Showing posts with label Al-Jauhar 2. Show all posts
Showing posts with label Al-Jauhar 2. Show all posts

Saturday, November 19, 2005

Berita Ringkas

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Berita Dari Bendahari

Yuran Tahunan
Kepada semua ahli yang belum menjelaskan bayaran yuran tahunan BKPJM diminta menyemak kadar bayaran masing-masing dan menjelaskannya kepada Bendahari BKPJM, Ustaz Azman Shaari bagi membantu sedikit sebanyak mengukuhkan sumber kewangan Badan. Kerjasama semua amat-amat dihargai. Terima Kasih.

Khuf
Pihak Kedai Al-Jauhar melalui iklan yang lalu mempromosikan khuf sebagai produk terkini. Para pembeli bolehlah mendapatkannya di kedai al-Jauhar dengan harga istimewa LE 28 dengan pelbagai saiz dan warna. Dapatkannya untuk menghadapi musim sejuk. Segera sebelum kehabisan.

Berita Dari UPB

Raih Imtiaz
Unit Pengetahuan Dan Bimbingan telah mengadakan Raih Imtiaz Siri Pertama pada 20 November 2004 yang lalu. Program ini bertujuan memberi penerangan mengenai setiap madah di kuliah dan situasi imtihan kepada semua mahasiswa baru tahun ini bagi setiap syukbah. Penerangan diberikan oleh wakil setiap kuliah. Semoga berjaya meraih Imtiaz.

Kelas tambahan
Bagi menghadapi peperiksaan fasa awal yang lalu, UPB telah berusaha keras menemukan beberapa tenaga pengajar bagi beberapa madah yang difikirkan perlu. Di kesempatan ini, Pihak UPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang terdiri daripada Ustaz Nordin Abdullah, Ustaz Yohanas Misuan, Ustaz Luqmanul Hakim Ab Rahman, Ustaz Mohd Hafiz Mansur, Ustaz Zainudin Salam, Ustaz Najib Zainal, Ustaz Syafiq Elias dan beberapa tenaga pengajar lagi juga dari pihak akhawat. Sekalung ucapan terima kasih untuk kalian.

Berita Dari UKTD

Pelancaran Tabung Derma Tsunami
Pada 6 Januari 2005 yang lalu, UKTD BKPJM telah berkerjasama dengan BKTD PMRAM bagi melancarkan tabung derma kilat kepada mangsa-mangsa tsunami. Majlis dirasmikan oleh Ustaz Hafiz Mansur sebaik sahaja selesai diadakan solat hifzi buat kali yang terakhir. Pihak UKTD mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang prihatin, dan teruskan menderma dengan menghubungi Ustaz Firdaus Sulaiman atau terus kepada Badan Pengurus PMRAM sebagai menyatakan keprihatinan anda. Jumlah kutipan derma kilat daripada ahli BKPJM berjaya mencecah 1500 pound Mesir.

Berita Dari UPR

Gotong royong perdana
UPR dalam agenda menyambut YAB Menteri Besar Johor menyeru kepada seluruh ahli untuk hadir ke program gotong-royong perdana yang diadakan dalam tempoh selepas kerja pembaikpulihan fasa satu menemui penghujungnya. Kerja mengemas maktabah dan susun atur semula, pembersihan luar dan dalaman Rumah Johor akan dilakukan demi menjaga nama baik BKPJM. YAB Menteri Besar dijangka tiba di Mesir pada 12 Februari ini.

Pejabat Sementara
Pejabat BKPJM berpindah ke sutuh sementara kerja pembaikpulihan dewan berjalan. Sebarang maklumat hubungi exco berkenaan.

Ucap tema
BKPJM melalui program mega tahunannya memilih tarikh 26 Januari 2005 ini sebagai hari Ucap Tema BKPJM dengan tema tahun ini; Al-Wahdah Asas Al-Quwwah. Program ini dijangka bermula tepat jam 9.00 pagi di ARMA hingga sebelum asar. Semua ahli dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program mega tahunan ini.

Berita Dari UPSR

Rehlah Sinai
Unit Persekolahan, Sambutan dan Rehlah (UPSR)merancang mengadakan Rehlah ke Semenanjung Sinai dipertengahan bulan Februari ini. Menurut Ketua UPSR, Ustaz Ahmad Saufi Mustafa, tarikh 15 Februari telah dipilih tanpa perubahan sekiranya tidak bertembung dengan kunjungan Menteri Besar Johor dan rombongan yang dijangka tiba pada 12 Februari ini. Rehlah ini dibuka kepada pihak ikhwah, sementara untuk akhawat pula di bawah kelolaan HEWI PMRAM dalam 4 rombongan. Rombongan pertama pada 30 Januari hingga 1 Februari, rombongan kedua pada 6 hingga 8 Februari, rombongan ketiga pada 13 hingga 15 Februari, dan rombongan keempat pada 21 hingga 23 Februari.

Ziarah Makam Aulia
Pada hari Rabu, 20 Oktober 2004 yang lalu, 3 van sewa membawa para penziarah yang terdiri keseluruhannya daripada siswi terkecuali 3 musyrif, Ustaz Asmuni Hasbullah, Ustaz Zainudin Salam serta isteri, dan Ustaz Masnor Hamzah serta isteri. Ziarah ini memilih lokasi sekitar Kaherah seperti program tahun-tahun sebelumnya. Pihak BKPJM merakamkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua.

Rehlah Port Said
Seramai 60 siswa termasuk empat AJKT dan seorang BP PMRAM telah bertolak ke Port Said dalam satu rehlah 1 Novermber 2004 yang lepas. Rehlah ini menyaksikan sebuah bas dan van disewa sepanjang tempoh bermula 7 pagi hingga menjelang maghrib. Buat kali pertama, mahasiswa baru kita berbuka diperhentian kerana maghrib menjelang dalam perjalanan pulang. Sekalung terima kasih buat Ustaz Hafiz Mansor, Ustaz Azman Shaari, Ustaz Ahmad Saufi Mustafa dan Ustaz Mohd Yazid Pardi kerana meluangkan sedikit masa memandu mahasiswa baru.

Berita Dari UDT

Solat hifzi
Sepanjang tujuh minggu berturut-turut bermula 25 November 2004 hingga 6 Januari 2005 yang lalu, Unit Dakwah dan Tarbiah telah menganjurkan solat hifzi sempena musim peperiksaan. Sedikit jamuan disediakan setelah solat dan ditanggung sepenuhnya oleh Badan. Jutaan terima kasih kepada Imam-Imam yang bekerjasama membantu melicinkan program; Ustaz Razif Mohd Sayuti, Ustaz Muhammad Hasbullah Amat, Ustaz Mohd Rasul Amat, Ustaz Nik Ahmad Syahir Nik Salleh dan Ustaz Mohd Hafiz Mansur. Jasa anda semua semoga Allah membalasnya berlipat kali ganda.

Kursus Mandi Jenazah
Unit Dakwah dan Tarbiah sedang merencana sebuah kursus Mandi Jenazah yang dijangka berlangsung dalam Hari Thaqafah BKPJM, bergabung dengan Unit Pengetahuan dan Bimbingan. Kursus ini dijangka berlangsung di penghujung bulan Februari. Semua ahli diharapkan dapat menyertai program ini. Dapatkan tarikh terkini melalui pekeliling yang akan dikeluarkan.

Tayangan Ilmiah daripada Sirah Nabi dan Aulia
Menurut Ketua Unit Dakwah dan Tabiah, Ustaz Mohd Yazid Pardi, sebanyak dua tayangan bersiri berada dalam perancangan untuk disiarkan berikutan daripada sumbangan LCD Projektor daripada Majlis Agama Islam 17 Januari lalu. Dua tayangan itu ialah Maryam al-Muqaddasah dan Ashabul Kahfi yang dilengkapi juga dengan terjemahan ke bahasa Melayu.

Berita Dari LKKS

Zikra Kali Kedua
Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan di bawah Timbalan Setiausaha akan mengeluarkan Zikra buat kali yang kedua dengan proses pembikinannya bermula selepas sambutan Hari Raya Aidil Adha dan dijangka siap sebelum peperiksaan fasa thani berlangsung. Sehubungan dengan itu, seluruh ahli BKPJM diminta bersiap sedia menyerahkan maklumat peribadi berserta sekeping gambar untuk tujuan itu. Menurut Ustaz Azhari Gerto yang merupakan Ketua LKKS, borang akan dikeluarkan dan hanya ikhwah sahaja diminta menyerahkan gambar. Sebarang pertanyaan boleh merujuk terus kepada beliau.

Perlawanan Bola Sepak
Pada 23 haribulan Januari yang lalu, LKKS BKPJM telah menganjurkan perlawanan bola sepak antara ahli yang berlangsung di suk sayyarat dengan tujuan merapatkan silaturrahmi sesama anggota. Sukan ini adalah program tahunan yang merupakan kesinambungan ribat ukhuwah yang masih diteruskan dari masa ke semasa.

Gelanggang Takraw
Keprihatinan LKKS dalam menyediakan kemudahan sukan buat warganya terbukti dengan ubahsuai balai tepi Rumah Johor daripada balai kekal kepada balai pasang buka. Kepada ahli yang meminati sukan warisan ini, anda boleh menggunakannya sepanjang balai tidak digunakan.

Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor Berserta Rombongan.

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor Berserta Rombongan.

ARMA, 17 Januari 2005 – Kehadiran beberapa kenamaan dari Negeri Johor diraikan dalam satu majlis ramah mesra di sini. Sepuluh minit selepas tujuh malam, paluan kompang oleh Skuad Kompang Johor mengiringi ketibaan tetamu kehormat ke dalam dewan. Mereka ialah Dato’ Dr Ibrahim Endan, Pengarah Jabatan Agama Negeri Johor, Yang Berbahagia Sohibus Samahah Dato’ Mohd Noh Gadut, Mufti Kerajaan Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Tuan Haji Shaari Abdullah Al-Hafiz, Penolong Pengarah Undang-Undang Syarak merangkap Kadi Besar Negeri Johor, Tuan Haji Yahya bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitul Mal dan Wakaf Negeri Johor, dan Tuan Haji Mohd Puzi Dahman, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Lima minit selepas itu, majlis dibuka dengan bacaan Ummul Furqan, Al-Fatehah dengan dipengerusikan oleh Saudara Mohd Firdaus Sulaiman. Ucapan pembukaan disampaikan oleh Yang DiPertua BKPJM, Ustaz Mohd Nazar Misran, diikuti ucapan Tuan Haji Mohd Puzi Dahman tepat jam 7.28 malam. Tujuh minit kemudian, majlis mempersilakan Dato Ibrahim Endan, Pengarah Jabatan Agama Johor menyampaikan ucapan sebelum Dato Mufti Mohd Noh Gadut mengambil tempatnya pada pukul 7.53 minit malam.

Majlis yang antara lain merupakan sesi makluman kepada semua hadirin berkaitan beberapa perkara, terutamanya mengenai kehadiran YAB Menteri Besar Johor pada awal Februari, beberapa taujihat dan nasihat buat mahasiswa/i serta perkongsian pengalaman bersama tokoh-tokoh kenamaan ini. Majlis diteruskan dengan penyampaian LCD Projektor kepada BKPJM dan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat.

Sesi dialog terpaksa dibatalkan memandangkan ruang masa yang terhad. Sekitar 120 orang mahasiswa dan 50 orang mahasiswi turut hadir dalam majlis ini. Beransur jam 9.15 malam, majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Yahya Ahmad dan jamuan.

Friday, November 18, 2005

Islah Rumah Johor - Fasa Satu

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Islah Rumah Johor - Fasa Satu

KAHERAH, 1 Januari 2005 – Rumah Johor mula menjalani proses pembaikpulihan buat kesekian kalinya dengan peruntukan sekitar LE 300 000 hasil sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Kerajaan Negeri Johor. Proses pembaikpulihan yang melalui dua fasa diuruskan oleh Syarikat Manyalawi dengan fasa pertama melibatkan proses mengecat bahagian luar bangunan, menukar tingkap, dan baik pulih dewan. Fasa satu ini lebih menumpukan kepada pembaikpulihan bahagian luaran Rumah Johor sebelum menyambut kedatangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada awal Februari ini.

Menurut Ketua Unit Perumahan BKPJM, Ustaz Hafiz Noramli Halimi, proses pembaikpulih akan disempurnakan meliputi dalam dan luar Rumah Johor selepas kedatangan YAB Menteri Besar. Beberapa ubahsuaian baru dibuat termasuk menyediakan tandas untuk lelaki dan perempuan di dewan, juga tempat wuduk untuk wanita. Alat penghawa dingin diletakkan di kawasan maktabah, dewan dan BCC dengan ruangan maktabah sekarang ini dibahagi dua, satu ruangan untuk maktabah dan satu ruangan lagi khas untuk akhawat. Rak-rak buku yang lama diletakkan di setiap syaqqah dan diganti dengan rak-rak buku yang baru.

Di sutuh pula, kerja pembaikan dan ubahsuai melibatkan pembikinan pegola, kerja penukaran jubin dan tambahan ruangan stor. Setiap bilik pula mendapat pintu baru, dan dijangkakan akan mendapat tingkap baru tidak lama lagi. Sumbangan kontraktor turut diterima dengan tanda nama Rumah Johor ditanggung oleh Syarikat Manyalawi. Tambah beliau lagi, kedatangan Pengarah Jabatan Agama Johor dan Dato’ Mufti berserta rombongan turut ke Iskandariah untuk memilih imarah baru untuk disewa khas buat siswi Johor di sana. Proses pemilihan mendapat kerjasama daripada wakil Kedutaan, Encik Zailuddin Salimon.

Majlis Ramah Mesra Bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Rombongan

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Majlis Ramah Mesra Bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Rombongan

RUMAH JOHOR, 25 Disember 2004 – Asrama Pelajar Johor terus-menerus menjadi tumpuan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berserta rombongan dalam satu majlis ramah mesra di dewan Ibnu Sina, APJ. Ketibaan tetamu kehormat seawal jam 7.05 malam memberi isyarat supaya majlis berjalan selancar mungkin memandangkan berada dalam fatrah imtihan fasa awal. Namun kehadiran amat memberangsangkan melebihi seratus orang dengan 60 peratus siswa dan 40 peratus siswi.

Rombongan dikepalai oleh Dato’ Mohd Razali Mahusin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, dan di sertai oleh Ustaz Anuar Sarimin, Ketua Penolong Pengarah Pendidikan di Jabatan Agama Negeri Johor, dan Tuan Haji Yahya Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitul Mal dan Wakaf Negeri Johor

Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Norden Abdullah mempersilakan Yang DiPertua BKPJM untuk menyampaikan ucapan ringkas. Tepat jam 7.15 malam, ucapan disampaikan oleh SUK Negeri Johor, Dato Mohd Razali Mahusin. Dua puluh minit kemudian, sesi dialog bersama tetamu kehormat dibuka dengan beberapa soalan diterima.

Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Razali menerangkan berkenaan usaha pembaikan Rumah Johor yang ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Johor dalam dua fasa, fasa satu lebih tertumpu kepada proses cat dan baik pulih luaran. Fasa dua pula bakal berlangsung setelah ketibaan YAB Menteri Besar.

Bantuan Zakat telah diperpanjang kepada mahasiswa tahun 3 dan tahun 4 dengan kadar bantuan asal, RM 3600, tidak termasuk yuran pengajian. Mahasiswa yang disahkan menerima zakat dibenarkan membuat tuntutan semula yuran pengajian tahunan dengan kadar yang dimaklumkan setakat ini bernilai RM 200. Bagi mahasiswa yang telah tamat pengajian dan berangkat pulang, mereka dibenarkan membuat tuntuan semula kos tiket kapal terbang tersebut.

Sebagai kejutan, sejumlah USD 355 dimaklumkan akan diserahkan kepada setiap mahasiswa baru atas nama bantuan tiket kapal terbang dan boleh dituntut di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah setelah tamat peperiksaan fasa awal. Majlis diteruskan dengan serahan cek kepada wakil Kedutaan melibatkan kos baik pulih Rumah Johor, sumbangan untuk maktabah dan kos tambang kapal terbang.

Tepat jam 8.05 malam, agenda kemuncak berlangsung iaitu majlis penyerahan sumbangan 3 buah komputer kepada BKPJM dan penyampaian hadiah cenderahati kepada tetamu-tetamu kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Anuar Sarimin sebelum seluruh hadirin dijemput menikmati jamuan dan bersurai.

Thursday, November 17, 2005

Ketibaan MB Johor

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Ketibaan MB Johor

YAB Menteri Besar Johor diberitakan akan berkunjung ke Ardul Kinanah ini pada 12 Februari akan datang, dengan antara tujuan utama beliau adalah melawat mahasiswa-mahasiswa Johor di bumi Anbia ini. Pihak BKPJM menjangkakan ramah mesra akan diadakan di Rumah Johor yang sekarang ini sudah menghampiri proses-proses terakhir pembaik pulihan fasa awal. Semua ahli BKPJM di seluruh muhafazah di minta hadir menyambut kehadiran beliau.

Majlis Akad BP PMRAM Johor

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Majlis Akad BP PMRAM Johor

RUMAH JOHOR, 7 Disember 2004 – Paluan Kompang bergema mengiringi ketibaan tetamu kehormat bersama pengantin lelaki tepat jam 2.00 petang. Ustaz Nik Ahmad Syahir Nik Salleh diiringi rombongan termasuk Encik Ariffin Abdul Hamid, Atase Pendidikan ( Bahagian Kebajikan ) Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Encik Zailuddin Salimon, Pegawai Kanan Akauntan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Presiden PMRAM dan Badan Pengurus PMRAM yang lain, juga Ustaz Nizam Md Noh dan keluarga.

Saudara Hafiz Noramli Halimi yang mengambil tempat pengerusi majlis menjemput Ustaz Khairul Nizam Mat Husin, Timbalan Presiden PMRAM untuk menyampaikan khutbah sebagai agenda pertama majlis. Akad berwali hakim oleh Encik Ariffin Abdul Hamid yang merupakan juru nikah bertauliah dari pihak Kedutaan telah selamat mengijabkabulkan pasangan dengan sekali akad antara Ustaz Nik Ahmad Syahir dan isterinya, Ustazah Intan Illyana Abdul Aziz

Majlis berjalan lancar bermula dengan ucapan daripada pengantin lelaki, berantai setelah itu dengan ucapan daripada Presiden PMRAM, Tuan Haron Tuan Cob. Wakil Kedutaan turut memberikan kalam taujihat buat pasangan diwakili oleh Encik Zailudin Salimon, sebelum wakil Johor merangkap Ketua Bait Muslim Negeri Johor, Ustaz Adha Sulaiman memberikan kata dua.

Majlis disudahi dengan bacaan doa oleh Tuan Haron Tuan Cob, jamuan dan bersurai.

Super Bait Muslim

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Super Bait Muslim

ARMA, 26 Januari 2005 – Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah bakal menjadi saksi kepada Walimatul Urus Super Gergasi dalam sejarah BKPJM dengan 8 mempelai bergabung dalam satu majlis kenduri kahwin di sini. Majlis ini diadakan pada sebelah malamnya setelah Ucap Tema berlangsung pada siang harinya. Kelapan-lapan pasangan itu telah selamat diijabkabulkan tahun lepas, dan mengadakan kenduri besar-besaran sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha kali ini. Lapan pasangan tersebut secara aturan akadnya bermula Ustaz Shahril Aidi Ahmad dan isteri Ustazah Norhafiza Mukri, Ustaz Yohanas Misuan dan Ustazah Norhaliza Kadir, Ustaz Rosdi Ramli dan Ustazah Haliza Aris, Ustaz Khaled Salekan dan Ustazah Darussila Nordin, Ustaz Wan Syariffudin Wan Hassan dan Ustazah Suzy @ Fatimatuzzahra Sulaiman, Ustaz Mohd Hazamin Mohd dan Ustazah Intan Norhamimah Mohd Kasim, Ustaz Nik Ahmad Syahir Nik Salleh dan Ustazah Intan Illiyana Abdul Aziz, Ustaz Mohd Nizam Hasan dan Ustazah Ruhasni Isahak. Semua dijemput hadir.

Wednesday, November 16, 2005

Sambutan Hari Raya Korban

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Sambutan Hari Raya Korban

KAHERAH, 22 Januari 2005 - UKTD dengan kerjasama sebahagian besar ahli telah bergotong-royong mengadakan ibadah Udhiyyah bertempat di balai Rumah Johor mulai jam 8 pagi dan telah selesai sebelum zohor. BKPJM memilih raya ketiga untuk ibadah korban ini setelah memberi laluan kepada PMRAM mengambil hari raya kedua bagi ibadah yang sama di Perkarangan Hayyu Asyir. Solat Hari Raya pula dilangsungkan di Masjid Musa Ibn Nusair, Hayyu Sabiek jam 8.00 pagi, hari raya pertama.

Sebanyak 12 ekor kambing disembelih, dengan dua daripadanya adalah untuk aqiqah, satu untuk nazar dan bakinya untuk korban. Seramai lebih kurang 60 ahli hadir membantu kerja-kerja menyembelih, melapah dan memotong kepada bahagian-bahagian kecil. Sebahagian besar daging ini disimpan sementara untuk digunakan bagi majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha beserta Ucap Tema di ARMA pada 26 Januari ini. Jamuan disediakan oleh pihak banat setelah selesai kerja-kerja sembelihan.

Tuesday, November 15, 2005

Temuduga Zakat dan Ujian Bertulis

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Berita
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Temuduga Zakat dan Ujian Bertulis

ABBASIYYAH 16 dan17 Januari 2005 - Seramai hampir 120 peserta mengikuti temuduga zakat dan ujian bertulis di ARMA sebelum memastikan mereka layak mendapat zakat. Qarar awal menetapkan tanggal 16 adalah untuk mahasiswa muhafazah dan 17 khusus untuk mahasiswa Kaherah dengan ujian bertulis bermula seawal jam 8 pagi dan temuduga pula berlangsung jam 2.00 petang. Namun atas sebab-sebab teknikal, kedua-dua hari tersebut digunakan secara bebas untuk mana-mana mahasiswa dari dalam dan luar Kaherah.

Penemuduga-penemuduga terdiri daripada Dato’ Dr Ibrahim Endan, Pengarah Jabatan Agama Negeri Johor, Yang Berbahagia Sohibus Samahah Dato’ Mohd Noh Gadut, Mufti Kerajaan Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Tuan Haji Shaari Abdullah Al-Hafiz, Penolong Pengarah Undang-Undang Syarak merangkap Kadi Besar Negeri Johor dan Encik Zailuddin Salimon. Tokoh-tokoh kenamaan Negeri Johor ini diterbangkan khas untuk mengadakan temuduga disamping membuat tinjauan awal sebelum ketibaan YAB Menteri Besar.

Mulai tahun ini, semua pemegang zakat dikehendaki menjalani temuduga dan ujian bertulis sebelum disahkan menerima zakat. Soalan-soalan bertulis berkisar kebanyakannya mengenai karangan, pengetahuan am dan pentermahan beberapa frasa ke dalam bahasa Arab. Menurut maklumat terkini, dijangka sebahagian pemohon zakat akan menerima zakat mereka di awal Februari ini.

Monday, November 14, 2005

Tinta Ketua Pengarang

Majalah : Al-Jauhar 2
Edisi : Aidil Adha
Kolum : Tinta Ketua Pengarang
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : Januari 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

TINTA KETUA PENGARANG

BKPJM akhir-akhir ini dihujani beberapa perkara @ peristiwa besar yang tidak patut kita abaikan. Bermula daripada penghujung penggal kepimpinan AJKT sesi 2003/2004, kita menyaksikan kunjungan bertalu-talu daripada wakil Kerajaan Negeri Johor dan pertubuhan-pertubuhan kerajaan serta NGO, beberapa kali di penghujung tahun 2004, dan berterusan di awal tahun 2005.

Usaha dua hala ini pula memastikan dua perkara utama. Pertama, keutuhan BKPJM yang unggul sebagai badan tunggal bagi mahasiswa/i Johor di perlembahan Nil ini tanpa kompromi. Kedua, hubungan baik BKPJM dengan Kerajaan Negeri disamping kerjasama erat dengan PMRAM. Kita patut rasa bersyukur kerana mampu mengekalkan peranan sebagai pertubuhan kebajikan disamping menimba ilmu berpersatuan di bumi berkat ini.

Yang lebih aula daripada yang aula, apabila mampu melaksanakan satu urusan yang muhim tanpa mengabaikan satu urusan lain yang juga muhim (sebagaimana yang diterangkan oleh Naib Presiden 1 PMRAM, Ustaz Fakherei Mahiyuddin). Program ilmuan dan thaqafah yang menjadi tradisi sejak dahulu lagi, ditambah sokongan kuat kewangan dan keprihatinan Kerajaan Negeri membuatkan kita berdiri penuh kukuh.

Mungkin itulah berkat fatrah dua hari raya. Al-Jauhar Edisi Raya Aidilfitri dan Edisi Raya Aidiladha, mungkinkah ada hati yang belum memikirkannya?

Salam Aidiladha.
Ketua Pengarang