langkah.

WB ' 04 : Sekiranya dicalonkan sekali lagi sebagai AJKT BKPJM, adakah ustaz akan menerimanya?

USTAZ HAFIZ : Soalan yang agak berat. Pada ana, secara peribadi memang tidak sanggup untuk memegang dua jawatan di peringkat PMRAM, kemudian pegang jawatan di peringkat BKPJM. Tetapi a'la kulli halnya, ana melihat insya Allah kepimpinan di peringkat BKPJM sendiri tidak ketandusan kepimpinan, ataupun pelapis. Dan merasakan masih ada lagi pelapis untuk menggantikan tempat ana, ana bukannya gila kuasa untuk pegang dua dan sebagainya, tetapi a'la kulli hal, ana tetap akan cuba menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk BKPJM walau apa jua keadaan sekalipun.

WB ' 04 : Bagaimanakah ustaz mengimbangkan masa antara persatuan dan pelajaran?

USTAZ HAFIZ : Tentang pembahagian masa pula, kita selaku pelajar agama seharusnya perlu bijak membahagikan masa, dan kalau kita melihat kebanyakan pelajar-pelajar kita ini bukan tidak pandai membahagikan masa, tetapi lebih mengutamakan masa rehat. Selaku kepimpinan, ana merasakan tanggungjawab ana besar, belajar dan memimpin. Jadi kita kena kurangkan masa rehat kita, kena pandai membahagikan masa kita. Mungkin kadang-kadang kita belajar waktu orang sudah tidur, kita menggunakan peluang-peluang yang ada dengan sebaik-baiknya. Kita perlu merancang kehidupan harian kita. Hari ini kita hendak berbuat apa, setiap saat kita hendak berbuat apa, supaya perancangan kita ini tidak memakan diri kita sendiri, menyebabkan kita gagal dalam pelajaran, ataupun apa yang kita rancangkan diperingkat kepimpinan akan gagal. Walaubagaimanapun kita perlu merancang , kuliah sebaik-baiknya jangan kita tinggalkan, selagi mana tiada progam kita pergi kuliah, dan balik daripada kuliah cuba kita rancang program untuk kepimpinan pula. Kita cuba curi-curi masa, kurangkanlah masa-masa rehat itu.

WB ' 04 : Seterusnya, apakah harapan kepada PMRAM dan BKPJM?

USTAZ HAFIZ : Harapan ana kepada PMRAM dan BKPJM agar semua ahli PMRAM secara amnya, dan ahli BKPJM khususnya, agar dapat kita sama-sama bernaung di bawah PMRAM itu sendiri, dengan berpegang pada dasar al-Quran dan as-Sunnah. Ana tidak mengatakan kita perlu intima' ataupun meletakkan wala' dengan BKPJM dan PMRAM seratus peratus, tetapi kita kena pegang, selagi mana PMRAM dan BKPJM meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai dasar, ana mengharapkan ahli-ahli BKPJM, ahli-ahli BKPJM bersatu di bawah naungan PMRAM dan BKPJM untuk kita membentuk satu wahdah, kesatuan, dan juga seterusnya menyambung kesinambungan Islam itu sendiri, yang mana meletakkan wahdah itu satu benda yang penting, sebagaimana yang dikatakan oleh Hassan Al-Banna, ' Awwalul Quwwah, Quwwatul Wehdah'. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan wahdah. Bagaimana kita hendak menggerakkan masyarakat kita di Malaysia nanti, di tanah air apabila kita pulang, jika kita tidak ada kesatuan yang mantap, yang mana kita mulakan daripada BKPJM, di sini lagi.

WB ' 04 : Saya wakil daripada Basirah, mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hafiz. Semoga kerjasama yang diberikan akan memberikan manfaat kepada kita. Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum.

USTAZ HAFIZ : Waalaikumussalam warahmatullah.